Berekonomi Itu Jihad Fisabilillah


09/09/2006

Ada Hadis yang maksudnya: "Orang yang berekonomi mengikut syariat itu satu jihad seperti berjihad fisabilillah."

Bila dikatakan [[Jihad|jihad]], ia bukan lagi satu masalah yang kecil. Ia sudah jadi perkara besar dan penting. Kerana di dalam Islam,ada tiga perkara yang terpenting iaitu:
1. Iman
2. Solat atau sembahyang
3. Jihad

Ekonomi dan perniagaan itu dianggap jihad fisabilillah oleh Islam kerana:
1. Berekonomi dan berniaga itu bebannya berat.
2. Berekonomi dan berniaga memerlukan waktu dan masa yang banyak.

Berekonomi dan berniaga itu secara langsung atau tidak langsung adalah menyiapkan keperluan dan kepentingan negara dan rakyat di segi makan minum, pakaian, rumah dan tempat tinggal dan lain-lain lagi. Ini penting.

Yang lebih utama dari itu, syariat Islam dalam bidang ekonomi dan perniagaan sangat luas. Kalau kita memiliki ilmu dalam ekonomi, maka akan banyak hukum-hakam Tuhan yang akan dapat dibangunkan di dalam berekonomi itu. Ertinya sesiapa yang mengusahakan ekonomi dan perniagaan Islam, dia juga melaksanakan sebahagian besar dari syariat Tuhan.

Dengan erti kata yang lain, kalau syariat itu benar-benar dapat ditegakkan dalam ekonomi, ia akan membawa manusia makin takut dengan Tuhan dan makin nampak kebesaran Tuhan. Contohnya, dalam berekonomi ada sabar. Sabar bila orang marah dengan kita. Sabar dalam menekan rasa marah.Sabar itu diperintah oleh syariat. Dalam berekonomi, ada kerjasama dua hala atau ada kerjasama antara peniaga dengan pembeli.Kerjasama itu tuntutan syariat. Bila ada kerjasama, kita disuruh berkasih sayang dan berukhwah. Itu pun tuntutan syariat. Bila banyak berinteraksi dalam berekonomi, kita tidak dapat elak daripada terbuat kesalahan. Kadang-kadang pembeli buat silap. Kadang-kadang peniaga buat silap. Hal ini sangat memerlukan tolak ansur, berlapang dada, bertimbang rasa dan maaf-bermaafan. Itu juga adalah kehendak syariat.

Tambahan lagi dalam berekonomi kita boleh dapat kawan. Kawan dapat memberi syafaat dan membantu kita di Akhirat.Dalam hendak melariskan barang, kita juga akan jadi pandai bercakap dan pandai menyampai maklumat. Berekonomi boleh melahirkan orang yang cerdik yang pandai bertindak dan orang yang pandai berfikir dan merancang dalam apa jua keadaan. Kalau ekonomi dijalankan betul-betul mengikut syariat Tuhan, ia boleh melahirkan orang yang berakhlak tinggi dan berbudi pekerti. Kita boleh dapat berbagai ilmu dalam berekonomi termasuk ilmu barangan, kewangan, perakaunan, tempat, budaya dan watak manusia, general knowledge dan berbagai-bagai lagi yang semuanya dituntut oleh Islam. Dalam berekonomi juga kita boleh memenuhi keperluan hidup umat Islam dan menyediakan barang-barang Islam.

Dalam berekonomilah kita boleh mempraktikkan sikap dan sifat jujur dan amanah dan menjadi orang yang pemurah (samahah). Bila kita terlibat dengan ekonomi atau perniagaan, kita berpeluang membayar zakat perniagaan apabila cukup haul dan nisabnya. Dalam berekonomi dan berniaga, terjadi juga orang yang berhutang dan yang memberi hutang. Memberi hutang itu pahalanya besar, lebih besar dari bersedekah.Memberi sedekah, Tuhan gandakan ganjarannya 10 kali tetapi memberi hutang ganjarannya 18 kali ganda.

Dalam berekonomi dan berniaga kita disuruh dan dituntut menjaga halal dan haram. Itu adalah syariat. Dalam berekonomi dan berniaga, kita berusaha menyelamatkan produk hasil keluaran orang lain (orang kampung, petani, nelayan dan sebagainya). Contohnya, para nelayan dan para petani, mereka hanya makan sebahagian dari tangkapan atau hasil tanaman mereka. Yang lebihnya akan terbuang, jadi busuk dan akan dibazirkan. Jadi, ahli perniagaan yang mengumpul hasil ini untuk dijual pada orang lain sebenarnya telah menyelamatkan satu pembaziran yang mungkin berlaku. Ini satu tuntutan syariat yang besar.

Dalam perniagaan dan berjual beli, kita dapat memberi makan kepada orang lain bahan-bahan yang kita tidak habis jual. Itu satu khidmat yang besar terutama kepada fakir miskin setempat. Itu semua adalah kehendak syariat Islam. Jadi orang yang ada cita-cita Islam tidak akan terfikir terlalu jauh seperti memikirkan tentang hukum hudud, daulah dan lain-lain yang bukan mudah untuk dilaksanakan. Sebenarnya tiap-tiap hari kita dapat tegakkan syariat seperti berekonomi dan berniaga tetapi kita sia-siakan, kita buat tidak tahu dan kita tidak ambil peduli. Padahal berekonomi, berniaga dan berhubung itu adalah tuntutan Islam dan ia termasuk di antara tuntutan Islam yang besar. Tetapi ramai orang Islam menganggap ianya seperti tidak ada. Syariat yang ada pada mereka hanyalah hudud dan daulah.

Memang Tuhan mengutuskan kita ke dunia ini untuk berkhidmat.Khidmat kepada Tuhan dan khidmat kepada manusia.Dengan Tuhan kita berkhidmat melalui ibadah. Dengan manusia, kita berkhidmat sebahagian besarnya melalui ekonomi.

Oleh sebab bermacam-macam syariat dapat ditegakkan dalam berekonomi, maka sudah selayaknyalah Tuhan katakan bahawa berekonomi itu ialah satu jihad fisabilillah. Tidak perlu ke medan perang. Tidak perlu mati syahid. Selama ini masyarakat hanya mengetahui dan mengaitkan jihad fisabilllah itu dengan perang dan mati syahid. Yang sebenarnya, mati dalam perniagaan juga mati syahid. Pahalanya besar. Di Akhirat pahalanya nombor tiga. Yang pertama adalah iman, yang kedua adalah solat atau sembahyang dan yang ketiga adalah jihad.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer