Bagaimana Sesuatu Bangsa Itu Membangun Dengan Islam


29/10/2006

Tuhan dengan ajaranNya, bukan sahaja mengenai hukum hakam, bukan sahaja mengajar fardhu ain, bukan sahaja Tuhan ajar bagaimana kita hendak beribadah dan menyembahNya, bahkan Tuhan ajar umat Islam bagaimana hendak jadi satu bangsa yang kuat dan berdaulat. Bukan sahaja berdaulat tetapi boleh mencatur dunia dengan ajaran Tuhan hingga bukan sahaja umat Islam dapat manfaat tetapi orang bukan Islam pun dapat manfaat di dunia ini.

Kalau begitu ajaran Islam itu sangat indah dan hebat, selamat dan menyelamatkan. Selama ini kita banyak belajar tentang Islam berkait dengan ibadah, fadhailul amal, fardhu ain dan sedikit fardhu kifayah. Tapi kita jarang diajarkan bagaimana hendak bangunkan satu bangsa yang berkasih sayang, yang bersatu padu, yang boleh rasa bersama, bekerjasama, boleh berdaulat dan menjadi empayar. Amat jarang!

Ada janji Tuhan, Islam akan jadi kuasa dunia sekali lagi bermula dari Timur. Sebenarnya sejak umat Islam dijajah, tidak kira apa bangsanya, samada Arab, Melayu, Pakistan atau Turki, selepas merdeka, mereka ingin kuat dan jadi satu bangsa yang berdaulat. Kalau tidak boleh catur duniapun, setidak-tidaknya boleh berdiri sendiri. Tetapi kaedah dan formulanya tidak merujuk pada Tuhan atau ajaran Islam. Mereka merujuk kepada ajaran Barat sedangkan mereka adalah Islam.

Rasulullah adalah contoh segala hal. Kalau kita hendak fokus pada bangsa Melayu yang memang bernasib baik, dengan rahmat Tuhan, orang Melayu semuanya Islam. Selepas merdeka tentulah orang Melayu ingin berdaulat di segi politik, ekonomi dan lain-lain. Kalau pun tidak boleh menguasai bangsa lain, setidak-tidaknya boleh berdiri sendiri.

Tetapi mereka tidak mahu merujuk kepada Rasulullah dan pada Tuhannya. Akhirnya walaupun umat Islam sudah merdeka 40-50 tahun, cuba tunjukkan satu negara umat Islam yang kuat. Adakah Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan atau Malaysia? Bahkan negara-negara yang lebih dahulu merdekapun masih lemah seperti negara-negara Arab. Umat

Islam tidak mahu menggunakan formula dari Tuhan yang mencontohkan Rasulullah SAW. Cuba tengok mengapa Allah utuskan Rasulullah kepada satu bangsa yang paling lemah waktu itu dan tiba-tiba bangsa itu jadi empayar. Selepas negara Arab menjadi Islam maka banyak negara-negara lain di dunia ikut Islam.

Jadi siapa hendak kuatkan bangsa dan negaranya, ada contoh dari Rasulullah. Sebab itu Tuhan contohkan dengan negara Arab yang paling mundur ketika itu. Kita hendak gambarkan bagaimana Rasulullah bangunkan bangsa Arab. Waktu itu bangsa Arab paling miskin dibandingkan dengan Rom, Parsi dan negeri China. Ia juga bangsa paling berpecah belah, suka berperang sesama sendiri antara etnik dan kabilah sejak beratus tahun. Kadang-kadang sebabnya kecil sahaja seperti kerana seekor kambing. Kadang-kadang kerana perkara kecil, kabilah itu boleh berperang selama seratus ke dua ratus tahun. Bangsa itu sangat berpecah belah.

Ekonominya dikuasai Yahudi terutama di Madinah. Orang Arab jadi hamba. Barang mentah dikontrol oleh Yahudi. Ia diproses, dijual dengan harga mahal. Tidak tahu membaca dan menulis. Kan dasyat! Contohnya, dalam kabilah Saiyidina Umar, hanya dia seorang sahaja yang boleh membaca dan menulis. Sebab itu dia terkenal dan dihormati. Begitulah rata-rata kabilahnya. Paling banyak dalam sesuatu kabilah, ada 2-3 orang sahaja yang boleh membaca dan menulis. Sudahlah begitu, ia sentiasa dijajah oleh 2 empayar iaitu Rom dan Parsi. Kadang-kadang oleh Rom dan kadang-kadang oleh Parsi. Rom dan Parsi sentiasa berperang kerana hendak wujudkan kuasa di negara Arab itu.

Sampai masa Allah hendak utuskan Rasul-Nya, Allah tidak utuskan dari Rom dan Parsi. Kalau dari Parsi, mudah sedikit sebab bangsa itu sudah bertamadun. Sudah tahu membaca dan menulis. Begitu juga kalau dari Rom, ramai ahli falsafah seperti Aristotle, Plato dan lain-lain. Lahir berbagai ideologi di situ. Bahkan ideologi komunis juga lahir sebelum Rasulullah tetapi bersifat falsafah. Ia jadi realiti bila datang Karl Marx pada tahun 1917.

Jadi kalau Rasulullah diutuskan kepada bangsa Rom, Rasulullah ambil 3 tahun sahaja untuk didik bangsa itu jadi empayar sebab mereka memang cerdik. Tinggal hendak beri iman sahaja. Tapi sengaja Allah utuskan Rasulullah kepada bangsa Arab yang miskin, yang tidak tahu membaca dan suka berperang. Kerana suka berperang itu, dalam satu kabilah, berlaku kalau seorang hendak pinang anak gadis dalam kabilah itu, syaratnya kena pergi penggal kepala musuh sebagai mas kahwinnya.

Begitulah dahsyatnya bangsa Arab maka Tuhan utuskan Rasulullah. Dalam keadaan begitulah Allah utuskan Rasulullah. Rasulullah ambil masa 23 tahun sahaja. Bukan sahaja mereka jadi berdaulat bahkan jadi empayar, jadi guru kepada dunia hingga Barat pun jadi murid kepada Islam. Barat ambil ilmu dari Islam, diproses, hingga sekarang kita pula belajar darinya. Kita bukan sahaja jadi murid bahkan kena tipu waktu sedang jadi murid.

Macamana Rasulullah didik bangsa yang begitu dahsyat? Kalau begitu, marilah kita lihat bagaimana Rasulullah mendidik bangsanya. Marilah kita belajar dari sejarah ini. Selepas merdeka, umat Islam sudah bertamadun, sudah ada doktor, engineer, penulis tetapi sampai sekarang belum boleh buat apa-apa. Tidak mampu. Begitu lemahnya umat Islam hari ini. Cakap lebih sikit kena tekan dengan Amerika. Dia akan beri amaran, tengok apa jadi pada Iraq. Malaysiapun sudah ditakut-takutkan. Allah utuskan Rasulullah sekitar 22 tahun 2 bulan 22 hari. Untuk senang, orang katakan 23 tahun.

Maha bijaksana Tuhan, dengan kaedah-kaedah dari Tuhan, bangsa yang tidak berguna pada dunia boleh jadi empayar. Cerdiknya Rasulullah apply ilmu dari Tuhan untuk bangsanya. Bagaimana? Quran bersifat ilmu. Bukan senang hendak faham. Jadi kita kena lihat praktikal yang Rasulullah buat. Rasulullah berjuang yang pertama peringkat Mekah, yang kedua peringkat Madinah. Allah turunkan ayat Quran, ada ayat Makkiyah, ada ayat Madaniah.

Rasulullah ambil 13 tahun untuk bangunkan roh manusia, akidah, tanamkan rasa takut dan cintakan Tuhan. Dalam masa 13 tahun itu belum puasa, tidak dibenarkan jihad dan tidak dibangunkan ekonomi. Bahkan sembahyang yang penting pun hanya diperintahkan setelah 11 tahun Rasulullah jadi Rasul. Sebab apa erti sembah Tuhan kalau rasa bertuhan tidak ada, Tuhan tidak dicintai dan ditakuti. Maka Rasulullah tanamkan rasa bertuhan hingga manusia mabuk dengan Tuhan. Hingga orang kafir melihat mereka seperti orang-orang mereng. Mereka anggap Rasulullah sihir sahabat. Jadi begitu kerana fanatik dengan Rasulullah.

Selepas 13 tahun, Rasulullah dipindahkan oleh Allah ke Madinah. Yakni setelah ada kelompok yang benar-benar cinta dan takutkan Tuhan. Bila takut Tuhan, takut hendak buat salah dengan orang lain. Bila cinta Tuhan, otomatik berkasih sayang sesama manusia. Lahir kasih sayang luar biasa.

Waktu itu Allah pindahkan Rasulullah ke Madinah. Waktu itu barulah datang hukum halal haram, perintah jihad, perintah bagaimana hendak bangunkan ekonomi, bagaimana hendak berhadapan dengan Yahudi, bagaimana berhadapan dengan orang yang tidak mahu ikut tetapi tidak menentang dan bagaimana hadapi orang yang menentang.

Bila cinta Tuhan, cinta dengan manusia. Bila takut Tuhan, takutlah untuk berbuat salah dengan manusia. Maka lahirlah masyarakat yang luar biasa, bersatu padu, sangat memikirkan orang lain, bertanya-tanya khabar sesama kawan seperjuangan, satu hari tidak bertemu akan tertanya-tanya. Bila ada orang miskin, tidak payah sampaikan ke pihak kerajaan. Masing-masing tahu dan berebut-rebut untuk membantu. Jadilah orang miskin lebih senang dari orang kaya. Contohnya, katalah dalam satu masyarakat kampung, hasil kenal-mengenal, penduduk tahu siapa yang kaya dan siapa yang miskin. Katalah ada seorang yang kaya. Orang tahu dia kaya maka orang tidak fikirkan samada dia makan atau tidak sebab dia kaya. Tapi kalau orang miskin, masyarakat kampung tahu, masing-masing beri makanan sehingga banyak makanannya setiap hari. Hinggalah terjadi orang miskin begitu kaya raya dengan rezeki hari itu manakala orang kaya hanya kaya biasa. Di hari raya, orang miskin dapat baju raya 2,3 pasang.

Macamana Rasulullah tanamkan perasaan itu? Kesan dari tauhid yang benar-benar dihayati. Cintai Tuhan dan kasih sesama manusia. Itulah contoh yang kita boleh beri. Bangsa Arab itu dari berpecah belah jadi sangat bersatu padu. Dari tidak tahu membaca, boleh membaca dan menulis. Dari ayat Quran itu macam-macam ilmu mereka dapat. Sebab itu gambaran masyarakatnya itulah gambaran masyarakat bertaqwa. Bila bertaqwa, apa janji Tuhan? Bilamana penduduk sebuah kampung atau satu kelompok itu benar-benar beriman dan bertaqwa, Kami Tuhan akan datangkan berkat dari langit dan bumi.

Berkat dalam ekonomi, masyarakat, pendidikan dan lain-lainnya. Tuhan beri berkat. Kalau orang biasa dapat 1, orang bertaqwa dapat 10. 1 orang bertaqwa boleh lawan 10 orang biasa. Kalau berekonomi, orang biasa dapat 1000, orang bertaqwa dapat 10 000. Dalam 23 tahun, umat Islam berperang sebanyak 74 kali. Setiap kali perang, jumlah musuh lebih ramai dan senjata mereka lebih banyak. Cuma sekali sahaja tentera Islam lebih ramai iaitu waktu perang Hunain tetapi waktu itulah tentera Islam kalah. 73 kali menang.

Begitulah yang Allah maksudkan Bilamana penduduk sebuah kampung atau satu kelompok itu benar-benar beriman dan bertaqwa, Kami Tuhan akan datangkan berkat dari langit dan bumi. Telah berlaku golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai. Mengapa waktu ramai, tentera Islam kalah? Sebab waktu itu tauhidnya sudah longgar. Waktu mereka sedikit, mereka harap Tuhan backing. Sebab itu menang. Itu di jazirah Arab. Bila Rasulullah wafat, disambung oleh Khulafa UrRasyidin. Bila bertaqwa, Tuhan lembutkan hati orang untuk menerima. Tidak payah perang. Berlaku perang disetengah tempat seperti di Syria dan Iraq. Tetapi kebanyakkan negara lain, apabila dengar sahaja tentera Islam hendak datang, mereka kata, Ahlan wa sahlan. Kami sudah lama tidak tahan dengan kerajaan yang ada. Silakan masuk.

Sahabat datang ke China tanpa perang. Orang tengok dia ambil wudhuk sahaja orang sudah boleh masuk Islam. Itulah taqwa sahabat. Inilah yang kita kena belajar. Sayidi Abdul Aziz datang ke Melaka, lebih kurang 600 tahun lepas. Sampai ke pantai, dia sembahyang. Waktu itu orang Melayu beragama Hindu. Rakyat beritahu Sultan maka dia pun datang ke pantai. Sultan dan Sayidi Abdul Aziz, masing-masing tidak tahu bahasa masing-masing. Guna bahasa isyarat. Kerana taqwanya Sayidi Abdul Aziz itu, lahir isyarat maknawi. Secara isyarat pun raja boleh masuk Islam. Maka rakyatnya pun masuk Islam. Tanpa perang. Dengan kasih sayang dan kekuatan roh.

Mengapa negara-negara Islam seluruh dunia tidak belajar dengan sejarah ini? Mengapa ambil kaedah-kaedah lain? Akhirnya kita terhina. Islam ada kaedah sendiri. Jadi untuk bangunkan bangsa bukan dari kekuatan ekonomi dan pembangunan tetapi dari takut dan cintakan Tuhan. Dari situ, lahir perpaduan. Waktu itu sudah ada asas kekuatan.

Sekian.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer