Bagaimana Islam Perlu Ditegakkan?(2)

Kuliah Perjuangan


14/07/2006

Mengapa Kita Patut Tegakkan Islam Sebagai Undang-Undang Bukan Sekadar Aqidah Dan Ibadah?

6. Di dalam kehidupan manusia di dunia ini, demi keperluan dan kepentingan mereka, manusia memerlukan berbagai-bagai sistem hidup, seperti sistem politik, ekonomi, masyarakat, pendidikan, perhubungan, ketenteraan, kebudayaan, antarabangsa, kalau begitu apa yang hendak ditakutkan sangat dengan undang-undang Islam kerana di dalamnya mengandungi berbagai-bagai sistem kehidupan yang lebih mantap, baik lagi adil demi untuk kebaikan manusia sejagat.

Hal ini telah berjalan beberapa lama yang telah dibuktikan oleh sejarah sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke tujuh ratus tahun kemudian dan semua kaum dan bangsa yang bemaung di bawah sistem itu rasa selamat dan berpuas hati, sekalipun ada kalangan mereka tidak menukar aqidah dan agamanya. Mereka berasa selesa duduk di bawah sistem Islam yang dibawa oleh umat Islam daripada undang-undang dan peraturan hidup yang dibuat oleh bangsanya sendiri.

7. Selain aqidah dan ibadah bahawa peraturan dan undang-undang serta akhlak di dalam Islam ia bersifat sejagat. Ertinya fitrah semulajadi boleh menerima dan boleh berkongsi bersama bahkan apa yang dikongsikan bersama itu, mereka bersama-sama mencari, semua orang dan golongan menginginkan kerana ia merupakan keindahan hidup manusia. Saya bawa beberapa contoh yang diterima dan keinginan bersama, sifat-sifat positif seperti adil, jujur, menunai janji, penyayang, pemurah, mengutamakan orang lain, kerjasama, memberi maaf, meminta maaf.

Sifat-sifat negatif yang dibenci bersama seperti benci kepada perzinaan, mencuri, menipu, khianat, berbohong, membunuh, merompak, menzalim, pemalas. Di dalam Islam perkara-perkara yang positif tadi sangat digalakkan dan dipuji diberi pahala oleh Allah dan sifat-sifat negatif tadi sangat dibenci, sangat ditentang, di dunia lagi ada hukuman-hukumannya, tidak perlu disebutkan di sini dan di Akhirat kena hukum lagi iaitu dicampakkan ke dalam Neraka.

Di dalam ajaran agama lain dan di dalam mana-mana ideologi dua perkara yang kita sebutkan itu tidak ada dipentingkan. Kalau ada pun disebut tidak serius, tidak seperti di dalam ajaran Islam.

8. Keindahan dan kebaikan sistem Islam itu telah terbukti, dia telah dicatat di dalam sejarah bahkan telah dijadikan bahan kajian. Keindahan dan kebaikannya telah diterima bersama oleh kaum, bangsa dan berbagai-bagai penganut agama lain seperti kristian, Yahudi. Mereka rasa terjamin dan amat selesa duduk di dalam sistem itu.

Ini belum dapat dibuktikan oleh mana-mana sistem yang lain seperti faham yang dibawa oleh Barat sama ada bersifat agama iaitu agama Kristian atau bersifat ideologi seperti faham liberal kapitalisma, dan juga China dan Rusia dengan faham komunis.

Sejarah telah mencatatkan mereka dengan ideologi mereka penuh dengan sejarah hitam, berlaku berbagai-bagai penzaliman dan penindasan. Manusia hidup di dalam neraka, walaupun di masa yang sama mereka membawa ilmu kemajuan dan pembangunan terutama yang menderita di bawah sistem mereka adalah umat Islam, dunia tahu hal, tiada siapa yang boleh menafikan.

9. Selepas negara-negara umat Islam dijajah, terutama dijajah oleh bangsa-bangsa Barat kemudian negara-negara umat Islam telah merdeka satu demi satu sejak 60 tahun yang lampau hampir semua negara-negara umat Islam yang telah merdeka ini undang-undang negara mereka belum kembali kepada Islam. Kalau ada pun hanya pada nama, di dalam amalan belum berjalan betul dan serius. ``

Negara-negara umat Islam ada yang undang-undang negaranya berdasarkan sosialisme, nasionalisme, ada yang berdasarkan liberal kapitalisme atau faham demokrasi Barat dengan tujuan untuk membangunkan perpaduan, kasih sayang, kemajuan, ilmu pengetahuan, pembangunan, kekuatan ekonomi, ketenteraan, keharmonian masyarakat, bersih daripada gejala-gejala negatif dan tidak sihat.

Untuk kembali kepada perlembagaan Islam, masih takut, bimbang, bahkan ada yang anti dan memusuhi undang-undang Islam tapi apa telah terjadi? Secara umum kemajuan dan pembangunan belum sampai ke mana, ilmu masih bersandar dengan orang lain, krisis politik masih tidak habis-habis, ekonomi banyak negara umat Islam yang miskin, sekalipun khazanah negaranya kaya.

Kalau ada negara yang kaya, kekayaannya hanya diperolehi oleh golongan yang kecil dan terbatas namun rakyat umum masih ramai yang papa kedana, pergaduhan, pergeseran, pembunuhan, peperangan lebih banyak berlaku di negara-negara umat Islam. Gejala masyarakat, dadah, rasuah, zina, arak, perpecahan keluarga, rogol, sumbang muhrim masih berleluasa berlaku di negara-negara umat Islam. Hal-hal ini berlaku dengan sebab-sebab sistem-sistem yang telah disebut tadi bukan kerana berjalan undang-undang Islam di negara-negara itu.

Patutnya pengalaman-pengalaman ini umat Islam menjadi sedar dan insaf, terutama yang insaf itu sepatutnya para-para ulamanya, pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli ekonomi, cendiakawan-cendiakawan, pemimpin-pemimpin masyarakat kerana mereka yang boleh berfikir. Sepatutnya waktu itulah umat Islam kembali kepada ajaran Islam dengan penuh berani dan tekad yang Islam itu memang kepunyaan mereka, yang telah membuktikan kebaikan beratus-ratus tahun yang silam. Dengan ajaran Islam, umat Islam menjadi tuan guru, contoh teladan dan ikutan bangsa-bangsa lain.

Oleh itu apalagi hendak ditunggu-tunggu lagi, dengan sistem orang lain sudah kita cuba hasilnya kehinaan, kelemahan, perpecahan, kemungkaran, kerosakan masyarakat, kemelaratan. Apakah kita hendak teruskan undang-undang yang kita pinjam itu yang telah merosakkan kita? Atau tunjukkanlah keberanian kita itu menerima Islam semula secara total sebagai perlembagaan hidup demi kebaikan kita dan juga alam sejagat.

10. Barat dengan faham dan ideologi mereka di sudut ilmu dan fizikal mereka berjaya, mereka telah meneroka berbagai-bagai bidang ilmu, sains dan teknologi mereka tinggi dan canggih, kemajuan dan pembangunan mereka mengkagumkan tapi di segi atau di aspek pembangunan insaniahnya gagal, punah-ranah, musnah, hancur dan lebur.

Apa tidaknya, malu sudah tiada, seks dan kehidupan lucah macam binatang merata dan menjolok mata, rogol, zina, homoseksual dan lesbian jadi budaya, zina bukan sahaja berlaku dengan yang bukan muhrim, dengan muhrim pun biasa sahaja, sistem kekeluargaan punah-ranah, hidup nafsi-nafsi jadi budaya, bertukar-tukar bini, seks bebas biasa sahaja, agama sudah tiada tempat, orang tua terbiar, orang muda liar, bunuh, tembak-menembak jadi hiburan, bunuh diri sebagai jalan keluar menyelesaikan masalah yang tidak boleh hendak diselesaikan.

Pemimpin-pemimpin, cerdik pandai, pemimpin masyarakat, mereka telah bingung ingin cari jalan keluar daripada kemelut dan kekusutan yang ada tapi tidak nampak jalan. Mereka telah jemu dan rasa kecewa dengan sistem hidup mereka sendiri tapi tidak ada alternatif. Hendak ikut Islam tidak ada model, umat Islam pun macam mereka kerana sistem hidupnya sama atau hampir-hampir sama. Oleh itu mengapa umat Islam tidak mahu berfikir lagi? Mengapa kita mengikut orang Barat yang sistem hidup mereka sudah gagal. Sistem mereka telah merosakkan insaniah manusia. Boleh membangunkan fizikal tapi memusnahkan insaniah, mereka dengan sistem hidup mereka berjaya melahirkan lambang-lambang kebesaran syaitan yang rupa manusia, lambang-lambang kebesaran haiwan yang berupa manusia, lambang-lambang kebesaran pokok kayu di hutan rimba berupa manusia, gagal melahirkan lambang-lambang Tuhan pada diri manusia.

Itulah di antara hujah-hujah kita mengapa manusia sejagat terutama umat Islam sendiri patut dan mesti menerima undang-undang Islam sebagai perlembagaan hidup. Hujah-hujah yang telah diberi tadi akal boleh menerima bahkan memang logik sangat diterima. Oleh itu apa lagi yang tidak kena dengan undang-undang Islam? Apa lagi yang hendak ditakuti? Lebih-lebih lagi umat Islam, akal pun merasakan undang-undang Islam itu tidak kolot, tidak ketinggalan zaman, rasional, undang-undang Islam itu patut didaulatkan adalah logik, tidak memalukan.

Akal yang waras dan tidak prejudis boleh menerima bahkan terasa patut diterima. Kita harap moga-moga negara kita Malaysia adalah negara pertama di dunia di akhir zaman yang akan menerima Islam sebagai perlembagaan negara.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer