Bagaimana Islam Perlu Ditegakkan?(1)

Kuliah Perjuangan


13/07/2006

Mengapa Kita Patut Tegakkan Islam Sebagai Undang-Undang Bukan Sekadar Aqidah Dan Ibadah?

Hari ini di seluruh dunia kalau kita mengajak umat Islam agar menjadikan syariat Islam yang bersumberkan dan Al Quran dan Sunnah, sebagai undang-undang hidup, ramai di kalangan umat Islam rasa tidak senang. Yang tidak senang itu bukan orang Islam biasa sahaja tapi cerdik pandainya, terutama yang mendapat pendidikan Barat yang turut rasa tidak senang dan membangkang. Bahkan sebahagian ulama pun akan ada yang berdalih dengan mendatangkan berbagai-bagai hujah mengapa Islam itu tidak boleh dijadikan perlembagaan hidup di dalam negara. Mereka itu bila disebut sahaja Islam patut dijadikan perlembagaan dan undang-undang ada yang mencemik, ada yang kerut muka, ada yang mengatakan nanti apa kata bangsa lain, nanti orang takut, boleh membawa huru-hara, kita tidak mahu patah ke belakang, kita akan jadi mundur bahkan bermacam-macam perkataan yang kita akan dengar daripada lidah mereka yang tidak setuju.

Kalau Islam itu sebagai aqidah dan ibadah, tidak mengapa, mereka tidak menyanggah kerana yang menentang itu pun sebahagiannya orang yang beraqidah dan melaksanakan ibadah. Cuma yang mereka tidak setuju undang-undang Islam itu dijadikan perlembagaan hidup, mereka tidak boleh terima. Kalau kita mendatangkan hujah-hujah dan dalil-dalil dari nas-nas Al Quran dan Sunnah pun mereka tidak akan bersetuju. Orang Islam zaman kini lebih senang menerima logik akal atau secara berfikiran yang rasional, katanya kini adalah zaman teknologi, zaman IT, zaman globalisasi, zaman langit terbuka dan tiada border, bukan zaman unta.

Sekiranya kita serius juga memperjuangkan serta beria-ia sangat untuk mendaulatkan Islam sebagai undang-undang akan dicurigai, dimusuhi, ditentang, di halang, dibuang, dituduh memecah-belah umat dan menggugat keselamatan negara. Kemudian dicarilah alasan untuk dia disimpan. Kerana itulah umat Islam yang lemah semangat, ada kepentingan, sudah tidak mampu lagi memperjuangkan Islam itu secara global kerana tidak sanggup menerima risiko yang berat.

Sebenarnya kalau kita menggunakan hujah akal pun adalah logik dan rasional serta patut bahawa Islam itu munasabah dijadikan undang-undang hidup untuk semua manusia di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan mereka. Kalau jiwa tidak berpenyakit, akal mereka pun boleh menerimanya, mengapa Islam itu patut dijadikan perlembagaan hidup. Tapi apabila jiwa sudah berpenyakit, terutama penyakit cinta dunia dan kuasa, hujah apa sekalipun dibawa, orang yang jiwa berpenyakit itu tidak akan menerimanya, mereka tetap juga akan berdalih dan menolaknya.

Di sini mari kita membawa hujah-hujah dan dalil-dalil akal yang kita rasa amat logik dan rasional bahawa mengapa syariat Islam yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah itu patut dijadikan perlembagaan hidup manusia sejagat bukan hanya sekadar di dalam sebuah negara sahaja di antaranya seperti berikut:

1. Dunia ini adalah ciptaan Tuhan dan seluruh isinya termasuk manusia adalah ciptaan-Nya juga.
Oleh itu siapa dapat menafikan bahawa dunia dan seluruh isinya adalah kepunyaan Tuhan dan milik-Nya dan manusia hanya menumpang sementara waktu. Oleh yang demikian adalah tidak logik dan masuk akal bahawa Allah yang bersifat Rahman kepada hamba-hamba-Nya, demi kebaikan dan keselamatan hamba-Nya tidak membuat peraturan untuk manusia tapi manusia yang menumpang yang berhak membuat peraturan.

Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah tumpangan, apakah kita yang berhak membuat peraturan dan disiplin atau yang empunya rumah itu membuat peraturan dan disiplin? Tentulah akal kita boleh menerima dan patut menerima bahawa peraturan itu adalah dari yang punya rumah itu. Kita yang menumpang tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan rumah tumpangan itu.

2. Setiap bangunan yang hendak dijadikan tempat orang menumpang seperti hotel, hospital, guest house, tidak pernah berlaku tanpa peraturan. Demi keselamatan rumah itu bahkan keselamatan penumpang sudah tentu tuan punya rumah itu membuat peraturan. Apatah lagi Tuhan pencipta alam yang Maha Bijaksana yang sangat kasih terhadap hamba-hamba-Nya. Demi keselamatan hamba-hamba-Nya sudah pasti dia membuat peraturan-peraturan. Tidak munasabah Tuhan mencipta makhluk-Nya tanpa peraturan dan undang-undang, tidak masuk akal setelah makhluk dicipta kemudian dibiarkan tanpa peraturan sedang manusia pun bila membuat sesuatu ada peraturan?!

3. Di dalam kehidupan kita di dunia tidak pernah berlaku bahawa setiap sesuatu ciptaan itu demi keselamatan barang rekaan katalognya dibuat oleh si pemakai atau pengguna. Biasanya tukang cipta tentulah lebih arif tentang ciptaannya daripada pengguna kerana itulah katalog kereta, pencipta keretalah yang membuat peraturan kereta itu. Begitulah lebih logik lagi akal boleh menerima bahawa dunia dan manusia ciptaan Tuhan, demi keselamatan dunia terutama keselamatan manusia Allah yang Maha Mengetahui tentang ciptaan-Nya itu maka sudah tentu Allah membuat peraturan iaitu syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.

4. Akal dan fitrah semulajadi kita adalah tidak boleh menerima jika ada orang datang ke rumah kita, dia memandai-mandai membuat   peraturan. Dialah yang menentukan peraturan-peraturan di rumah kita, dia boleh berbuat sesuka hati. Begitulah juga akal yang waras dan jiwa atau fitrah yang bersih, b ahawa kita hamba Allah yang menumpang di dunia ciptaan-Nya sudah tentu boleh menerima bahawa kita tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di dunia ini sesuka hati dan membuat apa sahaja dengan semahu-mahunya kita. Kerana dunia ini bukan ciptaan dan kepunyaan kita.

Kita ini adalah ciptaan Allah. Kita hanya menumpang sementara waktu. Adalah dianggap tidak beradab kita yang membuat peraturan dan bertindak sesuka hati, kemudian kita tolak peraturan dari Allah pencipta bumi tempat kita menumpang ini dan juga yang mencipta kita. Sepatutnya kita rasa malu dan merasa bersalah jika kita menolak peraturan Tuhan.

5. Katalah di dalam sebuah rumah yang besar, di dalamnya ada keluarga yang besar, yang dikepalai oleh seorang ayah yang bijaksana dan bertanggungjawab, demi kebaikan keluarga itu dan agar supaya mereka boleh bersatu padu, aman damai, mana lebih logik diterima oleh seluruh keluarga, peraturan yang ayah ketua keluargakah yang boleh menyatupadukan atau setiap orang bebas membuat peraturan untuk semua?

Fitrah semulajadi dan akal yang waras tentu boleh menerima bahawa menerima peraturan dan ayah itu sudah tentu lebih mudah diterima bersama kerana yang membuat peraturan itu adalah ayah bersama. Tiada siapa yang iri hati. Tapi kalau dibebaskan setiap orang membuat peraturan untuk semua di dalam rumah itu tentu akan timbul perbalahan kerana abang yang tua tentu tidak boleh menerima pandangan adik kerana dia merasa tercabar. Mengapa patut saya mengikut adik. Yang adik pula walaupun dia adik, dia lebih merasa pandai dari abang-abang mereka kerana abang mereka bersekolah rendah sahaja, aku kelulusan universiti, mengapa pula aku mesti ikut abang yang tidak berpelajaran. Atau setiap orang membuat cadangan, mesti ada kepentingan, yang lain tidak akan boleh terima kerana curiga.

Begitulah di dalam dunia ini ada berbagai-bagai kaum dan bangsa-bangsa. Sama-sama duduk di bumi Tuhan, Tuhan bersama, dan bersama-sama menumpang. Kalau setiap orang atau kaum atau bangsa membuat peraturan, seperti ideologi ciptaan, faham sosialisme, nasionalisme, komunisme, kapitalisma, untuk diguna pakai kepada semua manusia, manusia yang sama menumpang itu tentu menganggap orang yang mencetuskan sistem hidup mesti ada kepentingan untuk kaum, bangsa atau kelompoknya. Ertinya ada yang curiga.

Selain itu ada golongan lain pula yang akan merasa tercabar. Mereka akan berkata, manusia macam kami juga, kami juga ada kemampuan membuat sistem hidup. Mengapa kita mesti ikut mereka. Kerana manusia ini ada ego, payah hendak mengikut satu sama lain. Kalau begitu, bila manusia hendak bersatu? Tapi kalau semua manusia ini menerima hak Tuhan itu Tuhan yang sama yang mencipta bumi dan mereka manusia, dan sama-sama menumpang di bumi Tuhan, ego mereka tidak akan terpukul dan tercabar. Kerana menerima Tuhan yang kepunyaan bersama iaitu Tuhan bersama. Kalau ada yang menentang itu manusia yang sudah terlalu jahat kerana yang kena cipta (makhluk) hendak melawan Khaliqnya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer