Apabila Tuhan Bertindak


29/05/2006

Utusan Malaysia 29 Mei 2006 - Muka Hadapan

Tangisan di mana-mana : Gempa bumi di Indonesia 4600 mati 20,000 cedera 100,000 hilang tempat tinggal.

Masih tidak padam daripada ingatan tragedi Tsunami yang melanda di Asia Timur pada Disember 2004 yang lalu yang mengorbankan jumlah sehingga ratusan ribu banyaknya, terutamanya di negara jiran kita Indonesia. Kini satu lagi bencana besar menimpa mereka , dan kali melibatkan Jawa Tengah yang melibatkan mangsa yang setakat ini tidak kurang daripada 4600 angka kematian. Satu jumlah yang besar pada satu kejadian, tidak termasuk yang cedera, kehilangan tempat tinggal dan sebagainya. Demikianlah ujian yang telah ditimpakan ke atas rakyat Indonesia yang majoritinya beragama Islam bahkan paling ramai di dunia mengikut statistik. Ucapan takziah ingin disampaikan kepada para-para ibubapa yang kehilangan anak-anak mereka, kepada anak-anak yang hilang tempat bergantung mereka, serta semua kaum keluarga mangsa yang terlibat atas bencana yang menimpa.

Memang menyayat hati bila melihat seorang bapa meratapi kematian anak di atas pangkuannya, anak-anak memanggil-manggil ibubapa mereka yang sebentar tadi ada bersama , kini hilang daripada mereka buat selama-lama di atas dunia ini. Begitulah kejadian atau taqdir yang dikehendaki oleh Tuhan ke atas rakyat Indonesia yang tidak ada sesiapapun yang mampu menolaknya meskipun segala usaha dan ikhtiar telah dilakukan. Namun kita sebagai orang yang masih hidup seharusnya melihat setiap kejadian yang berlaku itu sebagai iktibar dari berbagai-bagai sudut supaya kita memahami "kerja-kerja" Tuhan di mana Maha Suci Tuhan daripada menganiaya hamba-hambanya lantas tindakan Tuhan itu mengandungi banyak maksud yang tersirat. Bagi mereka yang celik mata hatinya , pasti akan tertanya-tanya , atas kemurkaan Tuhan yang mana satukah hingga ditimpakan bencana demi bencana yang dahsyat ini. Bagi mereka yang hidup pada "sekadar"nya, akan berkata kenapakah Tuhan timpakan kesusahan yang menyiksakan ini ke atas diriku. Lantas mungkin akan ada yang menyalahkan serta menyanggah ketentuan Tuhan yang ditimpakan ke atas mereka. Demikianlah manusia serta sikap dan tindakan mereka apabila menerima apa-apa musibah. Sikap dan tindakan mereka itulah yang mempamerkan apa-apa yang tersirat di dalam hati sanubari mereka sebagai bukti sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan semesta alam.

Bukanlah tujuannya untuk menimbulkan provokasi ke atas mangsa-mangsa tragedi apabila isu ini dibahaskan di dalam ruang yang terhad ini ,
tetapi sebagai ingat-ingatan buat semua terutama yang menulis, kerana
hanya apabila kita dipromosi oleh Tuhan akan sifatnya yang paling utama
iaitu "Ar-Rahman" dan "Ar-Rahim" ( Maha Pemurah & Maha Penyayang ) tidaklah bermakna Tuhan tidak akan lakukan perkara-perkara diluar dugaan manusia. Kita pernah diceritakan melalui jalan sejarah bagaimana Tuhan pernah bertindak ke atas manusia di dalam beberapa siri seperti berikut :-

1) Tuhan pernah membanjirkan keseluruhan mukabumi ini dengan air
sehingga tiada apa-apa pun yang selamat kecuali mereka yang berada
bersama-sama di atas bahtera Nabi Noh AS. Yang mati lemas ketika itu
termasuklah anak kepada Nabi Noh AS sendiri.

2) Tuhan pernah mengarahkan malaikat menelungkupkan negeri yang didiami oleh umat Nabi Lut hingga kini kesan daripada bala Tuhan itu boleh dilihat pada laut Mati di mana tiada satu hidupan pun boleh hidup di dalamnya.

3) Tuhan pernah manghantar sekawan burung-burung yang membawa batu-batu daripada neraka , di mana batu-batu tersebut telah memusnahkan tentera bergajah Abrahah yang cuba untuk memerangi Mekah kerana dendam.

4) Tuhan pernah menghantar Taufan dan Ribut yang tidak terhingga
kekuatannya sehingga hampir seluruh negeri di Amerika Syarikat di bawah paras air serta memusnahkan harta benda yang berjumlah berbillion dollar Amerika..


Demikianlah sebahagian kecil cerita-cerita bencana yang menimpa manusia di atas mukabumi ini pada zaman dahulu sehinggalah kezaman moden ini. Yang nampak jelas pada pemerhatian kita ialah Tuhan turunkan sesuatu bencana itu ke atas manusia kerana mereka telah mengundang kemurkaan Tuhan yang Maha Dahsyat itu pada diri mereka. Maka Tuhan bertindak menggunakan tentera-tenteraNya. Samada dengan angin, air, bumi, mahupun binatang yang melata. Semuanya Tuhan gerakkan untuk menghukum manusia yang sudah terlalu engkar dan zalim, lalu dengan itu Tuhan matikan mereka dengan pelbagai cara sebagai iktibar kepada manusia di kemudian hari.

Namun tak ramai yang mahu mengambil iktibar daripada peristiwa yang
telah berlaku samada yang diceritakan daripada sejarah, mahupun yang
dilihat dengan matakepala sendiri. Manusia terus-terusan menganggap
kesemua itu adalah bencana alam semulajadi. Tak ada kait-mengait dengan bala dari Tuhan. Tidak langsung menyebut murka Tuhan telah menimpa mereka. Seolah-olah ini bukan kerja Tuhan. Ini yang menjadi masalah.
Sistem kehidupan sekularisma yang telah mendarah daging di dalam
kehidupan manusia umumnya, umat Islam khususnya, telah menghilangkan
rasa dari hati sanubari manusia Maha Mentadbirnya Tuhan atas alam ini.
Kalau adapun sekadar di lisan dan bernoktah di situ. Tidak langsung
timbul kegerunan di dalam hati Maha Perkasanya, Maha Kerasnya, Maha Takabburnya Tuhan lantas mampu melakukan apa sahaja ke atas manusia.Hatta ulama' sekalipun diam membungkam. Tidak mahu mengingatkan umat Islam supaya kembali kepada Tuhan. Perbetulkan kembali sikap kita terhadap Tuhan. Perbetulkan kembali cara atau sistem kehidupan kita yang porak-peranda ini kepada sistem Islam. Mungkin belum cukup dengan itu , ingatkan umat Islam bahawa bencana yang terjadi adalah kerana kemurkaan Tuhan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Ini perlu diberitahu dan diperingatkan selalu.

Baginda Rasul pernah memberitahu kita, seseorang mukmin itu bila ditimpa bencana ke atasnya, hatta tercucuk duri di jalanan sekalipun, adalah merupakan satu penghapusan dosa ataupun peningkatan darjat. Jadi persoalan ini pernah Rasul beritahu kita. Kita telahpun diberi amaran
lebih 1500 tahun dahulu. Maka atas sebab itu soal dosa dengan Tuhan ini
perlu sangatlah kita perhalusi agar jangan sampai ditimpakan bala
bencana oleh Tuhan. Soal dosa ini perlu kita taubatkan sungguh-sungguh
agar dengan itu Tuhan tidak murka kepada kita lagi. Soal peningkatan
darjat , adalah berhubungkait dengan mereka yang sudah menjadi
orang-orang yang sangat hampir dengan Tuhan lantas dia diuji sebagai
tanda cinta Tuhan kepadanya. Untuk menempatkan mereka ke dalam syurga yang sangat indah yang tak pernah terfikir oleh manusia. Kita boleh lihat, kerana cintanya Tuhan kepada Baginda Rasul , lalu Baginda diuji dengan ujian yang berat-berat sehingga kadangkala dibaling Baginda
dengan batu sampai berdarah hingga ke buku lali. Begitu juga dengan
Rasul-Rasul yang sebelumnya ditimpakan dengan ujian-ujian yang berat
hingga ada yang dibunuh dengan gergaji sampai terbelah dua, sakit yang
teruk sehingga tinggal lidah dan hati semata-mata untuk berzikir pada
Tuhan. Jauh daripada apa yang berlaku pada umat Islam masakini. Hidup
berantakan dan berkecamuk. Rasuah, hasad dengki, adu domba, pemarah, tidak amanah dan berbagai-bagai maksiat lain yang tidak memungkinkan bahawa bencana yang melanda adalah kerana peningkatan darjat melainkan kerana dosa .

Tidaklah bermaksud untuk menuduh, cuma meminta umat Islam agar merenung kembali ataupun muhasabah diri kenapakah Tuhan timpakan bencana demi bencana terhadap umat Islam. Kehilangan nyawa bukannya sedikit bilangannya, Kerugian akibat kerosakan harta benda bukannya sedikit, mencecah jumlah ribuan juta. Hendak membina semula apa yang telah musnah memakan masa yang lama. Kesusahan yang menimpa umat Islam akhir zaman ini seolah-olah satu isyarat kepada mereka bahawa mereka tidak boleh terus-terusan dengan sikap yang sangat merugikan umat Islam baik di dunia mahupun di akhirat. Tuhan telah beritahu kepada kita , akan ditimpa kehinaan di mana sahaja kamu berada selagi mana kamu tidak menghubungkan diri dengan Tuhan dan menghubungkan diri dengan manusia

Maka selagimana kita tidak bertindak mengikut arahan Tuhan , maka selagi itulah peringatan demi peringatan yang berbentuk bencana sebagaimana yang kita lihat hari ini akan berlaku. Kalau di zaman dahulu umat yang ditimpa bencana , akan merujuk kepada Nabi-Nabi atau Rasul-Rasul, maka di zaman sekarang di mana tiada lagi Nabi dan Rasul pastilah sekiranya kita berada diawal kurun, Mujaddid itulah tempat rujuk kita untuk selamat daripada kemurkaan Tuhan. Maka barangsiapa yang mengambil kaedah selain daripada yang ditunjukkan oleh Tuhan kepada kita , maka tunggulah sahaja hukuman dari Tuhan sehingga kita benar-benar tunduk padaNya.
Kita mohon perlindungan dengan Allah dengan barokah dan mukjizat Nabi SAW serta Barokah dan Karomah Orang-Orang Tuhan akhir zaman agar terselamat daripada bencana yang bakal menimpa......................................


Wallahua'lam.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer