Apabila Pemimpin Membaiki Diri


09/04/2006

Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz seringkali menangis di malam hari sepanjang tempoh beliau menjadi khalifah. Apabila khadamnya bertanyakan hal tersebut beliau menjawab, "Bukan engkau yang akan berhadapan dengan Tuhan di Akhirat kelak. Seluruh anggota tubuh serta apa sahaja yang menjadi milikku, Tuhan akan perhitungkan. Itu pun belum tentu aku akan selamat. Betapalah kini seluruh urusan umat tertanggung di atas bahu aku."

Begitulah sikap pemimpin yang bertaqwa. Taqwa itulah kelayakan pa- ling utama sebagai pemimpin. Taqwa itulah modal utama beliau melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan benar-benar tepat menurut kehendak Allah SWT dan RasulNya. Bermodalkan taqwa itulah maka beliau memiliki anugerah Allah SWT yang sangat mahal. Anugerah itu disebut oleh Allah SWT di dalam Al Quran dengan maksudnya:
" Dengan sebab merekalah maka orang lain dibantu.
"Dengan sebab merekalah maka orang lain diberi rezeki."


Ertinya bukan terhenti pada dirinya saja dibantu oleh Tuhan dalam segala urusan, malah orang lain turut mendapat rahmat, bantuan dan pertolongan dari Tuhan.

Selepas era salafussoleh, persoalan taqwa sudah tersisih dari kehidupan para pemimpin. Tamadun manusia semakin berkembang tetapi kepentingan taqwa dalam kepimpinan semakin tidak dipedulikan. Apabila keadaan demikian terjadi, pemimpin semakin renggang dari Tuhan, semakin jauh dari Rasulullah SAW. Akibatnya syariat semakin terbarai dan semakin rosak, kasih sayang semakin pupus. Masyarakat sudah tidak terdidik. Sudah tidak lagi terbangun insaniah , dalam ertikata tidak lagi memiliki rasa kehambaan dan rasa bertuhan .

Di zaman salafussoleh di mana tamadun rohani masih tinggi , masyarakatnya rata-rata masih baik , mereka amat takut dengan jawatan dan pangkat khususnya dalam kepimpinan umat. Sesiapa yang berada di tampok kepimpinan, merekalah yang paling cemas dan bimbang. Merekalah yang sentiasa kecut hati berhadapan dengan keagungan dan kebesaran Tuhan. Kebesaran Tuhan itu benar-benar menjadikan hati mereka sentiasa bergelombang dengan ketakutan. Takut, kerana Maha Besarnya Tuhan itu dengan segala sifat `Maha` -Nya boleh memusnahkan alam semesta ini dengan sekelip mata saja.

Sama saja di sisi Tuhan dalam hendak menjadikan seluruh alam ini dengan berkata, "jadilah" , maka terjadilah segala-galanya .

Keadaan kepimpinan di zaman salafussoleh itu sudah tidak terjadi lagi di zaman di mana masyarakat serba rosak ini kepimpinan sudah menjadi idaman dan sebutan. Rata-rata golongan yang sangat `ambitious` kepada kepimpinan itu sudah tidak lagi merasa takut kepada kebesaran Tuhan. Sudah tidak mempedulikan soal Hari Perhitungan . Sudah melupai akan risiko dan beban berat yang bakal ditanggung. Kepimpinan sudah menjadi lubuk kesenangan, kemewahan dan populariti. Keinginan duniawi sangat jelas terbukti di kalangan pemimpin itu sendiri yang kepentingan keluarga dan suku-sakatlah yang sangat diutamakan berbanding khidmat menyelesai dan memenuhi urusan masyarakat.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer