Apa Itu Fitrah, Watak Dan Bakat(6)


13/12/2006

C. BAKAT
Bakat ialah kemampuan atau kebolehan batiniah untuk memahami atau melakukan perkara (subjek) atau sesuatu ilmu yang dibekalkan sejak azali pada seseorang manusia. Bakat yang ada pada seseorang biasanya berbeza dengan bakat yang ada pada seseorang yang lain. Bakat tidak boleh dituntut atau dipelajari di mana-mana. Ia adalah kebolehan semulajadi yang dianugerahkan ALLAH pada seseorang manusia sejak belum lahir.

Cuma bakat seseorang tidak dapat dikesan sewaktu ia masih bayi atau kanak-kanak. Biasanya bakat akan berkembang bersama perkembangan fikiran dan fizikal insan. Itupun bergantung pula pada sejauh mana pengembangan bakat itu diusahakan oleh individu tersebut.

Bakat atau kebolehan semulajadi yang didorong serta dihidupkan akan membuatkan seseorang itu mudah berhasil dan berjaya dalam subjek tersebut, dibandingkan dengan seorang yang tidak berbakat dalam subjek itu. Orang yang tidak berbakat dalam sesuatu perkara tapi meminati bidang itu, maka untuk beroleh kejayaan kenalah ia berusaha lebih bersungguh-sungguh dan berhempas-pulas daripada seseorang yang berbakat.

Walhal orang yang berbakat dan minat pula bidang bakatnya itu, dengan mudah saja ia menguasai, memahami dan melaksanakan kerja itu dengan jayanya.

Contoh-contoh bakat yang ada pada manusia ialah;
1. Berniaga
2. Bertani
3. Melukis
4. Menulis
5. Bertukang
6. Mentadbir
7. Menyanyi
8. Memasak
9. Menjahit
10. Berenang
11. Menembak
12. Mengubat orang (bomoh/doktor)
13. Berlakun
14. Mengajar dan lain-lain lagi
15. Kepimpinan dan lain-lain lagi

Seorang yang berbakat dalam lukisan akan menjadi pelukis yang handal dan terkenal jika bakatnya itu didorong dan disuburkan. Padahal bagi seorang yang tidak berbakat melukis, walaupun dia berusaha bersungguh-sungguh namun belum terjamin dia akan begitu kreatif dalam menghasilkan lukisan-lukisan yang hebat.

Seorang yang berbakat dalam berniaga dan dia juga minat berniaga, maka kalau ia didorong dan dipimpin nanti kita akan lihat, di umur mudanya lagi dia sudah berjaya dalam perniagaan yang besar. Berbeza halnya dengan seseorang yang tidak berbakat, kalaupun dia minat berniaga (kerana ingin kaya) dan dia pula didorong-dorong serta dipimpin untuk berniaga, pun hasilnya belum boleh menandingi orang yang berbakat di bidang itu. Kecuali yang beebakat itu kurang dipimpin atau kurang minat untuk berniaga, barulah mungkin orang yang tidak berbakat itu boleh menyaingi taraf perniagaannya itu.

Di sini disebutkan kaitan rapat antara bakat dengan minat sebagai faktor pendorong dan penentu kejayaan karier seseorang. Bakat dengan minat tidak mesti wujud bersama-sama. Ada orang berbakat dalam sesuatu perkara tapi tidak semesti berminat dalam perkara tersebut.

Namun ada juga yang tidak berbakat tapi berminat dengan perkara itu. Dan memang ada juga orang yang berbakat dan minat dalam bidang tersebut.

Apa itu minat? InsyaALLAH saya akan huraikan nanti selepas tajuk ini. Seterusnya kita perlu tahu bahawa sekiranya seseorang yang berbakat dalam sesuatu bidang kerja itu tidak didorong dan dipandu bakatnya itu, maka hasilnya ialah bakat itu akan mati dan berkubur begitu saja. Bakat yang tidak disuburkan tidak akan tumbuh dengan sendirinya. Umpamanya anak benih jenis baik yang dibiarkan akan terbantut dan mati. Maka akan jadilah orang itu seolah-olah bangkai bernyawa yang ia tidak memiliki apa-apa kebolehan dan keistimewaan dalam bidang kerja yang produktif.

Padahal tidak ada seorang pun manusia yang dilahirkan tanpa bakat. Sekurang-kurangnya seorang manusia itu ada satu bakatnya. Biasanya lebih dari satu. Ertinya tidak akan ada seorang pun manusia yang tidak boleh buat satu, kerja apa pun di dunia ini. Sekalipun orang cacat. Dengan kata lain, tidak akan ada penganggur di dunia ini, SEPATUTNYA.

Tapi mengapa dunia menghadapi masalah pengangguran? Bagaimana boleh lahir begitu ramai orang yang tidak ada kerja pada hari ini? Para pemimpin, guru-guru dan ibu bapa mesti mengkaji dan mengubah keadaan ini. Merekalah orang yang paling tepat untuk menyelesaikan masalah sosial yang kian serius itu. Di tangan merekalah nasib masyarakat sekarang dan masa depan. Ketidakmampuan atau ketidakmahuan mereka mengesan bakat anak-anak, kemudian menyalurkan bakat ke sasarannya itulah kesilapan yang pertama.

Kesilapan lain yang lebih utama barangkali ialah bidang kerja yang disediakan dan dijanjikan sangat terhad. Sepatutnya apa juga bakat manusia yang ada, maka adalah saluran kerjanya. Dengan itu setiap orang akan ada kerja yang mampu dilakukan dengan penuh minat (sebab ada jaminan hidup).

Di Malaysia misalnya, di antara bidang-bidang kerja yang sesuai dengan orang-orang Melayu (yang tidak terlalu cerdik dan tidak kreatif) ialah pertanian, pertukangan, penternakan, jahitan, masakan dan perniagaan. Maksud menyediakan bidang kerja ialah menyediakan segala kemudahan, jaminan hidup dan kekalnya ketahanan bidang itu menghadapi cabaran dan masa depannya.

Misalnya menyediakan peluang pertanian itu ialah sediakan bersama jaminan harga, pemasaran dan kebolehan menyaingi cabaran. Dengan itu barulah pertanian akan jadi bidang yang diminati dan menjamin masa depan. Demikian juga dengan bidang-bidang yang lain.

Hari ini kita hanya menggalakkan kerja makan gaji. Kerja-kerja selainnya dianggap rendah, hina dan tiada jaminan. Maka tidak peliklah ramai orang yang tidak ada kerja. Sebab itu kenalah kita mengubah fikiran dan jiwa masyarakat supaya memandang tinggi kerja-kerja pertanian, perniagaan dan lain-lain lagi. Tanamkan kekuatan jiwa untuk mahu bersungguh-sungguh dalam bidang kerja yang suci dan beruntung itu. Setelah segala peluang kerja disediakan dengan penuh tanggungjawab dan teratur, maka mengenal pasti bakat pelajar mesti diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa dan guru-guru.

Bakat dapat dikesan daripada latihan praktikal yang diberikan dalam berbagai bidang dan cara. Apabila bakat dapat dikesan, usaha-usaha menanamkan minat pelajar dalam bidang bakatnya itu mesti dibuat. Supaya dengan bakat dan minat, mutu dan hasil kerja dapat mencapai taraf maksimum.

Diharapkan dari sanalah sesebuah jamaah atau negara akan meningkatkan macam-macam keluaran yang bermutu dengan banyaknya. Kegagalan meletakkan ahli jemaah dan rakyat dalam bidang kerja yang sesuai dengan bakat dan minat pasti menghasilkan sesuatu yang tidak memuaskan. Sebaliknya kejayaan menempatkan setiap anggota jemaah atau anggota masyarakat pada syukbah atau unit yang tepat dengan bakat dan minatnya bererti kejayaan memperolehi hasil yang diharapkan.

Dari sanalah nanti jemaah atau negara akan menjadi satu bangsa yang cepat membangun dan maju. Dalam masyarakat kita hari ini, kita boleh lihat bagaimana kesempitan bidang kerja yang didorong atau digalakkan atau tersalah dalam menilai bakat pada rakyat telah membuatkan ramai yang terkorban dalam hidup. Mereka menjual barang yang tidak berguna pada diri dan pada masyarakat. Mereka rugi, negara pun rugi.

Berlaku juga dalam masyarakat, orang yang didorong kerja dalam bidang yang bukan menjadi bakatnya. Maka terpaksalah ia bertungkus-lumus untuk kejayaannya. Namun hasilnya tetap tidak seberapa. Lihat berapa ramai saintis Melayu yang berijazah tapi mereka tidak seperti saintis Barat yang begitu berjaya dalam menghasilkan penemuan dan rekaan-rekaan baru.

Begitu juga kita mempunyai ramai lulusan perniagaan, tapi sedikit benar orang kita jadi peniaga-peniaga besar bertaraf nasional atau internasional. Itupun dibantu oleh kerajaan, kalau tidak lebih lagi tidak berjaya. Demikianlah halnya dengan bidang-bidang lain. Ijazah tidak mampu memberikan seseorang tenaga untuk bekerja. Kerana mungkin ia tidak berminat atau berbakat. Ijazah melahirkan orang-orang yang hanya boleh makan gaji dan menjadi kuli terhormat. Bahkan hari ini ijazah pun sudah banyak yang tidak laku.

Sekian.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer