Apa Itu Fitrah, Watak Dan Bakat(5)


12/12/2006

3. Apabila tidak ada lagi rasa kebangsaan antara umat Islam, maka sentimen perkauman dan hina-menghina antara umat Islam lenyap dengan sendirinya. Ini mengurangkan ikhtilaf.

Dengan hikmah-hikmah yang demikian itu, maka Islam memang menganjurkan kahwin campur.Rasulullah melarang kahwin antara orang yang terlalu dekat hubungan keluarganya. Misalnya sepupu dengan sepupunya. Hukumnya makruh. Sebab hasil perkahwinan tersebut melahirkan anak-anak yang kurang bermutu sama ada dari segi kecerdikan atau akhlaknya. Kita boleh buktikan hal ini dengan melihat pada keturunan kebanyakan raja di dunia yang mereka berkahwin sesama puak dan keluarga. Kurang sangat anak-anak raja jadi profesor dan yang mampu mentadbir dengan berjaya. Kebanyakan hanya mampu jadi pemimpin boneka. Saksikan juga hal ini pada rakyat biasa, tentang kualiti anak yang lahir dari perkahwinan di kalangan keluarga. Di Eropah misalnya sekarang ini ada satu kelompok masyarakatnya yang lahir dari perkahwinan anak dengan bapa, adik dengan abang, ibu dengan anak. Anak-anak haram itu bodoh-bodoh dan jahat, tidak berguna kepada masyarakat. Hal begini kita lihat tidak pula berlaku dikalangan keturunan Rasulullah yakni Sayid-Sayid dan Syarifah. Mereka walaupun berkahwin sesama keluarga dan puak, namun anak-anak mereka masih berkualiti. Mungkin kerana ALLAH istimewakan keturunan Rasulullah SAW.

Seperkara yang perlu diambil perhatian dalam membincangkan watak ini ialah faktor pendidikan. Pendidikan yang Islamik sangat penting untuk menyuburkan watak atau membendungnya. Tanpa pendidikan, watak yang baik pun akan meliar apalagi watak yang tidak baik. Contoh, watak berani. Ini watak yang baik. Tapi kalau tidak dididik, individu atau bangsa yang berani itu, mungkin keberaniannya dihalakan untuk melakukan maksiat atau mungkin berani membunuh orang, berani mencuri, menipu dan lain-lain lagi. Apa baiknya lagi keberanian bentuk ini?

Berani yang membawa kebaikan itu ialah berani dalam memperjuangkan kebenaran dan hukum ALLAH. Berani menentang musuh-musuh ALLAH dan berani dalam menentang mazmumah (nafsu dan syaitan). Untuk itu hendaklah orang-orang yang berani itu diajar, diasuh, dididik dan dipimpin oleh satu sistem pelajaran dan pendidikan yang benar-benar merujuk kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, oleh guru-guru yang soleh dan solehah. Tanpa memenuhi syarat-syarat pendidikan tersebut, belum terjamin akan lahirnya orang-orang berani yang baik. Lihatlah realiti masyarakat kini; hasil dari sistem pelajaran dan pendidikan sama ada formal atau informal, di rumah atau di sekolah telah melahirkan lebih ramai lagi yang berani rasuah, menipu, berzina, menindas, menyalahgunakan kuasa, berfoya-foya, membazir, berjudi, derhaka kepada guru dan ibu bapa dan lain-lain lagi, daripada berani menegakkan kebenaran dari ALLAH. Ini adalah akibat dari salah didikan terhadap watak yang ada.

Contoh lain ialah watak lemah lembut. Watak ini memanglah watak yang baik. Tapi kebaikannya itu ditentukan pula oleh bentuk pendidikan yang diperolehinya. Kalau tersalah didik, watak ini membuatkan seorang itu berlemah lembut dan bertolak ansur dalam segala hal termasuklah dengan soal-soal yang bercanggah dengan syariat; yakni dengan maksiat dan kemungkaran. Sebaliknya kalau mendapat didikan yang tepat, yakni pendidikan Rasulullah, watak ini akan subur menjadikan seseorang itu tenang menghadapi masalah dan suasana gawat, lapang dada yakni bersedia menerima dengan senyum akan setiap ragam dan kerenah manusia. Maka tidaklah timbul pergaduhan, ketegangan dan lain-lain dalam rumahtangga atau masyarakat.

Demikianlah dengan watak-watak lain yang ada pada manusia itu, hendaklah dididik dengan syariat ALLAH. Barulah nanti melahirkan manusia atau bangsa yang benar-benar berguna.

Sebagai kesimpulannya saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua saranan saya itu, iaitu kahwin campur dan pendidikan Islamik adalah dua perkara yang besar yang perlukan kerjasama dan kesedaran menyeluruh antara semua pihak dan semua kaum terutamanya badan-badan Islam. Kiranya itu tidak berlaku maka saranan itu mustahil boleh dilaksanakan.

Maka untuk menjayakannya perjuangan yang besar, perancangan yang meluas, pengorbanan yang maksimum serta tenaga yang ramai adalah wajib. Pejuang-pejuang yang berjiwa besar, yang ikhlas, yang sangat bertanggungjawab terhadap nasib manusia sedunia saja yang boleh melakukannya. Dengan bantuan ALLAH pada hamba-hamba yang bertaqwa, insya-ALLAH, kejayaannya tidak akan mustahil. Kita mulakanlah dari sekarang. Kalau kita mati, ada yang menyambungnya. Dan sejarah kebangkitan Islam untuk seluruh dunia pasti akan berulang buat kali kedua.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer