Hasil Perniagaan atau Perdagangan


Hasil Perniagaan atau Perdagangan 

Wujud tertinggi perniagaan yang diredhai Allah ialah menginfakkan (membelanjakan harta) di jalan Allah. Ini dilakukan dengan tiga jalan:

  1. Mengeluarkan zakat yang wajib pada setiap genap setahun.
  2. Bersedekah sebagai amalan tambahan (sunat) kepada golongan masyarakat yang memerlukannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :" Adalah seorang saudagar yang memberi hutang kepada manusia maka apabila ia melihat orang itu dalam kesusahan ia berkata kepada khadamnya: Maafkanlah orang itu moga-moga Allah memberi maaf ke atas kita. Maka Allah memaafkannya."
  3. Berjihad di jalan Allah dengan membelanjakan harta yang diperolehi itu untuk membangunkan Islam. Dibangunkan projek untuk masyarakat dan disumbangkan untuk usaha-usaha dakwah dan perkembangan agama. Harta yang dibelanjakan pada jalan Allah akan terus subur dan membiak. Ia akan diberkati oleh Allah dengan cara dicampakkan ketenangan dalam diri dan rasa mencukupi dengan apa yang ada.

NAS-NAS TENTANG ZAKAT DAN SEDEKAH

  1. Surah At Taubah ayat 34-35 yang bermaksud :" Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dinafkahkannya di jalan Allah, beritakanlah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat seksa yang amat pedih. Di hari itu semuanya dipanaskan dalam neraka jahanam, lalu dibakar dahi, rusuk dan punggung mereka, (dikatakan) inilah yang kamu simpan untuk dirimu dahulu, sebab itu rasailah (akibat) apa yang kamu simpan itu."
  2. Surah Ali Imran ayat 180 yang bermaksud :"Janganlah orang yang bakhil dari memberikan apa yang telah dikurniakan Allah kepadanya mengira bahawa kebakhilan itu membaikkan mereka. Tidak! melainkan memburukkan mereka. Nanti harta yang mereka kikirkan itu akan digantungkan di lehernya pada hari kiamat.
  3. Surah Al Anfal ayat 3-4 yang bermaksud :" Mereka yang mengerjakan sembahyang dan membelanjakan setengah daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang sebenarnya beriman."
  4. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: " Tidak akan binasa harta yang di laut ataupun di darat, melainkan dengan menahan zakatnya.

ADAB BERZAKAT

  1. Berlapang dada ketika mengeluarkan zakat.
  2. Berkeadaan gembira kerana penerima zakat sudi mengambil zakatnya.
  3. Elakkan dari timbul perasaan bangga. Firman Allah yang bermaksud :" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu merosakkan sedekah-sedekah kamu dengan memuji diri dan cercaan."
  4. Janganlah merasa terpaksa, kerana ini adalah sifat orang munafik.
  5. Keluarkan dari harta yang paling baik, hindarkan dari memberi zakat dari harta yang rosak. Firman Allah yang bermaksud :"Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu membelanjakannya." (Al Baqarah:267)

KELEBIHAN BERZAKAT

  1. Menggembirakan hati penerima zakat sekaligus menguatkan ukhuwah Islamiah.
  2. Mengikis nafsu dari mencintai harta. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan berkurangan harta yang disedekahkan."
  3. Menimbulkan rasa bersyukur ke hadrat Allah dengan rezeki yang berlebihan.
  4. Menghubungkan kasih sayang di antara orang miskin dan kaya.

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer