Dahulukan Hubungan Kita Dengan Allah

" Kalau kita cinta kepada Allah akan lebih mudah bagi kita untuk mencintai sesama manusia. "

Manusia ini tidak terlepas daripada dua hubungan. Pertama, hubungan kita dengan Allah dan kedua, hubungan kita sesama manusia. Kedua-dua hubungan ini penting. Kedua-duanya perlu dijaga. Kalau hubungan kita dengan Allah baik tetapi hubungan kita sesama manusia tidak baik, maka hubungan seperti ini tidak akan membawa kepada natijah yang diharapkan. Sebaliknya, kalau hubungan kita sesama manusia baik tetapi hubungan kita dengan Allah tidak baik, maka ini adalah satu perkara yang akan membawa kepada kehampaan.

Kalau kita cinta kepada Allah tetapi tidak ada rasa cinta dan kasih sayang sesama manusia, maka cinta kita kepada Allah itu boleh dipersoalkan kerana bukti kita cinta pada Allah ialah kita cinta kepada hamba-hamba dan mahkluk-Nya. Kalau kita taat kepada Allah tetapi tidak taat kepada orang yang perlu kita taati seperti suami, ayah, guru, pemimpin dan sebagainya, maka ketaatan kita kepada Allah itu menjadi tanda tanya.

Kalau kita bersyukur dan berterima kasih kepada Allah tetapi tidak pandai berterima kasih kepada manusia, maka ini juga cacat kerana tidak ada syukur yang sebenarnya kepada Tuhan tanpa kita berterima kasih sesama manusia. Begitulah seterusnya. Di samping itu pula, tidak ada makna kita hanya berkasih sayang dan mencintai sesama manusia, atau kita taat kepada manusia, atau kita berterima kasih hanya kepada manusia tetapi di waktu yang sama kita lupa untuk mencintai Allah, lupa untuk mentaati Allah dan lupa untuk bersyukur serta berterima kasih kepada Allah.

Allah adalah punca dan sumber bagi segala-galanya. Dialah sumber kasih sayang. Dialah sumber segala rahmat dan nikmat. Manusia hanyalah wasilah atau perantaraan. Kalau dengan wasilah atau perantaraan pun Allah mahu kita berkasih sayang, Allah mahu kita taat dan Allah mahu kita berterima kasih, apatah lagi kepada sumber dan punca segala-galanya itu, lebih-lebih lagilah patut kita cinta, taat dan bersyukur kepada Allah.

Di antara dua hubungan ini, kita mesti dahulukan hubungan kita dengn Allah. Ini kerana kalau kita cinta kepada Allah akan lebih mudah bagi kita untuk mencintai sesama manusia. Kalau kita taat kepada Allah, kita lebih mudah untuk taat kepada manusia yang wajib kita taati. Kalau kita bersyukur dan berterima kasih kepada Allah maka kita akan mudah untuk berterima kasih kepada manusia. Tambahan lagi kalau kita bertolak dari mencintai Allah, mentaati Allah dan bersyukur kepada Allah terlebih dahulu maka kita tidak akan tersasar atau tersilap atau tertipu di dalam kita mencintai, mentaati dan berterima kasih kepada manusia.

Semua itu akan berlandaskan kepada kehendak dan keredhaan Allah jua. Dalam kita mencintai dan mengasihi manusia, dalam kita berterima kasih kepada manusia kita tidak akan terlupa dengan cinta, ketaatan dan kesyukuran yang hakiki - iaitu kepada Allah,sumber bagi segala-galanya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer