Apabila Tuhan Dilupakan Dalam Mendidik Anak- Anak


14/07/2006

Harian Metro,14 Julai;
Pukul Bapa Dengan Besi.


MASJID TANAH: Seorang anak memukul kepala bapanya dengan sebatang besi kerana berang ditegur supaya meninggalkan tabiat meminum arak.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di rumah mereka di Kuala Sungai Baru, bapa berusia 62 tahun itu luka di kepala dan diberi rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik. Sebelum kejadian, mangsa dikatakan menegur anak lelakinya yang berusia 18 tahun dan bekerja sebagai nelayan kerana gemar meminum arak.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner II, Zaleha Abdul Rahman, berkata teguran mangsa menyebabkan anaknya melenting dan berlaku pertengkaran sesama mereka. Menurutnya, ketika bertengkar, anak mangsa gagal mengawal perasaan marahnya lalu mengambil sebatang besi di dalam rumahnya dan memukul kepala bapanya. Perbuatan itu menyebabkan mangsa luka di kepala. Menyedari bapanya cedera, si anak melarikan diri.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, katanya. Beliau berkata, polis menerima laporan berkenaan pergi ke rumah mangsa untuk menahan anaknya tetapi dia sudah menghilangkan diri.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau sebat. Polis masih mengesan anak lelaki mangsa, katanya.



Dewasa ini soal anak liar sudah kurang menjadi isu bukan kerana gejala sosial ini sudah susut. Tetapi tidak menjadi isu itu kerana sudah muak dengan isu yang sama tanpa penyelesaian yang konkrit.

Tidak ada ibu bapa yang suka anak-anaknya derhaka, melawan ibu bapa, tidak mengikut kata.Anak-anak yang baik adalah hasil didikan dari kecilnya. Oleh itu anak-anak menjadi baik bukan jadi dengan sendirinya, ia adalah hasil didikan. Sudahkah ibu bapa pandai mendidiknya?

Selaku ibu bapa mesti benar-benar rasa bertanggungjawab terhadap amanah yang Tuhan serahkan kepada mereka iaitu diri sendiri dan anak-anak. Mereka sebagai faktor penentu kepada nasib masa depan anak-anak terutamanya di Akhirat kelak, maka merekalah yang terlebih dahulu perlu mengubah sikap. Peribahasa Melayu mengatakan `bapa borek anak rintik` menggambarkan betapa anak-anak sangat dicorakkan oleh ibu bapa mereka.

Langkah pertama dan utama bahkan yang paling penting ialah bersangka baiklah terhadap Tuhan. Kena faham dan yakin sungguh bahawa Tuhan Maha Baik, yang amat luas anugerah dan rahmat-Nya. Siapa pun yang menghadapi masalah dan tidak kira apa bentuk masalah serta tidak kira sama ada masalah itu ringan atau berat, mudah atau rumit, yakinlah bahawa Tuhan ada maksud yang amat baik terhadap hamba-hamba-Nya.

Terlalu banyak hikmah, iktibar dan pengajaran di sebalik setiap masalah. Sebahagian daripada hikmah-hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal dan tidak berupaya dijangkau oleh hati.Namun hikmah yang amat besar ertinya bagi seorang hamba yang ditimpa masalah ialah Tuhan seolah-olah menjentik atau mencubit atau mengetuk hatinya supaya berpaling kepada Tuhan. Melalui Tuhan hantarkan masalah kepada seseorang itu, seolah-olah Tuhan menggoncang hatinya yang sedang tidur atau lalai supaya membuka dan mencelikkan mata hatinya supaya kembali melihat Tuhan dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya.

Apakah yang lebih menumbuhkan rasa indah, nikmat dan seronok selain kepada kekasih yang dengan tindakannya itu dia akan menerima tindak balas.Begitulah seolah-olahnya masalah itu Tuhan memberi satu cubitan supaya hati hamba-hamba-Nya kembali memberi perhatian kepada Tuhan. Melalui cara itulah nanti manusia akan sedar, insaf dan kembali memiliki rasa kehambaan. Rasa lemah, dhaif, lalai, leka, berdosa, bersalah, durhaka dan sebagainya. Sekaligus akan bertambah rasa berTuhan. Merasai Tuhan Maha Besar, Maha Sempurna, Maha Pencipta, Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

Adanya ilmu, kefahaman, kesedaran dan keyakinan begini, kalau pun masalah belum boleh di atasi, hati menjadi tenang.InsyaAllah akan diiringi pula dengan tindakan-tindakan yang juga tenang serta tidak gopoh. Kesabaran akan meningkat, kasih sayang pula lebih mudah dicetuskan.

Adakalanya masalah anak-anak seumpama yang berlaku ini adalah kifarah dari Tuhan. Ertinya di atas dosa-dosa dan kesalahan ibu bapa, maka Tuhan turunkan isyarat melalui anak-anak.Dengan kata lain Tuhan turunkan isyarat bahawa masalah anak-anak itu sebenarnya berpunca dari ibu bapa mereka.

Andainya ibu bapa dapat merasakan yang demikian itu, ianya satu petanda awal Tuhan akan lakukan perubahan terhadap anak-anak mereka.Sebagai langkah susulan kepada kesedaran tersebut, ibu bapa hendaklah membaiki diri, seperti:
a. Bertaubat terhadap segala dosa-dosa, sama ada dosa besar,dosa kecil, dosa dahulu, dosa yang akan datang, dosa yang diketahui, dosa yang tidak diketahui, dosa yang disengajakan, dosa yang tidak disengajakan, dosa yang disedari atau dosa yang tidak disedari. Lebih-lebih lagi dosa batin yang jauh berganda-ganda lebih banyak.

b. Menebus dosa dengan memperbanyakkan sedekah. Sedekah pula disertai dengan niat agar Tuhan merahmati seluruh keluarga terutama anak-anak yang liar itu. Buatlah sedekah ini secara istiqamah biarpun dalam jumlah yang sedikit.

c. Memohon maaf dengan sesiapa yang dirasai pernah berbuat dosa atau kezaliman terutama terhadap guru-guru dan ibu bapa. Sekiranya orang-orang tersebut telah meninggal dunia, maka hadiahkan Surah al-Fatihah sebanyak mungkin dan mohon keampunan dari Tuhan terhadap dosa-dosa mereka. Termasuk mohon ampun dari Tuhan terhadap dosa-dosa kita kepada mereka itu.

d. Kasih sayang adalah fitrah manusia. Pengganas sekalipun tetap menyukai andainya orang lain menyayangi dirinya.Kasih sayang juga adalah salah satu faktor kebahagiaan hidup manusia. Siapa sahaja yang kehilangan kasih sayang pasti menanggung perasaan resah, derita dan tertekan.Tidak hairanlah mengapa manusia kini mudah bersikap keras, kasar, pemarah, bengis, kurang sabar, nafsi-nafsi serta mudah bertindak liar. Tidak lain dan tidak bukan kerana seluruh dunia sudah ketandusan kasih sayang.

Anak-anak liar, selain tiada didikan mencintai Tuhan, tiada didikan iman dan taqwa, mereka juga sudah tidak mengecapi nikmat kasih sayang dari keluarga dan masyarakat, terutamanya dari ibu bapa dan guru-guru. Sedangkan kasih sayang adalah senjata yang amat berkesan untuk menjinakkan hati manusia.

Kasih sayang ibu dan ayah utamakan Akhirat, dunia tidak diabaikan. Cintakan Tuhan, takutkan-Nya, taat kepada-Nya.Diasuh berakhlak mulia, tanam kasih sayang sesama manusia.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer