Antara Wibawa Suami Dan Ketaatan Isteri


10/12/2005

Institusi Keluarga
Petikan
" Institusi keluarga sudah tidak berfungsi sebagai tempat mendidik manusia, sudah tidak berperanan sebagai tempat menyuburkan iman dan taqwa, tidak membangunkan jiwa,tidak membentuk dan mencorakkan insaniah.
Belaian kasih sayang, ayunan buaian seorang ibu yang menyuburkan jiwa bertuhan atau rasa bertuhan yang buahnya ialah manusia agung yang hatinya sangat membesarkan Tuhan sehingga seluruh makhluk ini dipandang kecil. "


Akibat daripada keruntuhan institusi keluarga berbagai-bagai masalah sosial telah terjadi dan tidak dapat dibendung lagi. Kes-kes juvana meningkat dengan ketara. Di Barat kini seolah-olah sudah tiada lagi institusi keluarga. Ini dilihat bukan saja ramainya bersekedudukan tanpa kahwin, bahkan yang berkahwin secara sah pun sudah terlalu amat runtuh.

Perkahwinan tidak lebih dari sekadar memenuhi tuntutan biologi. Suami sudah tidak ada rasa bertanggungjawab terhadap isteri. Isteri pula tidak perlu taat kepada suami. Ibu bapa sangat tidak memberi kasih sayang kepada anak-anak dan anak-anak pula sentiasa mencari peluang untuk hidup bebas dari ikatan kekeluargaan.

Andainya tidak diperkukuhkan oleh undang-undang nescaya pertalian kekeluargaan amat terbarai. Akibat daripada keruntuhan institusi keluarga itu amat mereka rasai. Berbagai-bagai masalah sosial telah terjadi dan tidak dapat dibendung lagi. Kes-kes juvana meningkat dengan ketara. Jenayah kekeluargaan juga amat menakutkan. Undang-undang yang mereka cipta tidak memberi kesan untuk mententeramkan kehidupan berkeluarga. Berbagai peristiwa dan pengalaman pahit yang berlaku saban hari sangat mengganggu perasaan dan fikiran Mereka menyedari apa yang telah berlaku yang punca utamanya adalah keruntuhan institusi keluarga . Namun mereka tidak berupaya membaikpulih keremukan yang berlaku itu.

Para inteleknya dan pemikir masyarakat mengaut keuntungan hasil penjualan buku atau menjual modul yang sarat dengan idea kekeluargaan, namun semuanya berakhir dengan kehampaan. Ikatan tali kekeluargaan tetap tidak berlaku. Kerosakan dan kejahatan masyarakat Barat ini kalau dicatatkan nescaya senarainya amat panjang, kerana ianya seolah-olah sudah menjadi budaya hidup. Sudah sebati atau sudah menjadi sebahagian dari keperluan hidup. Contohnya arak sudah dianggap sebahagian kehidupan mereka. Samalah juga dengan perceraian, bersekedudukan, anak luar nikah, tersisih dan terbuangnya ibu bapa dan warga tua.

Tamadun mereka menjulang tinggi, tetapi akhlak, kemanusiaan, kebahagiaan ranap menyembah bumi . Semua yang dipaparkan itu berpunca daripada hidup tanpa Tuhan . Apabila hidup tanpa Tuhan yang secara automatik sudah tidak lagi merasai kehambaan, maka nafsulah yang berkuasa. Sedangkan nafsu itu sangat mengajak dan mendorong kepada kejahatan, hidup tanpa peraturan seperti haiwan yang nafsi-nafsi. Masing-masing hanya mahu menonjolkan ego dan rakus untuk kepuasan diri saja. Halal haram sudah tidak diambil kira.

Malangnya, kerosakan masyarakat Barat itu turut melanda umat Islam. Keruntuhan institusi keluarga turut tidak terkecuali di kalangan umat Islam. Walaupun tidak sampai begitu parah seperti masyarakat Barat, namun ianya tetap di tahap serius. Tidak hairan kesannya turut menjalar di tengah masyarakat. Apa yang berlaku di kalangan masyarakat Barat, itu juga kejahatan dan kemungkaran yang terjadi di kalangan umat Islam.

Contohnya, di negara kita sedang hangat dengan isu Black Metal, Pink Metal, Heavy Metal, dalam keadaan kita belum pulih dari masalah dadah, bohsia, lepak, ponteng sekolah, vandalisma, gangsterisma dan lain-lain lagi. Mengapa terjadi hal yang sama seperti masyarakat Barat? Jawabnya ialah dari punca yang sama. Kalau masyarakat Barat secara total menolak Tuhan, masyarakat Islam pula biarpun tidak menolak Tuhan, namun Tuhan sudah tidak dibesarkan dalam kehidupan. Tuhan sudah tidak dibawa bersama dalam segala urusan termasuk dalam rumahtangga dan keluarga.

Hasilnya sama saja, iaitu nafsulah yang besar dan berkuasa dalam urusan harian termasuk dalam hal ehwal keluarga. Hidup berkeluarga adalah fitrah manusia. Ertinya sesuatu yang memang semulajadi diingini oleh manusia. Siapa yang menentangnya pasti akan berlaku kepincangan dan hilang kebahagiaan.

Dalam Islam, fitrah berkeluarga itu dikuatkan lagi dengan perintah Tuhan yang bermaksud: Jagalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka. Isyarat dari Tuhan mengenai menjaga keluarga itu amat berat apabila Tuhan memerintahkan agar menjaga keluarga dari api Neraka, yang tentunya bukan satu urusan mudah dan remeh. Satu kewajipan yang tidak boleh mencari helah untuk berlepas diri. Andainya ada ahli keluarga yang dilemparkan ke Neraka maka pihak yang paling bersalah ialah pimpinan dalam keluarga itu sendiri iaitu suami atau bapa.

Perintah menjaga diri dan menjaga keluarga dari api Neraka itu dirangkaikan sekali. Ini menggambarkan betapa menjaga diri dan menjaga keluarga itu sama penting. Sebab itu tidak hairan bilamana dikhabarkan dalam sebuah Hadis Qudsi mengenai seorang hamba Allah yang membawa amalan yang banyak di Akhirat nanti tetapi dilemparkan ke Neraka lantaran tidak mencukupi untuk menebus dosa-dosa anak isterinya yang banyak.

Banyaknya dosa-dosa anak isteri itu berpunca dari kelalaian dirinya selaku suami dan bapa . Apabila anak isterinya menuntut keadilan dari Tuhan maka Tuhan hukum dirinya yang lalai, cuai serta mengabaikan mereka. Apabila tidak setimpal pahala dirinya untuk menebus dosa-dosa anak isterinya maka Tuhan perintahkan dilempar ke Neraka bersama-sama anak isterinya. Itu adalah coretan peristiwa di Akhirat yang amat mengerikan.

Cuba kita tinjau pula di dunia ini. Mengapa kemungkaran dan kemaksiatan di kalangan masyarakat Islam sangat berleluasa? Tidak usahlah kita meletakkan masalah itu kepada golongan remaja saja. Golongan lain pun turut terlibat bahkan lebih dahsyat, zalim dan jahat. Penyelewengan yang dilakukan oleh golongan lain sebenarnya jauh lebih besar dosanya dan jauh lebih berat nilai kerosakannya.

Itu semua tidak lain adalah kerana institusi keluarga sudah tidak berfungsi sebagai tempat mendidik manusia, sudah tidak berperanan sebagai tempat menyuburkan iman dan taqwa, tidak membangunkan jiwa, tidak membentuk dan mencorakkan insaniah.

Tidak keterlaluan kalau dibandingkan rumahtangga kini sudah seperti tanah perkuburan. Hanya menjadi tempat menghimpunkan mayat-mayat hidup yang roh sudah tidak berfungsi. Bangkai bernyawa yang hanya makan, minum, tidur, rehat dan berkelamin. Buka saja mata di waktu pagi bukan Tuhan yang diingat atau didahulukan, tetapi ialah segala macam yang bersifat benda. Apa saja yang hendak dilakukan semuanya menjurus kepada unsur-unsur makan, minum, tidur, rehat dan berkelamin.

Tuhan dan Akhirat sudah tidak diambil kira. Halal haram juga tidak pernah diperhitungkan. Apabila roh atau hati atau jiwa kehilangan fungsi maka penghuni rumahtangga atau anggota keluarga itu tidak ubah umpama mayat bergerak. Tamadun material dibangunkan bermati-matian bahkan semakin hari semakin canggih. Tetapi tamadun rohani semakin pudar, gersang, kering-kontang.

Akibatnya tamadun yang tinggi itu sedikit pun tidak mendatangkan nikmat kebahagiaan sejati yang hanya dapat dirasakan di hati. Biar ribuan saranan, idea, buah fikiran, cadangan, agenda dan program dibuat untuk mengatasi kemungkaran maksiat dan penyelewengan, bukan saja tidak dapat mengatasinya, bahkan dalam perlaksanaannya pula penuh dengan berbagai penyelewengan baru. Atau boleh juga menyelesaikan satu masalah tetapi timbul pula sepuluh side effect baru.

Akhirnya masalah yang sedia ada belum selesai, berlapis bersusun dan bertindih pula masalah baru. Kadang-kadang terdapat juga pihak yang menampakkan kesungguhan untuk membaik pulih institusi kekeluargaan. Mereka tampil dengan berbagai modul kekeluargaan. Kehadiran mereka disambut meriah oleh masyarakat yang secara kebetulan sedang sangat mendambakan penyelesaian. Namun hasilnya tidak pula menurunkan kadar kemungkaran masyarakat. Wang para peserta berpindah ke poket para motivator ini kerana mereka juga hanya sekadar memberikan idea, pendapat, saranan melalui berbagai hasil kajian, tetapi tidak benar-benar membawa manusia kembali kepada Tuhan agar penuh rasa takut, gerun, ngeri dan benar-benar membesarkan Tuhan.

Selagi institusi keluarga tidak diperkukuhkan dengan kembali kepada Tuhan dan syariat-Nya. Selagi Tuhan tidak dibesarkan dan diutamakan. Selagi syariat Tuhan terabai dan terbarai dalam rumahtangga, selama itulah masalah masyarakat tidak akan selesai . Oleh itu siapa pun yang ingin melihat masyarakat Islam dan bercita-cita memperjuangkannya, maka jangan memandang kecil dan remeh soal pembentukan institusi keluarga menurut Islam. Empayar Islam yang telah berlaku berkurun lamanya bukan produk dari mana-mana universiti di zaman itu. Tetapi adalah produk pembinaan insaniah yang amat berkesan . Semuanya berlaku di alam rumahtangga dan keluarga. Apabila kita kagumi tokoh-tokoh Islam yang amat berjasa dan masyhur, maka itu adalah produk dari didikan dan asuhan di alam rumahtangga. Rahim ibu itu adalah tempat adunan benih-benih suci murni hasil perkongsian hidup yang hanya bercita-cita dan berjuang untuk mendapatkan Tuhan. Kelahiran seorang bayi disambut oleh tangan yang sentiasa menadah kepada Tuhan mengharapkan keampunan, keredhaan dan rahmat Tuhan. Belaian kasih sayang, ayunan buaian seorang ibu yang menyuburkan jiwa bertuhan atau rasa bertuhan yang buahnya ialah manusia agung yang hatinya sangat membesarkan Tuhan sehingga seluruh makhluk ini dipandang kecil. Seluruh makhluk ini yang sifatnya menakutkan semuanya tenggelam lenyap di bawah ketakutan kepada Tuhan. Seluruh makhluk ini yang sifatnya sedap dan lazat semuanya tenggelam lenyap di bawah kecintaannya kepada Tuhan.

Semua makhluk yang ada ciri-ciri gagah, berkuasa, handal, jaguh semuanya tidak menggetarkan hatinya kerana tenggelam lenyap di bawah keagungan, kebesaran dan kekuasaan Tuhan. Peribadi agung yang menempa sejarah ini semuanya dibentuk melalui acuan utamanya di alam rumahtangga dan keluarga

artikel yang luar biasa

artikel yang luar biasa,
semakin mmbuka cakrawala ttg kehidupan suami istri

salam,
boost indonesia

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer