Angkara Nafsu - Pemusnah Perikemanusiaan


12/05/2006

Al Mubarak merupakan seorang khadam yang berkhidmat kepada tuannya yang bernama Abu Musa. Sepeninggalan Abu Musa selama tiga bulan, ladang delimanya diuruskan oleh Al Mubarak. Sekembalinya Abu Musa dari musafir, beliau ingin makan buah delima dan meminta Al Mubarak mengambilnya. Buah delima yang diambil oleh Al Mubarak itu didapati masam. Lalu Abu Musa meminta mengambil buah delima lain. Buah delima yang kedua itu juga rasanya masam. Dan yang ketiga juga rasanya masam.
Abu Musa yang kehairanan itu bertanya, "Selama tiga bulan engkau menguruskan ladang delima aku ini, engkau tidak dapatkah membezakan di antara yang manis dan yang masam? Apakah engkau tidak merasainya?"

Maka dijawab oleh Mubarak, "Aku hanya diamanahkan untuk menguruskan ladang tuan, aku telah menyempurnakan amanah itu dan tuan tidak pernah menyatakan keizinan untuk memakan buah delima di ladang tuan itu."jawapan Al Mubarak itu telah membuatkan Abu Musa sangat tertarik hati dan Abu Musa telah mengetahui betapa solehnya Al Mubarak itu.

Lantas Abu Musa telah mengahwinkan Al Mubarak dengan anak gadisnya. Perkongsian hidup Al Mubarak dengan isterinya yang merupakan anak kepada Abu Musa itulah maka lahirnya seorang yang sangat warak bertaraf wali serta sangat luas dan dalam ilmu pengetahuannya, iaitulah Abdullah bin Mubarak atau lebih dikenali sebagai Ibnu Mubarak.
Datuknya, Abu Musa, pernah bertanya kepada cucunya iaitu Ibnu Mubarak mengenai bahaya angkara nafsu.Maka dijawab oleh Ibnu Mubarak seperti berikut:

--Pertama:
Nafsu yang telah menyebabkan Hawa berjaya digoda oleh syaitan menyebabkan dia memakan buah dari pohon khuldi yang dilarang oleh Allah SWT. Itu sebagai sebab Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.ha. terkeluar dari Syurga dan terpisah mereka berdua untuk tempoh yang lama ketika berada di bumi.

Kedua:
Qabil sanggup membunuh Habil kerana dorongan nafsu yang sangat ingin berkahwin dengan adiknya, pasangan kembarnya sendiri yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT.

Ketiga:
Nabi Yusuf a.s. terpenjara lantaran kerakusan nafsu Zulaikha.
Kejahatan atau angkara nafsu amat dahsyat. Apabila nafsu memegang tampuk pemerintahan kuasa dalam did manusia, ianya akan bermaharajalela. Apabila nafsu berkuasa dia akan mendorong manusia. berbuat apa saja. Seribu satu macam kejahatan akan terjelma dalam kehidupan. Akan terciptalah seribu satu macam kejahatan tanpa batas sempadan. Undang-undang, akta dan peraturan tidak berguna lagi.

Nafsu yang bermaharajalela dan tanpa batasan ini umpama banjir yang melanda apa saja yang tidak dapat dibendung. Empangan pecah, benteng runtuh, pokok tumbang, tanaman musnah, rumah ranap. Nafsu juga boleh diumpamakan ribut taufan atau puting beliung yang menggila yang memusnahkan apa saja dan segala benda. Kadang-kadang nafsu juga ibarat api yang tidak mengenal mangsa yang membakar apa saja.

Demikianlah angkara nafsu manusia kalau tidak dijaga, dikawal, dikekang dan ditundukkan. Lihat sahaja realiti yang berlaku di dalam kehidupan manusia yang didorong oleh nafsu. Sebut saja di aspek mana pun, berbagai kedurjanaan yang menyebabkan manusia hidup terseksa. Bermula dengan individu yang bernafsu besar, buas dan rakus. Hidupnya sekadar mahu memuaskan nafsu saja tanpa mengira halal haram. Tamak haloba sering menguasai diri. Egonya tinggi dan sangat mementingkan diri sendiri. Bukan sahaja akan berlaku kejam kepada orang lain malah kadang-kadang sampai membunuh did kerana terjerumus kepada kekecewaan yang amat sangat.
Rumahtangga pula tidak pernah aman tenteram. Krisis berlaku berpanjangan. Kasih sayang terbarai. Ikatan kekeluargaan dan pertalian darah terungkai.
Pertengkaran, pertelingkahan malah penderaan sering berlaku. Anak-anak menjadi mangsa dengan mengalami tekanan jiwa. Mana ada lagi kebahagiaan. Akhirnya rumahtangga menjadi Neraka.

Sekiranya nafsu rakus dan ganas ini dimiliki oleh pemimpin maka lebih besar dan lebih luas lagilah daerah kedurjanaannya. Untung nasib rakyat dan negaranya tidak diambil pusing. Habis kekayaan rakyat dan negara dibolotnya. Perpecahan dan permusuhan yang terjadi di dalam negara di luar perhitungannya. Kemungkaran dan kemaksiatan tidak diambil peduli. Apa yang lebih penting ialah menjaga kedudukan. Peri kemanusiaan sudah musnah. Jangan ada pihak yang cuba menasihati, lantas akan dianggap penentang. Pengkritik dibariskan sebagai musuh yang mesti dilenyapkan. Di kelilingnya dipenuhi oleh pengampu. Pengampu yang bersekongkol itu juga turut serta dengan kerakusan nafsu. Golongan pengampu itulah yang sering diletakkan sebagai wira bangsa dan pembela masa hadapan. Kredibiliti atau kualiti kepimpinan pengampu itu tidak menjadi ukuran. Apa yang lebih penting ialah saling bela-membela untuk kepentingan masing-masing.
Rintihan rakyat tidak didengarnya. Malah rakyat dalam kesusahan itu pula menjadi sasaran kecaman dengan pelbagai label - malas, lemah, tidak pandai cari peluang dan sebagainya.

Puluhan tahun Hiroshima dan Nagasaki dibangunkan, hanya dengan sekelip mata hancur musnah menjadi abu. Ratusan ribu manusia tidak berdosa mati dan meninggalkan ratusan ribu pula janda dan yatim piatu.

Di Afghanistan, daripada 22,000 kampung dan bandar, 19,000 musnah kerana perang. 5 juta rakyatnya mati dan meninggalkan 7 juta janda dan anak yatim.Sebut saja di mana dunia ini yang berlaku peperangan, maka di sana terdapat pemimpin gila dan sakit jiwa. Semuanya adalah kesan daripada nafsu yang berkuasa dan bermaharajalela.

Nafsu sifatnya maknawiyah (abstrak). Maka nafsu juga hanya dapat ditundukkan oleh satu kuasalain yang bersifat maknawiyah, iaitu iman dan tagwa. Hanya apabila mana memiliki rasa kehambaan dan rasa bertuhan yang tinggi barulah nafsu dapat ditundukkan. Rasa takut dan cinta kepada Tuhan, hati menjadi lembut dan dapat membunuh sifat mazmumah

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer