Abuya Ashaari Muhammad At Tamimi
Abuya Ashaari Muhammad At Tamimi adalah pendiri jemaah Global Ikhwan. Berikut ini adalah biografi Abuya, diambil dari buku Pemimpin Ajaib:
Biografi Abuya
Usiaku telah menjangkau enam puluh tahun
Sepanjang umurku aku telah menempuh hidup berliku-liku
Cabaran demi cabaran menggugat kehidupanku
Masam, manis, masin, pahit maung telah aku rasai
Aku telah menempuh berbagai-bagai zaman
Satu kali adalah zaman Jepun yang ganas dan kejam
Dua kali berlaku zaman British yang halus diplomasinya
Di zaman peralihan ialah komunis mengganas 10 tahun
Sudahlah miskin, hidup pula dalam ketakutan
Setiap hari ada orang yang dibunuhnya
Ada kenderaan yang dibakarnya
Balai-balai polis yang diserangnya
Masa Jepun, papa kedana merata-rata negara
Sangat mengancam kehidupan termasuk aku dan keluarga
Ubi keledek sebagai nasi, itulah "beras A1"
makananku yang biasa di waktu itu
Adakalanya sehari sekali makan nasi atau pisang
Itu pun beras yang berdebu dengan kapur dicampur ubi
Ubi pun payah dicari
Sagu rumbia, buah getah makanan harianku yang istimewa
Makan nasi hanya 6 bulan atau setahun sekali
Pucuk-pucuk kayu, daun kalilayau, cendawan kulat
setiap hari aku makan
Pernah satu hari waktu hendak memakan sayur kalilayau
Terjumpa seekor lintah di celah daun
Untungnya di waktu itu ikan-ikan darat senang didapati
Bahan-bahan hutan mudah dicari
Kerana di masa itu bahan-bahan semula jadi
Belum dimusnahkan oleh pembangunan dan kemajuan
Zaman ini juga harimau, babi, buaya, ular,
mengganas di mana-mana
Kejamnya macamlah Jepun-Jepun
yang selalu menzalim orang terutama bangsa Cina
Hampir setiap hari lembu, kerbau, kambing dibahamnya
Zaman Jepun pakaian sangatlah susahnya
Sedikit-sedikit yang ada itu pun amat daifnya
Kain dan baju seribu tampungan
Bahkan setengah-setengah orang sudah ada
yang memakai daun-daun lebar yang keras
Atau kulit kayu yang diselimutkan di badan
Orang yang mati digulung sahaja dengan tikar mengkuang
kemudian dikuburkan
Rumah-rumah tempat tinggal
rata-rata macam rumah orang asli di hutan sekarang
Rumahku dan keluargaku semacam rumah mereka juga
tidak ada bezanya
Penyakit mengganas tidak ada orang yang terkecuali
daripada serangannya
Ubat-ubatnya tiada, kecuali ubat tradisi sahaja
Zat makanan kurang sekali
Apabila berkudis susah mahu sembuh
Sering sahaja berulat di dalamnya
Masjid surau terbiar kambinglah penghuninya
Di waktu itu orang beragama macam antah di dalam beras
Seluruh penduduk kampung kalau ada dua atau tiga orang
Yang sembahyang secara istiqomah sudah dibanggakan
Di zaman Jepun aku pernah kematian keluarga
Di dalam masa setahun empat orang
ibu, kakak, adik, pak cik
Perhubungan sangat sulit dan susah
Alat-alat perhubungan sangat payah
Menyeberang sungai melalui jambatan buluh
Atau setengah tempat menggunakan rakit buluh
Berjalan kaki menjadi basahan harian
Adakalanya berjalan kaki berbelas-belas batu jauhnya
Berbatu-batu naik kereta lembu sering berlaku
Naik kereta mungkin satu atau dua tahun sekali
biasanya lori
Pernah berlaku dua kali di zaman Jepun
kapal terbang Jepun datang
Satu kampung penduduk kampung lari ketakutan
termasuk aku yang masih kecil
Pernah aku melihat sebuah kapal terbang terbakar di udara
kemudian jatuh di tempat yang aku tidak tahu
Beberapa lama kemudian aku tahu
Sebuah kapal terbang British jatuh ditembak oleh Jepun
jatuh di Kampung Sawah Raja, Rembau
Di zaman permulaan British
kehidupan agak lebih baik sedikit
Namun kebatilan dan kemiskinan merata negara
Beras sudah ada, tepung seperti biasa
Tapi masih terbatas dan terhad
Pakaian sudah dijual merata-rata
Kebanyakannya kain belacu
Namun bermewah-mewah belum ada
Kalaupun ada golongan atasan sahaja
Itu pun hanya golongan terlalu minoriti
Pekerjaan sangat terbatas
Tidak seperti hari ini
Lumrah pekerjaan orang Melayu
ialah mata-mata, askar, cikgu
Kerani dan kastam satu dua termasuk ayahku
Perhubungan sudah ada tapi tidak selesa
Perjalanan satu jam di waktu ini
mungkin lima jam di waktu itu
Di zaman itulah aku dan keluarga naik bas turun bas
Masanya agak lama juga
Pergi ke Kelantan di zaman itu dua hari
baru sampai ke Kota Baru
Rata-rata orang Melayu masih jahil
dan mundur di dalam pelajaran
Buta huruf merata negara terutama penduduk desa
Yang berkelulusan universiti bilangan jari
Aku adalah termasuk orang yang terkorban
di dalam pelajaran di masa itu
Kalau aku ringkaskan sejarah hidupku secara umum
Dari zaman British hingga ke hari ini lebih kurang begini:
Jalan kaki budayaku, kereta lembu kenderaan istimewaku
Makan ubi, buah getah, sagu rumbia mengganti nasi
makanan utamaku
Pakaianku bertampung seribu, akulah yang tampung sendiri
Di waktu masih kecil lagi
Ketika ibu dan bapa tiada di rumah
Aku masak sendiri
Baju aku basuh sendiri
Koyak aku jahit sendiri
Belum bersekolah aku sudah pandai memancing sendiri
Hasilnya dibawa pulang
Duduk di gerobok buruk
Di waktu itu reban ayam sekarang ini
adalah lebih cantik dari rumahku
Kenderaanku silih berganti
Tidak ada melangkau, ia berlaku secara bertahap-tahap
Dia berlaku secara meningkat dan berperingkat-peringkat
Dari berjalan kaki
Kemudian naik basikal
hinggalah dapat beberapa orang anak
Berbasikal adakalanya berpuluh-puluh batu
Berkaki ayam biasa sahaja di zaman kanak-kanak
Enak saja tidak pula terasa kaki sakit
Selepas itu alhamdulillah lega sedikit
Boleh naik motosikal Honda 65, kemudian Honda 90
Setelah itu Allah memberi rezeki kereta Helman second hand
Kemudian Morris Minor second hand juga
Sesudah itu Holdan second hand pula
Kemudian sedikit demi sedikit bertambah canggih
Kereta Corolla permulaannya
Berpindah pula kereta Peugeot 404 kemudian 504
Setelah itu barulah Mercedes
Selepas itu kenderaanku adalah Pajero
Kemudian Mercedes MPV (multipurpose van)
Kenderaan awam kemuncaknya adalah kapal terbang
Jadi kehidupanku mengalami bermacam-macam
dan berbagai-bagai peringkat
Dari papa kedana, fakir miskin, senang, kaya biasa
Yang belum lagi kaya luar biasa
Di aspek-aspek lain yang teringat elok juga diceritakan
Disengat ikan sembilang, baung perkara biasa
Diserang penyengat bermacam-macam jenisnya
sering sahaja
Digigit lipan dua kali, satu kali disengat kala jengking
Keling keliak tidak terkira, mungkin puluhan kali
Dikejar oleh anjing, diburu oleh kera jantan
hampir digigitnya
Digigit lintah, pacat memang tidak boleh dielakkan
memang perkara biasa
Jatuh dari rumah, jatuh dari pokok berlaku juga
Pernah di rumah orang kenduri, sedang makan
serambi rumahnya roboh
Kuah gulai menyimbahi pakaianku
Di waktu itu hari pertama aku mengajar
sebagai guru kerajaan
Jatuh dari basikal berdarah lutut tidak boleh dilupa
Kereta masuk gaung, patah kaki lebih-lebih
lagi tidak boleh lupakan
Di waktu kecil beberapa kali lemas di sungai,
mujur dapat diselamatkan atau terselamat
Dicucuk paku dua kali pun merasa, parutnya masih ada
Kali kedua gelap mata beberapa ketika
Aku dipelihara dari satu tangan ke satu tangan
Dengan ibu dan ayah tidak sempat bermanja
Berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat
jadi budaya
Berpindah dari rumah setinggan ke rumah setinggan
cara menyewa perkara biasa
Di umur persekolahan, mengangkat air
cari kayu api, ambil pucuk paku
menyapu laman, tukang masak kerja saya
Tinggal merata-rata tempat, di kampung dan di bandar
Pernah tinggal di tengah hutan, di kebun getah,
di sawah padi, di tepi laut, di tepi kubur
Di dalam pendidikan banyak sekolah tempat belajar
dan mengajar
Berpindah dari sekolah ke sekolah
Di dalam perjuangan, Allah takdirkan
di dalam persekolahan lagi
sudah ada cita-cita perjuangan
Keluar sahaja dari sekolah, perjuangan pun bermula
Berbagai-bagai harakah Islamiah yang aku sertai
PAS, Jamiatul Dakwatul Islamiah, Ikhwan dan ABIM
Namun hati tidak puas
Semuanya aku tinggalkan
Aku bangunkan jemaah sendiri, Darul Arqam namanya
Sempat aku pimpin 28 tahun lamanya
Di dalam jemaah sendiri, ke luar negeri perkara biasa
Bahkan tinggal di luar negara berturut-turut
7 tahun lamanya
Di dalam jemaah, berbagai-bagai aktiviti
dapat dibangunkan
Hal ini tidak payah diceritakan
Ramai orang yang faham dan tahu ceritanya
Ujian-ujian di dalam perjuangan
Memang banyak yang dirasa
Tangga rumah dibuang, motosikal dibubuh garam
Beberapa kali hendak dipukul orang
Dipanggil ke Jabatan Agama dua kali disoal siasat
Kerana tidak senang dengan perjuangan yang aku lakukan
Pernah di waktu malam rumah dikepung polis
beberapa kali
Namun tidak menangkapnya
Tohmah, fitnah perkara biasa
Inilah yang paling banyak dilemparkan kepadaku
Akhir sekali aku ditangkap, diambil di luar negara
secara ekstradisi
Direman dua bulan, kemudian diasingkan di Rawang
di bawah akta ISA
Sekarang sudah memakan masa enam tahun
Namun belum dibebaskan lagi
Kalau aku panjang umur
Entah apa lagilah peristiwa-peristiwa yang akan berlaku
pada diriku
Tuhan sajalah yang tahu
- 6948 reads
Post new comment