26: Ramai Jadi Mangsa Suratkhabar




26: Ramai Jadi Mangsa Suratkhabar




Kalau kita katakan suratkhabar tidak ada fungsi dalam masyarakat, banyak orang tidak akan setuju. Ramai yang perlu dan suka kepada suratkhabar. Bahkan, ada mereka yang merasakan hidup mereka tidak sempurna kalau tidak membaca suratkhabar setiap hari.

Banyak perkara dalam suratkhabar berguna pada mereka. Pada sesetengah pihak, suratkhabar adalah sumber berita. Para peniaga sukakan iklannya. Yang mengganggur akan membacanya untuk mencari kerja kosong. Peminat-peminat sukan suka ruangan sukannya. Ada pula ruangan dan keluaran khas bagi pencinta seni dan hiburan.

Dalam pada itu, ada juga pihak-pihak yang kurang senang dengan suratkhabar. Mereka tidak suka berbagai maksiat yang digembar-gemburkan oleh akhbar itu. Mereka rasa yang patut ditonjolkan ialah kebaikan, bukan kecurangan. Maksiat patut disembunyikan. Baru masyarakat tidak terpengaruh dengan kejahatan.

Ada pula pihak-pihak yang menganggap suratkhabar itu penerbitan lucah. Dedah betis, dedah paha, dedah buah dada. Setiap minggu muncul sahaja ‘model’ yang mengiklankan diri sendiri dengan pos yang dibuat-buat atau pos ‘istimewa’ seperti kata suratkhabar.

Ya, suratkhabar tidak salah dan suratkhabar tidak pula betul. Ia hanyalah satu alat, satu media. Kalau dikendalikan oleh seorang pembina maka ia boleh membina. Kalau dikendalikan oleh seorang perosak, maka ia boleh merosak. Untuk mengetahui sama ada yang mengendalikan suratkhabar itu pembina atau perosak, tengoklah isi kandungannya. Tiap-tiap suratkhabar itu boleh dinilai melalui isinya.

Dalam pada itu, ada pula perkara tentang strategi suratkhabar ini yang tidak diketahui umum, iaitu suratkhabar wajib menjaga nilai komersilnya. Kalau tidak, ia tidak boleh hidup. Circulation (jumlah edaran) mesti meningkat. Pelanggan mesti ditambah. Apa cara pun mesti dibuat untuk tujuan ini. Maka diadakanlah peraduan-peraduan dengan hadiah-hadiah yang menarik. Ditimbulkan isu-isu yang boleh menggemparkan masyarakat. Malahan, cerita-cerita maksiat, gambar-gambar lucah, siri-siri kartun dan ruangan-ruangan hiburan yang disajikan itu tidak lain dan tidak bukan ialah untuk meningkatkan nilai komersil. Ramai yang berminat dan tertarik dengan perkara-perkara semacam itu. Lagi banyak dijual, lagi banyak untung dapat dikaut.

Suratkhabar hidup subur dalam krisis. Ia menyebarkan krisis dan membesarkannya. Bila krisis telah tersebar, ia menjadi buah mulut masyarakat. Masyarakat akan mengikuti perkembangannya. Jadi banyaklah suratkhabar yang laris. Suratkhabar tidak menyelesaikan masalah. Malahan ia lebih banyak menimbulkan masalah, mencetuskan perpecahan dan merumitkan keadaan. Suratkhabar mengaut untung dalam kerosakan dan kemusnahan. Habis satu isu, ia akan mencari isu yang lain. Bila ada isu, circulation meningkat. Bila tidak ada isu, circulation menurun. Apa kesannya isu-isu tersebut pada masyarakat tidak menjadi perhitungan.

Suratkhabar juga menjadi gelanggang membina pengaruh atau apa yang dinamakan “media engineering” terutama bagi pihak yang ada kuasa di atas surat khabar berkenaan. Untuk menaikkan imej atau menjatuhkan imej satu-satu badan atau orang perseorangan, liputan dibuat berat sebelah. Ditonjolkan yang baik-baik atau didedahkan yang jahat-jahat. Pendapat yang pro disiarkan dan pendapat yang kontra dipendamkan ataupun sebaliknya mengikut situasi dan keadaan. Berbagai tuduhan dibuat yang belum tentu benar dan salahnya. Maklumat dimanipulasi ke suatu arah yang tertentu untuk kesan yang tertentu. Kadang-kadang, kata-kata orang suratkhabar diselitkan sebagai kata-kata para pembaca. Seribu macam tipu helah boleh digunakan untuk tujuan thought manipulation atau manipulasi fikiran seperti ini.

Yang menjadi mangsa ialah orang-orang yang kosong fikirannya. Orang-orang kampung. Orang-orang yang lemah fikiran. Orang-orang yang tidak mampu berfikir sendiri. Orangorang yang tidak mampu merumus dan menilai maklumat dan fakta. Mereka terpaksa meminjam buah fikiran orang lain. Jadi mereka ambil pendapat suratkhabar bulat-bulat. Suratkhabar jadi nas yang sahih bagi mereka dan dipertahankan habishabisan hingga mengalahkan hadis dan Al-Quran.

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer