25: Rukun Hati




25: Rukun Hati




Dalam solat atau sembahyang itu ada berbagai jenis rukun. Ada rukun fe’li atau perbuatan. Ada rukun qauli atau lafaz dan bacaan. Ada rukun kalbi atau hati.

Rukun fe’li termasuklah qiam atau berdiri tegak, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tahiyyat akhir. Rukun qauli pula termasuklah takbiratul ihram, bacaan suruh Al Fatihah, bacaan tahiyyat akhir dan salam. Rukun kalbi atau hati pula ialah niat.

Namun demikian, kerja hati di dalam solat tidaklah terhenti setakat niat sahaja. Kerja hati dalam solat banyak dan umumnya lebih rumit dan lebih berat dari kerja anggota lahir atau jawarih dan lidah. Termasuk kerja hati ialah tawadhuk, khusyuk dan khuduk walaupun ia tidak termasuk dalam rukun solat.

Tawadhuk ialah merendahkan diri, merendahkan hati atau merendahkan “sayap” ke hadrat Allah Taala yang disembah. Merasakan diri kecil dan kerdil di hadapan Allah. Merasakan diri hamba yang sebenar-benar hamba tanpa ada rasa “tuan” di dalam hati. Supaya di dalam solat itu hanya ada dua entiti. Satu ialah Tuhan yang disembah, dipuja dan diagungkan. Kedua ialah hamba yang hina dina yang menyembah, yang memuja dan mengagungkan Tuhan dan bukan tuan, bukan raja, bukan sultan, bukan Tun, bukan Tan Sri dan sebagainya.

Khusyuk ialah rasa-rasa yang timbul di hati semasa solat. Orang yang khusyuk di dalam solat ialah orang yang mengalami dan merasakan berbagai-bagai rasa hasil dari penghayatan dan penjiwaan apa-apa yang dilafaz dan dibacanya. Rasa-rasa ini boleh jadi rasa-rasa bertuhan seperti merasakan bahawa Allah itu Maha Hebat, Maha Pemurah, Maha Pengampun, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Mengetahui dan sebagainya ataupun rasa-rasa kehambaan seperti rasa bimbang, takut, cemas dan gerun terhadap Allah, bergantung harap, rasa cinta, rasa bersalah dan berdosa, rasa hina di sisi Allah dan sebagainya.

Khuduk pula ialah ketaatan dan penyerahan diri secara total kepada Allah. Merasakan bahawa dirinya adalah hak kepunyaan Allah dan terpulanglah kepada Allah untuk berbuat apa sahaja terhadap dirinya. Menyerahkan dirinya kepada Allah seperti mana bayi yang baru lahir menyerahkan dirinya kepada ibunya. Terpulanglah kepada ibunya sama ada akan memandikannya, membedungnya, menyusukannya ataupun tidak. Si bayi tidak ada apa-apa daya dan kuasa ke atas dirinya sendiri. Ataupun seperti mayat yang menyerahkan dirinya kepada pengurus mayat. Terpulanglah kepada pengurus mayat itu hendak berbuat apa sahaja kepadanya. Si mayat tidak ada daya atau kuasa untuk membantah atau menghalang.

Rukun seperti rukun fe’li, qauli dan kalbi seperti niat perlu dijaga kerana ia bersabit dengan sah atau batalnya solat. Namun begitu, kerja dan amalan-amalan hati yang lain di dalam solat seperti tawadhuk, khusyuk dan khuduk ini sama pentingnya kerana tanpa amalan-amalan hati ini, solat kita terputus dari Allah walaupun pada zahirnya solat kita sah. Ada hadith yang berbunyi: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada gambaran lahir kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati dan amalan-amalan kamu.”

Solat yang tanpa amalan-amalan hati tidak akan dapat mendidik kita, tidak akan dapat membersihkan sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita, tidak akan dapat mengembalikan fitrah kita kepada keadaan asal semulajadinya yang suci murni, tidak akan dapat membangunkan insaniah kita dan tidak akan dapat mencegah kita dari yang keji dan yang mungkar.

[gambar]

Tawadhuk ialah merendahkan diri, merendahkan hati atau merendahkan “sayap” ke hadrat Allah Taala yang disembah. Merasakan diri kecil dan kerdil di hadapan Allah. Merasakan diri hamba yang sebenar-benar hamba tanpa ada rasa “tuan” di dalam hati

[gambar]

‘Kerja hati’ dalam solat adalah banyak dan lebih ‘berat’ dari kerja anggota jawarih dan lidah. Kerja hati dalam solat seperti tawadhuk, khusyuk dan khuduk adalah penting kerana tanpanya solat terputus dari Allah, walaupun zahirnya sah

 

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer