25 Antara Pembelajaran Dan Pendidikan


25 Antara Pembelajaran Dan Pendidikan


23/02/2006

Pelajaran dan pendidikan, atau dalam bahasa Arabnya, Taalim dan Tarbiah ialah dua perkara yang penting di dalam usaha membina anak-anak. Pelajaran dan pendidikan adalah dua perkara yang berlainan. Ia tidak serupa di antara satu sama lain. Namun begitu ramai di kalangan ibu bapa malahan di kalangan para guru sendiri yang tidak faham tentang kedua-dua perkara ini.

Pelajaran khusus ditujukan kepada akal.Sebab itu ia mudah dan "straightforward" . Pendidikan pula ialah pembinaan insan yang bukan sahaja melibatkan perkara fizikal dan mental tetapi juga hati dan nafsu.Malahan apa yang sebenarnya dididik ialah hati dan nafsu itu sendiri.Justeru itu pendidikan adalah lebih rumit dan lebih sukar.

Kedua-dua perkara ini harus kita fahami betul-betul di dalam membina anak-anak kita.Kedua-dua pelajaran dan pendidikan perlu di dalam membina peribadi yang pandai berbakti kepada Tuhan dan pada masa yang sama pandai berbakti kepada sesama manusia.

Pelajaran ialah proses belajar atau proses mengumpul ilmu.Ada guru, ustaz atau ustazah yang mengajar dan ada murid yang belajar. Hasilnya, murid menjadi pandai, alim dan berilmu pengetahuan.
Pendidikan pula ialah proses pemahaman, penghayatan, penjiwaan dan pengamalan. Ilmu yang telah diperolehi terutamanya ilmu agama, cuba difahami dan dihayati hingga ia mendarah mendaging dan dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian.

Di dalam erti kata yang lain, pelajaran menyentuh tentang soal ilmu dan pendidikan menyentuh tentang soal akhlak.Pendidikan di antara lain ialah memperkenalkan Tuhan kepada manusia.Membersihkan hati manusia dari segala sifat-sifat yang keji atau mazmumah dan mengisinya dengan segala sifat-sifat yang terpuji atau mahmudah. Pendidikan juga ialah mengembalikan hati nurani manusia kepada keadaan fitrah asal semula jadinya yang suci dan bersih. Nafsu perlu dikekang supaya ia tidak cenderung kepada kejahatan dan maksiat tetapi cenderung kepada kebaikan dan ibadah.

Sepertimana yang telah dinyatakan, kita tidak boleh mendidik sahaja tanpa memberi ilmu, dan kita tidak boleh memberi ilmu sahaja tanpa mendidik. Pelajaran dan pendidikan kedua-duanya perlu. Pendidikan bertujuan untuk membentuk akhlak. Pelajaran sahaja tanpa didikan akan menghasilkan manusia yang pandai tetapi jahat dan tidak bermoral. Sebaliknya, pendidikan sahaja tanpa pelajaran akan menghasilkan manusia yang baik tetapi tidak dapat berfungsi dan berkhidmat di tengah masyarakat.

Dalam skop yang lain pula, ilmu tanpa didikan boleh menyebabkan anak-anak jadi beku (jumud) kerana jiwa tidak hidup.Didikan tanpa ilmu pula boleh menyebabkan mereka jadi kaku (tidak tahu bagaimana hendak melangkah dan bergerak) kerana walaupun jiwa hidup, ilmu tidak ada untuk dijadikan panduan.Kalau ilmu sahaja yang diberi tetapi didikan tidak ada, manusia menjadi pandai dan maju di dalam berbagai bidang . Tertegak tamadun kebendaan dan hidup menjadi selesa. Tetapi di dalam kemajuan itulah berlakunya hasad dengki. Di dalam kemewahan itulah hilang hati budi.Manusia menjadi sombong, angkuh dan mementingkan diri. Manusia hidup nafsi-nafsi, hilang perikemanusiaan, ukhwah dan kasih sayang. Manusia hilang identiti.Rupa sahaja macam manusia tetapi perangai tak ubah seperti syaitan dan haiwan.

Sebenarnya, dalam memimpin dan membina manusia, ada dua faktor yang terlibat . Pertama ialah faktor ilmu , dan kedua ialah faktor didikan . Namun begitu, peranan ilmu hanyalah sepuluh peratus sahaja sedangkan peranan didikan ialah sembilan puluh peratus. Ilmu selalunya lengkap dengan falsafahnya, hikmahnya, usulnya dan berbagai-bagai lagi. Tetapi di dalam mendidik, tidak semua ilmu itu berguna atau dapat dimanfaatkan. Paling banyak satu perempat sahaja daripada ilmu layak digunakan dalam mendidik.

Semua orang yang berilmu mampu mengajar tetapi tidak semua orang yang berilmu layak atau mampu untuk mendidik sebab mendidik itu ialah satu kemahiran dan kebolehan yang tersendiri . Ramai orang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak pandai mendidik. Ada pula orang yang kurang ilmunya tetapi dengan ilmu yang sedikit itu, dia mampu mendidik. Dia pandai mengaplikasikan ilmunya itu untuk mengubah sikap, perangai dan kelakuan manusia. Dia faham psikologi dan perjalanan hati manusia. Dia dapat melihat kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahan maknawi yang ada pada diri manusia. Dia dapat menawan hati dan membuatkan manusia yakin dan percaya dan mahu mengikutnya. Dia mampu menjadi model untuk diikuti dan dicontohi oleh anak-anak didiknya.

Orang jadi jahat bukanlah kerana dia tidak ada ilmu. Seberapa ramai orang bodoh yang jahat, seramai itu jugalah orang pandai yang jahat.Malahan orang pandai yang jahat itu, jahatnya lebih serius dan lebih bahaya daripada jahat orang yang bodoh, kerana jahatnya dibantu oleh akalnya yang pintar. Jadi, orang jahat itu selalunya adalah disebabkan pendidikan yang tidak selesai.

Di dalam mencari ilmu, seseorang itu boleh belajar dari seberapa ramai guru sekalipun dalam satu-satu masa.Dia boleh ada seorang guru untuk satu matapelajaran dan guru yang lain pula untuk matapelajaran yang lain dan seterusnya.Berapa ramai guru pun tidak mengapa kerana hanya ilmu yang perlu dipelajari. Tetapi di dalam mendidik, tidak boleh ada lebih dari seorang pendidik. Setiap murid hanya boleh mempunyai seorang pendidik sahaja dalam satu-satu masa . Bukan dua, bukan tiga dan bukan pula satu jawatankuasa atau komiti yang mendidik. Pendidik itulah pemimpin, model dan contoh untuk diikuti. Kalau ramai pendidik, maka jadilah murid itu sebagai satu masakan yang dimasak oleh ramai tukang masak. Dia akan jadi rosak. "Too many cooks spoil the brook".

Tidak semua ilmu mempunyai nilai pendidikan.Ilmu agama, khususnya ilmu fardhu ain memanglah ilmu untuk mendidik. Tetapi kebanyakan ilmu akademik seperti matematik, perdagangan, pertanian, sejarah, ilmu alam, sains dan sebagainya tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan. Ilmu akademik bukan ilmu untuk mendidik. Anak-anak tidak dapat memperoleh akhlak melalui ilmu seperti ini.

Namun begitu, bagi pelajar yang sudah ada asas akidah dan ketauhidan, mereka tetap akan dapat menambah keyakinan dan dapat melihat kuasa dan kehebatan Tuhan di dalam ilmu-ilmu akademik yang mereka pelajari. Malahan, melalui ilmu-ilmu tersebut, iman mereka boleh bertambah.

Tetapi bagi pelajar-pelajar yang kosong jiwa mereka dari mengenal Tuhan, ilmu-ilmu tersebut boleh melalai dan memesongkan mereka, sebab mereka tidak dapat kaitkan apa yang mereka belajar dengan Tuhan.Di dalam membangunkan dan membina manusia, pelajaran dan pendidikan adalah perkara yang wajib. Namun di antara keduanya, pendidikan lebih penting dan perlu diutama dan didahulukan.

Kalau dalam sesuatu sistem itu tidak wujud kedua-duanya atau soal pendidikan tidak didahulukan atau tidak diberi keutamaan; maka manusia yang akan lahir dari sistem tersebut pasti rosak dan merosakkan. Dia akan jadi musuh kepada Tuhan dan musuh kepada manusia. Kunci bagi membina anak-anak kita ialah didik dahulu dan kemudian baru ajar. Didiklah dan ajarlah.Jadikan mereka baik dahulu sebelum menjadikan mereka pandai. Jadikan mereka berakhlak dahulu sebelum menjadikan mereka berilmu. Kenalkan mereka kepada Tuhan dahulu sebelum dikenalkan kepada ciptaan-Nya.

Jadikan mereka hamba Allah dahulu sebelum menjadikan mereka khalifah-Nya. Salahnya kita di dalam membina anak-anak dan muda-mudi kita ialah kita terlalu banyak mengajar terutama ilmu-ilmu akademik atau ilmu-ilmu dunia tetapi tidak cukup mendidik. Kita mesti berbuat sesuatu sebelum semuanya menjadi punah-ranah.

Artikel ini adalah bagian dari buku Pancaran Minda yang berisi pemikiran dan ilham dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer