22: Najis Maknawi Najis Akal




22: Najis Maknawi Najis Akal




Fitrah semula jadi manusia memang tidak suka kepada kekotoran. tambahan pada itu secara semula jadi, manusia juga merasa loya dan jijik terhadap benda-benda yang kotor seperti, nanah, tahi, muntah dan yang seumpamanya. justeru itu, sangat mudah bagi manusia menghindar diri dari kekotoran dan najis yang seperti ini.

Namun begitu najis lahir ini tidaklah besar sangat masalahnya. Ia hanya perlu dicuci mengikut cara yang telah ditetapkan oleh syariat tertakluk kepada peringkat najis yang terlibat, sama ada ia najis ringan, najis pertengahan ataupun najis berat. Kalau najis itu terkena tubuh badan, tidaklah berdosa hukumnya. Hanya ia boleh membatalkan ibadah. Itu pun hanya ibadah seperti sembahyang sahaja. Ibadah yang lain seperti puasa dan sebagainya tidak terjejas.

Di samping najis lahir ini ada najis yang bersifat maknawi atau rohani. Najis maknawi atau rohani ini tidak melekat kepada tubuh badan tetapi kepada anggota batin atau roh manusia. Najis ini ramai manusia tidak sedar dan tidak pula merasa jijik dan loya. Disebabkan mereka tidak tahu dan tidak sedar mereka terpalit dengan najis seperti ini, maka mereka pun tidak membuat sebarang usaha untuk membuang atau membersihkannya dari roh mereka. Mereka membawa najis ini ke mana-mana mereka pergi.

Yang paling malang, mengekalkan najis maknawi ini adalah berdosa hukumnya. Ia boleh merosakkan hubungan kita dengan Tuhan dan hubungan kita sesama manusia. Najis maknawi ini boleh menyebabkan pecah-belah, krisis, perbalahan dan hilangnya ukhuwah dan kasih sayang sesama manusia. Najis ini boleh merosakkan ibadah kita. Ia boleh merosakkan dan menjejaskan akhlak kita. Malahan mudharatnya sangat hebat. Ia boleh melenyapkan kebahagiaan kita di dunia mahupun di Akhirat.

Najis-najis maknawi ini melekat kepada roh kita mengikut wajah-wajahnya. Roh kita itu sebenarnya mempunyai tiga wajah. Di kala mana roh kita berperanan untuk berfikir, mengkaji, menimbang-nimbang dan mencari dan menerima ilmu, ia dinamakan akal. Di kala mana roh kita berperanan untuk merasakan sesuatu sama ada merasa sedih, gembira, takut, cinta dan sebagainya, ia dinamakan hati. Manakala roh kita mendorong kita membuat sesuatu, sama ada yang baik mahupun yang jahat, maka ketika itu ia dinamakan nafsu. Ketigatiga wajah atau bentuk roh kita ini ada najis-najisnya yang tersendiri.

Najis akal termasuklah syirik dan kekufuran. Mendua dan mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain atau tidak yakin akan wujudnya Tuhan. Juga ideologi dan isme-isme ciptaan manusia seperti sekularisme, komunisme, sosialisme, kapitalisme dan sebagainya. Kalau semua isme-isme ini dipercayai dan diyakini, maka ia menjadi najis kepada akal kita.

Najis hati ialah segala sifat-sifat yang keji dan tercela atau sifat-sifat mazmumah seperti sombong, angkuh, besar diri, megah, dendam, hasad, tamak, bakhil dan lain-lain.

Najis nafsu pula ialah dorongan atau kehendak-kehendak yang jahat dan negatif yang timbul dalam diri seperti menginginkan kepada makan dan minum yang haram. Hiburan yang haram, rezeki yang haram dan apa-apa sahaja yang ditegah oleh syariat.

Thaharah atau bersuci dalam Islam melibatkan kedua-dua anggota lahir dan batin. Bagi anggota lahir, kita perlu menyucikan kekotoran dan najis dari tubuh badan dan pakaian kita mengikut cara yang ditetapkan oleh syariat termasuk bersuci dari hadas kecil dan hadas besar. Ini mudah. Tetapi bersuci dari najis-najis maknawi sangat susah, sama ada ianya najis akal, najis hati mahupun najis nafsu. Ia perlu kepada mujahadah.

Namun begitu, kalau kita boleh bawa diri dan hati kita kepada Tuhan dengan berzikir kepada-Nya dan kemudian kita bertafakkur dan berfikir tentang peranan, hikmah dan kebesaran Tuhan dalam hidup kita seharian, maka insya-Allah sedikit demi sedikit, kita akan dapat merasakan kehebatan Tuhan, kasih sayang Tuhan, pemurah Tuhan, pengampun Tuhan dan sebagainya di hati kita. Ini akan membuatkan mata hati kita jadi cerdik dan jiwa kita hidup. Lama kelamaan, kita akan dapat rasa bertuhan dan rasa kehambaan.

Rasa bertuhan itu termasuklah merasakan Allah itu Maha Gagah, Maha Perkasa, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pengampun dan sebagainya. Rasa kehambaan pula termasuklah rasa cemas, gerun, bimbang dan takut kepada Allah, rasa berdosa, rasa hina, rasa lemah, dhoif dan sebagainya di sisi Allah. Rasa bertuhan akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang terpuji dalam diri kita dan rasa kehambaan pula akan membakar dan memusnahkan sifat-sifat mazmumah atau yang keji. Rasa bertuhan dan rasa kehambaan boleh menyucikan roh kita dari najis-najis maknawi.

Inilah di antara lain, rasa-rasa yang hendak kita hidupkan di dalam solat atau sembahyang kita. Akan tetapi rasa-rasa ini hanya akan timbul apabila kita “khusyuk”, “tawadhuk” dan “khuduk” di dalam solat kita.

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer