21 Pembangunan Insan


21 Pembangunan Insan

Manusia atau insaniyat itu adalah sejenis makhluk ciptaan Allah di samping makhluk-makhluk yang lain seperti jamadat (benda-benda beku), nabatat (tumbuh-tumbuhan), haiyawanat (haiwan), jin dan malaikat.

Tentang haiwan dan malaikat bolehlah dikatakan bahawa sifat mereka itu statik ataupun tidak berubah-ubah dari asal mereka dijadikan . Kalaulah haiwan itu dikatakan jahat dan sentiasa mengikut nafsunya maka tetaplah dia akan jahat sampai Qiamat. Dia akan terus mengikut nafsunya kerana dia tidak mempunyai akal. Lebih-lebih lagilah untuk mengikut hatinya kerana dia juga tidak mempunyai hati atau apa yang dimaksudkan sebagai rohul tamayiz .

Begitu jugalah dengan malaikat. Kalau dia dikatakan baik maka tetaplah dia akan baik sampai Qiamat kerana dia tidak boleh berbuat jahat sebab dia tidak mempunyai nafsu.

Tetapi, sifat manusia atau insan itu tidak statik . Dia boleh berubah-ubah kerana kedua-dua sifat haiwan dan sifat malaikat itu ada pada manusia . Kalau insannya dibiarkan dan tidak dididik dan dijaga, maka dia akan jadi seperti haiwan bahkan lebih teruk dari haiwan . Haiwan buat jahat hanya setakat dan sekadar mengikut nafsunya sahaja tetapi manusia buat jahat, di samping mengikut nafsunya, dibantu pula oleh akalnya. Maka jahat manusia sangat-sangatlah jahat.

Sebaliknya pula, manusia itu, kalau insannya dapat dididik, dijaga, dibina dan dibangunkan, maka dia akan jadi seperti malaikat bahkan lebih baik dari malaikat . Baiknya malaikat setakat dan sekadar mengikut akal dan hati mereka sahaja tetapi baiknya manusia selepas terpaksa terlebih dahulu berjuang, bermujahadah, bertarung dan bertungkus-lumus berperang melawan dan mengekang hawa nafsu mereka yang sentiasa mengajak mereka kepada kejahatan. Ini bukan perkara mudah. Berperang dengan hawa nafsu itu ialah berperang dengan diri sendiri. Ia amat perit dan menyakitkan. Ia satu peperangan yang jauh lebih besar dan lebih dahsyat dari peperangan senjata.

Justeru itu, jahat macam mana pun haiwan itu, dia tidak berdosa. Baik macam mana pun malaikat, dia tidak diberi pahala. Dalam diri haiwan dan malaikat, tidak ada pilihan, tidak ada pertarungan dan tidak ada perjuangan. Sesuailah bagi mereka itu tidak ada dosa dan tidak ada pahala, tidak ada Syurga dan tidak ada Neraka.

Pada diri haiwan, tidak ada tuntutan untuk membina atau membangunkan kehaiwanannya. Pada diri malaikat juga tidak ada tuntutan untuk membina atau membangunkan kemalaikatannya. Tetapi pada manusia membina dan membangunkan insan itu perlu dan wajib hukumnya.

Persoalannya sekarang, apakah dia insan itu dan bagaimana pula hendak membangunkannya. Ramai orang termasuk pemimpin politik dan pemimpin masyarakat tahu akan perlunya membangunkan insan. Kalau tidak, masyarakat akan jadi rosak dan kucar-kacir. Maksiat akan berleluasa. Tetapi bagaimana hendak melakukannya. Disebabkan tidak ada panduan dan tidak ada ilmu tentang masalah ini, maka mereka menggunakan akal mereka. Ada juga yang merujuk kepada Barat.

Maka timbullah berbagai-bagai program yang berbentuk bina insan, program bina semangat, motivasi, program tata negara dan berbagai-bagai lagi. Ditubuhkan pula berbagai-bagai badan dan institusi seperti kem bina semangat, kem bina insan, biro tata negara, belia 4B, rakan muda, rakan masjid dan sebagainya. Kesemua usaha dan program ini ternyata gagal dan meleset. Banyak wang habis dibelanjakan tetapi hasilnya tidak ada. Yang sedihnya, disebabkan program-program tersebut, keinsanan rakyat dan muda-mudi bertambah rosak. Yang lebih sedih lagi, orang-orang yang terlibat dalam menganjur dan menjalankan program-program tersebut sama ada pengarahnya, pegawainya, pentadbirnya dan jurulatih-jurulatihnya, insan mereka sendiri pun tidak terbina dan tidak terbangun. Macam mana orang yang insannya sendiri belum terbangun akan mampu membangunkan insan orang lain?

Inilah masalah yang menimpa masyarakat kita sekarang. Penyakit sudah diketahui tetapi ubatnya belum jumpa. Maka dicubalah berbagai-bagai ubat ikut agak-agak dan ikut trial and error. Maka disebabkan itu, penyakit bertambah teruk dan bertambah kronik kerana ubat-ubat yang dicuba itu kesemuanya racun belaka.

Keinsanan merangkumi masalah batin. Ia termasuk masalah dalaman, perkara maknawi atau yang menyentuh soal hati, jiwa dan rohani. Justeru itu kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata untuk menyelesaikannya. Lebih-lebih lagi kita tidak boleh merujuk kepada Barat kerana Barat sangat jahil tentang persoalan roh, hati dan jiwa. Mereka tidak ada cara. Bahkan, orang-orang Baratlah yang paling rosak insaniah mereka.

Dalam hal ini kita mesti kembali kepada Allah, kepada ajaran Rasulullah, kepada agama dan kepada Quran, Hadis, Ijmak dan Qias. Kita kena ikut panduan Islam di dalam usaha untuk membina dan membangunkan insan ini.

Insan itu sebenarnya terdiri dari empat unsur iaitu:
* Fizikal
* Akal
* Hati
* Nafsu
Keempat-empat unsur inilah yang perlu kita bina dan bangunkan.

Fizikal :
Membangunkan fizikal atau tubuh badan lahir ialah dengan menjaga makan minum, kebersihan lahir, kesihatan, latihan fizikal dan tidur. Ini mudah. Makan minum kenalah secara sederhana. Jangan berlebih-lebihan dan jangan terlalu kurang. Makanlah makanan yang berzat, kunyah lumat-lumat sebelum ditelan dan programkan waktu-waktu makan.

Jaga kebersihan lahir dari najis, kekotoran dan fudhul atau hasil pengeluaran dan rembesan badan yang kotor seperti peluh, daki, tahi hidung dan tahi kuku dengan mandi, berus gigi, potong kuku dan sebagainya.

Jaga kesihatan badan. Jangan makan dan minum benda-benda yang memudaratkan. Rumah dan tempat kediaman kenalah bersih dan selesa.

Buat latihan fizikal dan beriadhah terutama dengan cara yang digalakkan oleh Islam dan yang bermanfaat kepada bangsa dan negara seperti bertani, mengembara, menunggang kuda, berenang dan memanah.

Tidur pula jangan terlalu banyak dan jangan terlalu kurang. Waktu tidur pula ialah waktu qailulah (lebih kurang satu jam sebelum waktu Zuhur) dan selepas waktu Isyak di waktu malam. Dilarang tidur selepas waktu Asar dan Subuh dan di waktu lepas makan.

Akal :
Membangunkan akal atau mental ialah dengan belajar ilmu dan menimba pengalaman. Ini lebih susah dari membangunkan fizikal. Ilmu terbahagi kepada ilmu fardhu ain, ilmu fardhu kifayah dan ilmu yang harus. Ini boleh dilakukan dengan belajar, membaca dan bermuzakarah. Kita pula boleh menimba pengalaman dalam berbagai bidang hidup seperti masyarakat, iklim, ekonomi, kebudayaan dan adat-istiadat contohnya dengan mengembara, membuat kajian, melihat, memerhati dan meneliti segala kejadian di sekeliling kita dan berkongsi pengalaman dengan orang lain dengan membaca dan mendengar.

Hati :
Membangunkan hati, roh atau jiwa adalah lebih rumit. Ia dilakukan dengan menanamkan iman di hati. Kita kena faham fitrah semulajadi manusia dan kena berusaha untuk menyuci dan membersihkan fitrah kita. Kita kena berbuat berbagai-bagai latihan hati atau bermujahadah dengan tujuan untuk membuang segala sifat-sifat mazmumah dan keji dari hati kita seperti riyak, cinta dunia, bakhil, pemarah dan sebagainya dan mengisikannya dengan segala sifat-sifat mahmudah dan terpuji seperti tawakal, pemurah, rendah diri, pemaaf dan lain-lain.

Nafsu :
Membangunkan atau mendidik nafsu pula lagi-lagilah payah. Ia ialah dengan membuat latihan atau riadhah nafsu . Nafsu terbahagi kepada tujuh peringkat seperti di bawah dan kita kenalah berusaha untuk meningkatkannya.Nafsu peringkat Amarah dan Lawamah masih dianggap jahat dan belum selamat dari api Neraka.

Latihan atau riadhah nafsu ini bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.Kita perlu kepada guru mursyid yang bertaqwauntuk memandu kita.

Jelas bahawa membina dan membangunkan insan ini bukan perkara main-main. Ia satu usaha yang serius dan memerlukan satu bentuk kemahuan dan komitmen yang tinggi. Ia bukan setakat berkumpul dalam satu kem untuk beberapa hari, bergaul lelaki perempuan, muda dan mudi, mandi sungai, meredah hutan, gotong-royong, berkayak,bermain berbagai bentuk permainan, berkawad dan perkara-perkara yang seperti itu.Kalau tidak kena caranya, ini semua bukan akan membina insan tetapi akan merosakkannya.

Membangunkan insan bukan perkara yang boleh dibuat secara berkala. Ia sebahagian dari hidup. Ia mesti menjadi program hidup. Ia mesti berjalan secara berterusan tanpa henti dan rehat . Kalau rehat, insan manusia akan rosak semula kerana akan dicemari oleh nafsu, syaitan, manusia dan dunia.

Solat atau sembahyang ialah perkara yang paling berkesan untuk membina insan. Lagi baik dan istiqamah solat maka ia akan semakin berkesan. Kalau solat tidak diutamakan dan tidak dibuat secara serius dan istiqomah janganlah harap insan akan terbina. Maksiat pula merosakkan keinsanan. Meninggalkan solat, bergaul bebas lelaki perempuan dan segala bentuk maksiat perlu dijauhkan kalau mahu membangunkan insan. Pihak yang memimpin pembinaan insan pula mestilah dari golongan orang yang telah terbina dan terbangun insannya sendiri atau orang yang bertaqwa. Pemimpin yang fasik akan hanya melahirkan orang yang fasik juga. Ulama yang tidak beramal, lebih-lebih lagilah ulama suk atau ulama jahat, tidak layak untuk membangunkan insan manusia kerana keinsanan mereka pun diragui.

Inilah hakikat pembinaan insan yang sebenarnya. Janganlah kita orang Islam tertipu dan terperdaya dengan kaedah-kaedah atau methodologi yang didatangkan oleh pihak lain dan dinamakan dengan berbagai-bagai nama dan berbagai-bagai istilah dan untuk berbagai tujuan. Tujuan pembinaan dan pembangunan insan di dalam Islam hanya satu iaitu untuk memudahkan manusia berperanan sebagai hamba kepada Allah dan sekaligus sebagai khalifah Allah di muka bumi, semoga dengan itu manusia akan berbahagia di dunia dan berbahagia di Akhirat.

Artikel ini adalah bagian dari buku Pancaran Minda yang berisi pemikiran dan ilham dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer