14: Ilmu Mesti Mendarah Daging


14: Ilmu Mesti Mendarah Daging

Tiada siapa dapat menafikan bahawa ilmu itu sangat penting. Kalau hendak dunia perlu pada ilmu, kalau hendak Akhirat juga perlu pada ilmu. Menuntut ilmu itu terutama yang berbentuk fardhu ain adalah wajib bagi setiap orang Islam. Yang berbentuk fardhu kifayah pula wajib ke atas masyarakat Islam.

Allah mengangkat orang yang berilmu itu beberapa darjat. Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Orang yang takutkan Allah itu adalah dari kalangan orang-orang yang berilmu. Orang yang jahil itu adalah musuh Tuhan. Rasulullah menganjurkan supaya menuntut ilmu walaupun sampai ke negeri Cina dan bermula menuntut ilmu itu dari buaian hinggalah ke liang lahat.

Walaupun ilmu itu sangat berharga dan penting, namun sama ada ilmu itu dapat memberi manfaat atau dapat menghasilkan buah atau tidak, adalah satu perkara yang lain. Ramai orang mempunyai ilmu terutama ilmu agama tetapi ibadah, akhlak dan cara hidup mereka sama sahaja dengan orang yang tidak mempunyai ilmu. Ramai orang mempunyai banyak ilmu agama tetapi tidak faham tentang agama. Ramai juga orang mempunyai banyak ilmu agama tetapi pada masa yang sama masih terlibat dengan sistem dan fahaman yang sangat bertentangan dengan Islam.

Mempunyai banyak ilmu itu tidak menjamin apa-apa. Yang penting ilmu itu difahami, dihayati dan diamalkan. Hadis ada menyebut:

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan ke atasnya, akan diberi-Nya orang itu faham tentang agama.”

Hadis ini tidak menyebut akan diberikan-Nya ilmu tentang agama. Jelas sekali bahawa mempunyai ilmu itu lain dan faham tentang agama itu satu perkara yang lain pula.

Ilmu jangan dibuat seperti pakaian. Pakaian bukan sebahagian dari tubuh badan kita. Sekejap kita pakai dan sekejap kita buka. Itu sebabnya kita lihat sesetengah orang yang berilmu, kalau bercakap tentang Islam di atas pentas, dalam forum atau ceramah, dalam radio atau televisyen, sungguh kagum kita mendengar apa yang mereka perkatakan. Keluar daripada mulut mereka berbagai-bagai istilah Islam yang hebat-hebat seperti iman, taqwa, muqarrobin, siddiqin, muhasabah, musyahadah, muraqobah, murabahah, tawadhuk, khusyuk, khuduk dan sebagainya. Tetapi apabila turun dari pentas dan dalam hidup seharian, cakap-cakapnya sudah jadi lain. Bila berjumpa dia di kedai, dia cakap pasal politik. Bila berjumpa di restoran dia cakap pasal main bola. Bila berjumpa di pejabat, dia cakap pasal gaji dan elaun. Cakap pasal pinjaman membeli rumah dan pinjaman membeli kereta. Cakap pasal naik pangkat. Cakap-cakap Islam sudah tidak ada lagi. Bila naik ke pentas semula, mula balik cakap pasal Islam. Maka keluarlah semula semua istilah-istilah Islam yang hebat-hebat.

Ilmu mesti mendarah mendaging, tidak cukup hanya dihafal sahaja. Ilmu mesti mengisi dan mengalir di seluruh pelosok hati dan jiwa kita. Ilmu mesti dirasakan, dijiwai dan dihayati.Barulah ilmu itu boleh diamal dan diperjuangkan. Barulah ilmu itu boleh dijadikan penyuluh dalam hidup kita. Barulah ilmu itu bermanfaat dan dapat membentuk akhlak dan peribadi kita. Segala perbuatan dan percakapan kita jangan terlepas dari dipandu oleh ilmu yang tersemat di hati kita. Apa pun yang kita fikir, kita fikir Islam. Apa pun yang kita buat, kita buat Islam. Apa pun yang kita cakap, kita cakap Islam tidak kira di mana dan dengan siapa. Barulah akan terpancar ilmu Islam itu di dalam kehidupan kita seharian.

Ilmu mesti disertakan dengan taqwa. Barulah ilmu itu boleh dirasai oleh hati dan diterjemahkan sebagai akhlak lahir dan batin. Bila akhlak sudah sesuai dan selari dengan ilmu Islam, maka bolehlah dikatakan kita sudah berakhlak Islam. Ketika itu kita tidak perlu bercakap banyak. Akhlak kita pun sudah cukup untuk menarik manusia kepada Islam.

Sayidatina Aisyah r.a. pernah ditanya oleh seorang Sahabat bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW? Beliau menjawab:

Maksudnya: “Akhlak Rasulullah ialah seperti Al Quran.

Kalau ilmu tidak mendarah, mendaging, maka kita akan jadi macam pesakit jiwa yang menghidupkan dua watak dalam dirinya atau apa yang dinamakan “split personality”. Sekejap dia jadi orang yang lemah lembut dan penyayang. Sekejap lagi dia jadi orang yang pembengis, pemarah dan ganas. Dia tidak ada watak yang tetap. Orang selalu was-was dan tidak tahu bila hendak percaya pada dia. Masa dia berlemah-lembut pun, orang tidak akan percaya seratus peratus kerana bila-bila masa sahaja dia boleh bertukar menjadi pemarah dan ganas.

Kalau kita menjadi ulama yang menghidap penyakit “split personality” macam ini, sekejap cakap pasal agama dan Akhirat, sekejap cakap pasal dunia, yang semata-mata dunia, maka orang pun tidak yakin, tidak percaya dan akan sentiasa memandang serong kepada kita.

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer