12 Murid Nakal Dan Baik, Kedua Duanya Perlu Dididik
Di manapun kita lihat, kalau ada murid-murid yang berkumpul,sama ada di sekolah,
di asrama atau di mana-manapun, ada murid yang kita anggap baik dan ada murid
yang kita anggap nakal atau sudah sampai ke peringkat jahat. Hanya mungkin di
sekolah atau asrama yang tertentu,tahap kenakalan dan peratus murid yang nakal
itu kurang. Oleh itu kenakalan mereka tidak memberi kesan yang terlalu banyak.
Dimana peratus murid yang nakal dan tahap kenakalan mereka terlalu tinggi, ini
mungkin akan mengubah suasana sekolah atau asrama.Akan lebih banyak berlaku
pergaduhan, kecurian, gansterisme, buli membuli dan masalah kurang disiplin.
Pandangan para guru atau warden asrama pula terhadap perkara ini pada umumnya
adalah stereotaip. Biasanya murid-murid yang baik perangai dan kelakuan mereka
diberi kurang perhatian.Perhatian dan masa ditumpu kepada murid-murid yang nakal,yang
super active, yang hyper-active atau yang jahat. Mereka inilah yang dibimbang-bimbangkan
dan dirisau-risaukan.
Sebabnya jelas. Murid-murid yang baik kurang menimbulkan masalah. Mereka kurang
bergaduh, tidak melanggar peraturan sekolah atau asrama dan agak berdisiplin.
Yang banyak menimbulkan masalah ialah murid-murid nakal, jahat,yang super dan
hyper-active. Mereka inilah yang banyak ditegur, dimarahi, dihukum dan didisiplinkan.
Sikap seperti ini ada kelemahan dan ada kekurangan yang tersembunyi. Kalau tidak
dibongkar, para guru dan warden tidak akan sedar dan akan terus membuat lebih
banyak kesilapan.Kalau tujuan dan matlamat para guru dan warden hanyalah supaya
dapat mengawal suasana dan para murid yang nakal dapat dikawal supaya tidak
menimbulkan kekecohan dan huru-hara di sekolah dan asrama demi untuk menjaga
nama baik sekolah dan asrama, maka layaklah sikap ini diteruskan. Tetapi kalau
tujuan para guru dan warden adalah untuk mendidik para murid supaya mereka menjadi
manusia yang terdidik dengan perangai dan akhlak yang sempurna hingga ia menjadi
pakaian dan darah daging mereka sampai bila-bila, maka sikap ini perlu dibetulkan
dan diubahsuai.
Dalam konsep pendidikan Islam, kedua-dua golongan,sama ada yang baik mahupun
yang nakal atau jahat, samasama memerlukan perhatian. Yang nakal dan jahat perlu
dididik dengan rasa takut kepada Tuhan supaya mereka jadi baik. Yang sudah semulajadi
baik perlu dididik supaya baik mereka itu bukan setakat baik semula jadi tetapi
baik kerana takutkan Tuhan. Murid jahat mesti jadi baik kerana takutkan Tuhan.
Murid baik juga mesti jadi baik kerana takutkan Tuhan.
Kalau elemen takutkan Tuhan ini tidak ada, jahat sudah tentulah jahat tetapi
baik belum boleh dianggap baik pada pandangan Islam. Baik semula jadi belum
tentu baik.Murid jadi nakal dan jahat kerana disepanjang hidup mereka tidak
diperkenalkan kepada Tuhan. Oleh itu sifat takutkan Tuhan tidak ada. Justeru
nafsu mereka tidak terdidik dan berkeadaan liar. Mereka berni buat sesuka hati
dan mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata. Tidak ada apa-apa yang mereka
takutkan. Tuhanpun mereka tidak takut. Kalaupun mereka ini nampak baik dan tidak
menimbulkan masalah disekolah atau di asrama, ini adalah kerana mereka takutkan
hukuman dan tindakan disiplin. Jika kawalan kurang dan mereka tidak diawasi
sepenuhnya, kejahatan mereka akan timbul dan terserlah juga. Mereka terkawal
hanya kerana adanya pencegahan yang bersifat luaran.
Kalau pencagahan luaran ini kendur atau berkurangan atau mereka yakin tidak
akan ditangkap, maka mereka akan berperangai mengikut sifat semulajadi mereka
yang nakal dan jahat itu. Mereka takutkan hukuman lebih dari Tuhan.Ada pula
murid yang baik tetapi bukan kerana takutkan Tuhan. Mereka jadi baik kerana
suasana keluarga mereka baik atau kerana suasana kampung mereka baik. Oleh itu
mereka pun terikut menjadi baik. Baik ini baik semulajadi. Baik ikut suasana
dan environmen. Kalau suasana tidak berubah, mereka akan kekal baik. Tetapi
kalau suasana berubah dan mereka terpengaruh, terancam, tergugat atau teruji,
sifat mereka yang baik itu akan hilang dalam sekelip mata. Sifat jahat mereka
pula akan terserlah.
Sifat baik seperti ini tidak mencengkam hati. Sifat baik ini belum lagi sifat
hatinya yang sebenar. Ia belum jadi pakaian.Ia hanya melekat dan tidak bersemadi
didalam hati. Ia tidak tahan diuji. Murid baik seperti ini pada hakikatnya masih
jahat.Dia ada potensi untuk menjadi jahat. Ini kerana kejahatan masih bersarang
dalam lubuk hatinya. Walaupun luarannya baik, hatinya masih jahat. Dia ibarat
sebuah bom jangka.
Kalau suasana berubah, bila-bila masa sahaja dia akan meletup.Murid baik seperti
ini mesti dididik supaya baiknya itu adalah kerana takutkan Tuhan dan bukan
hanya kerana pengaruh keluarga, suasana dan environmen. Itu sebab kita lihat
ramai pencuri, perompak, pembunuh dan perogol yang kita tidak sangka sebab mereka
nampak macam baik namun hati mereka jahat. Datuk sendiri pun ada yang merogol
cucunya.
Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: Dalam diri anak Adam itu ada seketul
daging. Kalau baik daging itu maka baiklah orangnya.Kalau jahat daging itu maka
jahatlah orangnya. Ketahuilah, itulah hati.
Di sini kita dapat faham bahawa untuk menjadikan seseorang itu benar-benar baik,
hatinyalah yang patut dididik dan dijadikan baik. Untuk membaiki hati, perlu
kepada didikan dan mujahadah untuk menundukkan nafsu. Kuncinya ialah dengan
membawa hati dan nafsunya supaya takutkan Tuhan dan cintakan Akhirat. Murid
jahat kena dididik hatinya. Murid yang baik pun kena dididik hatinya. Kedua-duanya
tidak boleh dibiarkan.
Tuhan sudah tentu tidak menyukai orang yang jahat hati dan jahat perangainya.
Tuhan juga tidak mengiktiraf orang yang baik perangainya tetapi jahat hatinya.
Yakni orang yang berpura-pura baik atau yang berkelakuan baik tetapi bukan kerana
dorongan hatinya tetapi atas alasan dan kepentingan lain atau memang sudah kebiasaannya
begitu. Tuhan tidak melihat kepada lahir seseorang itu tetapi Tuhan melihat
kepada apa yang ada didalam hatinya.
Hakikat diri manusia itu adalah hatinya. Kalau baik hatinya maka baiklah dia.
Kalau jahat hatinya, maka jahatlah dia walaupun dia tidak berbuat jahat dan
pada lahirnya dia nampak baik. Kalau dia baik di sisi manusia kerana dia tidak
membuat kejahatan, tetapi kalau hatinya jahat, dia tetap jahat di sisi Tuhan.Orang
yang membuat jahat lahir, dia ada dua kejahatan.
Satu jahat lahir yang dibuatnya dan satu lagi jahat hati yang mendorongnya membuat
kejahatan lahir tersebut. Orang yang jahat hati, dia tetap berdosa kerana kejahatan
hatinya itu walaupun pada lahirnya dia tidak membuat apa-apa kejahatan.Kejahatan
hati itu adalah segala sifat mazmumah ( sifat keji) yang bersarang dalam hati.
Iaitu hasad dengki, panas baran,pemarah, dendam, sombong, angkuh, tinggi diri
dan lain-lain lagi.
Ia adalah dosa batin, dosa rohaniah atau dosa hati. Ia adalah lebih halus dan
lebih seni dari dosa lahir. Dosa lahir mudah kita kesan dan mudah kita bertaubat.
Hendak buat dosa lahir pun bukan senang. Ia susah kerana kita kena berusaha
untuk membuatnya. Ada banyak resiko. Tetapi dosa hati kita tidak sedar. Buat
dosa hati pula mudah. Orang pun tidak tahu. Ramai manusia terlibat dengan dosa
hati tanpa bertaubat dan mati membawa dosa-dosa tersebut.
Artikel ini adalah bagian dari buku Siraman Minda yang berisi pemikiran dan ilham dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi |
- 1717 reads
Post new comment