11 Jangan Remehkan Amalan Sunat Atau Makruh
Kehidupan dalam Islam tidak terlepas dari lima hukum. Apa sahaja yang
kita buat atau lakukan tertakluk kepada salah satu dari lima hukum tersebut,
sama ada hukum wajib, sunat, haram, makruh atau harus (mubah).
Hukum wajib, seperti solat lima waktu, kalau dibuat dapat pahala dan kalau ditinggalkan
berdosa. Kedudukannya, tidak dapat tidak, mesti dibuat. Hukum sunat seperti
solat dan puasa sunat, kalau dibuat dapat pahala dan kalau ditinggalkan tidak
ada apa-apa. Kedudukannya, elok dibuat. Hukum haram, seperti meminum arak, berjudi
dan berzina contohnya, kalau dibuat berdosa dan kalau ditinggalkan dapat pahala.
Kedudukannya, tidak dapat tidak, mesti ditinggalkan. Hukum makruh, seperti memakan
makanan yang berbau busuk dan sebagainya, kalau ditinggalkan dapat pahala dan
kalau dibuat, Allah tidak suka. Kedudukannya, elok sangat ditinggalkan. Hukum
harus atau mubah pula seperti makan, minum dan tidur contohnya, tepuk dada tanya
selera. Dibuat tidak mengapa, ditinggalkan pun tidak mengapa. Tetapi seboleh-bolehnya
amalan yang harus juga hendaklah kita jadikan ibadah supaya ada ganjaran pahala
darinya.
Untuk melayakkan sesuatu amalan itu menjadi ibadah walaupun amalan yang harus,
supaya ada nilaian pahalanya, ia mesti menepati lima syarat. Kalau lima syarat
ini ditempuh, maka apa yang kita buat dan usahakan itu dianggap sebagai ibadah.
Ada pahala.
Lima syarat itu ialah:
- Niatnya betul, iaitu untuk Allah Taala semata-mata.
- Perlaksanaannya betul, dan dalam melaksanakannya tidak terlibat dengan perkara-perkara atau aktiviti yang ditegah atau yang haram.
- Natijahnya betul, iaitu hasil dari usaha itu tidak timbul atau tidak membawa kepada hal-hal yang haram.
- Perkara yang dibuat atau yang diusahakan itu tidak salah dan tidak haram di sisi syariat Islam.
- Ibadah asas seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan sebagainya tidak ditinggal atau diabaikan .
Di antara perkara yang hendak dibincang di sini ialah tentang amalan atau
ibadah sunat. Atau secara tepatnya tentang penerimaan dan fahaman sesetengah
umat Islam tentang ibadah sunat. Hanya kerana ibadah sunat itu, kalau ditinggalkan
tidak mengapa, maka ramai umat Islam menganggap amalan sunat itu remeh dan kecil.
Kalau kita perkatakan tentang amalan-amalan sunat, ramai yang berkata: Alaah,
sunnaaat. Atau: Alah, tak apalah, itu hanya
sunat . Atau: Alah, apa nak gaduh,
itu sunat bukannya wajib.
Ramai yang mengambil ringan kerana kalaupun yang sunat itu ditinggalkan ia tidak
mudarat. Tidak ramai yang mahu mengambil sikap bahawa kalau ditinggalkan, kita
akan rugi kerana terlepas peluang untuk mendapat pahala dan untuk berbakti kepada
Allah. Seperti orang yang berniaga yang hanya berbuat sesuatu supaya dia jangan
rugi. Tidak pula dia mahu berbuat sesuatu supaya dia boleh dapat untung. Peniaga
seperti itu memang sukar untuk berjaya dalam perniagaan.
Di dalam dua bentuk hukum suruhan Allah ini, iaitu hukum wajib dan hukum sunat,
terkandung berbagai-bagai hikmah. Cuba kita bayangkan apa akan jadi kalau dalam
hukum suruhan itu hanya yang wajib sahaja yang ada dan tidak ada yang sunat.
Maka sedikit sangatlah ruang lingkup ibadah kita. Hendak bersolat hanya solat
waktu, solat sunat tidak ada. Hendak berpuasa hanya di bulan Ramadhan. Puasa
sunat tidak ada. Hendak zakat hanya zakat tanaman, ternakan, perniagaan dan
fitrah. Sedekah atau zakat sunat yang kita buat hari-hari tidak ada. Hendak
ke tanah suci hanya di musim haji, itupun sekali seumur hidup, kerana umrah
atau haji sunat tidak ada. Apatah lagi bermacam-macam bentuk aktiviti yang lain,
seperti berwirid, berzikir, membaca Quran, bertafakur, khidmat masyarakat dan
sebagainya. Alangkah ruginya kalau semua itu tidak dikira sebagai ibadah dan
tidak diberi pahala.
Atau cuba kita bayangkan semua hukum suruhan Allah itu dikira wajib belaka.
Yang sunat pun dikira wajib juga. Hukum sunat tidak ada. Baca Quran wajib. Berwirid
dan berzikir wajib. Bertafakur pun wajib. Maka kalau berlaku begitu, kita tidak
akan mampu melaksanakan kesemuanya. Kita akan sentiasa berdosa dan akan berada
di dalam kemurkaan Allah sepanjang masa kerana meninggalkan yang wajib itu berdosa
hukumnya.
Allah mahukan kita melaksanakan ibadah-ibadah asas yang wajib dan mengarahkan
kepada kita untuk membuat ibadah-ibadah tambahan yang sunat ikut kemampuan,
selera dan minat kita masing-masing. Ada orang suka bersolat, maka dia boleh
banyak bersolat sunat. Ada orang suka berpuasa, maka dia boleh banyak berpuasa
sunat. Ada orang suka berzakat, maka dia boleh banyak bersedekah. Ada orang
suka membaca Al Quran, berwirid, berzikir, bertafakur dan sebagainya. Maka meriahlah
hidup seseorang Muslim itu dengan berbagai-bagai ibadah sunat yang disukainya
selepas selesai amalan-amalan yang wajib.
Walaupun ibadah wajib itu asas dan pokok, namun Allah sangat melihat kepada
amalan yang sunat-sunat. Allah Taala ada berfirman di dalam sebuah Hadis Qudsi
yang maksudnya:
Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyak ibadah-ibadah sunat sehingga Aku jatuh
cinta kepada kamu.
Di sini kita dapat lihat bahawa walaupun ibadah-ibadah sunat itu hanya sunat
hukumnya, iaitu lebih rendah dari hukum wajib dan kalau ditinggalkan pun tidak
mengapa, namun ia menjadi syarat untuk menagih dan mendapat cinta dan kasih
sayang Tuhan. Di situlah kelebihan amalan-amalan sunat. Oleh itu tidak ada sebab
mengapa amalan-amalan sunat mesti diperkecil atau diremehkan kerana di dalamnya
terkandung hikmah yang sangat besar.
Kuliah Umum
Ini boleh diibaratkan sebagai dua orang pekerja di sebuah syarikat di bawah
tuan punya syarikat. Seorang pekerja itu datang kerja tepat pada waktunya dan
tidak balik sebelum habis waktu kerja. Kerjanya sentiasa beres dan baik. Tidak
ada tugas-tugasnya yang terbengkalai. Namun demikian dia sangat berkira kalau
diminta membuat sesuatu yang tidak termasuk dalam bidang tugas dan tanggungjawabnya
yang rasmi. Dia tidak suka membersih dan mengemas pejabat. Dia tidak mahu menanam
atau menjaga atau menyiram bunga di kawasan pejabat. Dengan tuan punya syarikat
pun dia tidak berapa layan dan tidak berapa hormat. Cakap dengan tuan punya
syarikat pun seperti bercakap dengan kawan biasa. Diengkau-engkaukannya sahaja.
Dia sangat mendahulukan dan membesarkan kerjanya tetapi tidak mendahulukan atau
membesarkan majikannya. Dia tidak suka berkhidmat untuk majikannya atau membuat
sesuatu untuk menyenangkan hati majikannya.
Pekerja yang seorang lagi berlainan sedikit wataknya. Dia seperti juga pekerja
yang pertama. Datang kerja tepat pada waktu. Kerja pun beres dan mutu kerja
pun memuaskan. Di samping itu dia sangat hormat kepada majikannya. Sangat mendahulukan
dan membesarkan majikannya. Dia sangat suka berkhidmat dan membuat sesuatu yang
boleh menyenangkan hati majikannya. Kalau kereta majikannya kotor, dia basuh.
Dibawanya minuman dan makanan untuk majikannya kerana rasa sayang dan hormatnya.
Dia seronok berkhidmat untuk majikannya. Suruh apa sahaja, dia akan buat walaupun
tidak termasuk dalam bidang tugasnya ataupun dia terpaksa balik lewat. Yang
tidak disuruh pun dia buat.
Di antara dua orang pekerja ini siapakah yang lebih disayangi oleh majikan?
Tentulah pekerja yang kedua, kerana di samping kerjanya beres dan cekap, dia
sangat mendahulukan dan membesarkan majikannya. Pekerja yang pertama sangat
angkuh dan sombong. Sangat berkira dengan majikannya. Dia membesarkan kerjanya
dan memperkecilkan majikannya.
Begitulah juga di antara kita dengan Tuhan.
Sikap mendahulu dan membesarkan Tuhan mesti ada .
Suka berbakti dan berkhidmat dengan
Tuhan itu mesti ada. Sikap tidak berkira
dengan Tuhan mesti ada. Ini semua ialah
bukti rasa hamba kita kepada Tuhan .
Seperkara lagi yang hendak kita perkatakan ialah tentang hukum makruh. Atau
secara tepatnya, tanggapan sesetengah umat Islam tentang amalan-amalan yang
makruh. Kalau disarankan supaya amalan makruh itu ditinggalkan, maka akan terdengarlah
ungkapan-ungkapan seperti berikut: Alah,
ini tak apa. Makruh sahaja . Atau
Alah, apa nak bising tentang benda yang makruh. Yang haram pun banyak lagi kita
buat.
Ramai umat Islam tidak terdorong untuk meninggalkan yang makruh. Walhal berbuat
yang makruh itu Tuhan tidak suka. Walaupun tidak jatuh dosa tetapi apakah kita
suka berbuat sesuatu yang Tuhan tidak suka. Kalau ayah, ibu atau isteri kita
tidak suka kita pun, kita sudah menderita. Hatta kalau anak sendiri tidak suka
kepada kita, terasa juga kecewa di hati kita. Inikan pula kalau Tuhan tidak
suka.
Ada pepatah Melayu yang berbunyi Siakap,
senohong, gelama, ikan duri. Cakap bohong lama-lama mencuri. Mula-mula
buat salah laku yang ringan. Bila sudah terbiasa dan sebati, meningkat kepada
salah laku yang lebih berat. Ramai penagih dadah yang sudah sampai ke tahap
menyuntik dadah heroin terus ke pembuluh darah, asalnya hanya menyedut dan menghidu
sahaja asap heroin tersebut menerusi hidung. Sebelum itu dia menghisap candu.
Sebelum candu dia menghisap ganja. Sebelum ganja dia menghisap rokok. Jadi,
pokok pangkalnya ialah rokok. Mungkin dia telah pernah ditegur supaya berhenti
merokok. Mungkin juga dia telah menjawab: Alah, makruh sahaja. Bukannya haram.
Bukannya berdosa. Ada kemungkinan yang sangat besar kalau menjual dan menghisap
rokok itu diharamkan di negara kita, jumlah penghuni pusat serenti mungkin berkurangan
hingga separuh. Jenayah-jenayah petty juga mungkin akan banyak berkurangan.
Kerana kita sudah basmikan langkah pertamanya atau initiation phase bagi penagih
dadah iaitu amalan merokok. Sembilan puluh sembilan peratus penagih dadah menghisap
rokok atau pernah menagih rokok.
Yang makruh akan membawa kepada yang haram atau setidak-tidaknya kepada mudarat.
Tidak hairanlah Allah tidak suka kita melakukannya. Justeru itu, tidak ada sebab
mengapa usaha meninggalkan amalan-amalan yang makruh itu dipandang kecil atau
diremehkan. Apa yang Allah tidak suka tidak akan membawa kepada apa-apa kebaikan
malahan akan hanya membawa kepada mudarat. Apa yang Allah tidak suka tidak akan
membawa kepada rahmat dan kasih sayang Allah. Apatah lagi kalau apa yang makruh
dan yang Allah tidak suka itu dibuat secara berterusan dan dikekalkan sepanjang
hidup, maka sepanjang hidup kitalah ada perkara pada kita yang Allah tidak suka.
Artikel ini adalah bagian dari buku Pancaran Minda yang berisi pemikiran dan ilham dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi |
- 2636 reads
Assalamualaikum. Salam kenal
Assalamualaikum.
Salam kenal untuk admin disini.
saya meminta dukungannya dari admin disni untuk bersedia meluangkan waktu dan merefisi forum islam yang saya buat. dan kalo bisa abang ikut serta membantu saya dalam pengembangan forum tersebut. nama forumnya http://marifatullah.com terima kasih..
Wassalamualaikum wr.wb
Post new comment