11 Antara Perintah Dan Fitrah





11 Antara Perintah Dan Fitrah


Perintah Tuhan itu, ada yang berbentuk suruhan dan ada yang berbentuk 
larangan. Secara umumnya, membuat apa yang disuruh itu ibadah dan meninggalkan 
apa yang dilarang itu juga ibadah. Perintah berbentuk suruhan ada yang hukumnya 
sunat dan ada yang hukumnya wajib. Yang sunat, kalau dibuat dapat pahala. Kalau 
ditinggalkan tidak mengapa. Kedudukannya elok dibuat. Yang wajib, kalau dibuat 
dapat pahala. Kalau di-tinggalkan berdosa. Kedudukannya mesti dibuat.

Perintah berbentuk larangan pula ada yang hukumnya makruh dan ada yang hukumnya haram. Yang makruh kalau ditinggalkan dapat pahala. Kalau dibuat Tuhan tidak suka. Kedudukan-nya, elok ditinggalkan. Yang haram, kalau ditinggalkan dapat pahala. Kalau dibuat berdosa Kedudukannya mesti ditinggalkan.

Ada pula perkara yang hukumnya harus atau mubah. Tuhan tidak suruh dan Tuhan tidak larang. Hendak buat boleh. Hendak tinggalkan pun tak apa. Kedudukannya tepuk dada tanya selera. Namun perkara harus ini pun, kalau dibuat tepat dengan syarat-syarat ibadah, maka dapat pahala melakukan-nya. Syarat-syaratnya ialah:

Niatnya betul iaitu kerana Tuhan
Perlaksanaannya betul- tidak melibatkan yang haram
Natijahnya betul - hasilnya dapat kebaikan
Jangan tinggalkan ibadah asas seperti sembahyang, puasa dan lain-lain

Perintah Tuhan ini pula, sama ada perintah suruhan atau-pun perintah larangan, ada yang tidak sesuai dengan fitrah dan naluri kita. Ada pula perintah yang sesuai dengan fitrah dan naluri kita.

Perintah Tuhan yang tidak sesuai dan bercanggah dengan fitrah dan naluri kita, sudah tentulah ditolak oleh fitrah. Kita rasa berat dan tidak suka melakukannya. Tidak ada kepuasan dan kemanisan. Kita buat secara terpaksa, secara ala kadar dan dengan banyak mujahadah.

Kerana terasa berat, perintah seperti ini banyak yang terabai. Hanya orang yang benar-benar takut dengan Tuhan sahaja yang mampu melaksanakannya. Namun, ibadah seperti ini lebih selamat. Lebih mudah dapat pahala dan lebih mudah untuk ikhlas. Kerana ia betul-betul datang dari hati dan dibuat betul-betul kerana Tuhan. Ibadah seperti ini kena diusahakan bersungguh-sungguh. Dan kena mujahadah. Syarat rukun dan sah batalnya sangat dijaga. Justeru itu, melalui ibadah seperti ini, mudah bagi kita mendapat redha, cinta dan keampunan Tuhan.

Contohnya ialah ibadah sembahyang atau solat. Mana ada seronok? Ibadah puasa. Rasa payah hendak buat. Tetapi kerana iman, kita buat juga. Ibadah zakat dan haji. Kena korbankan duit dan kena bersusah payah. Kalau buatpun kena paksa diri. Begitu juga hendak maafkan orang. Rasa berat dilakukannya. Lebih-lebih lagi lah hendak buat baik pada orang yang buat jahat pada kita. Rasa berat sungguh untuk melakukannya. Kecualilah bagi para Rasul, nabi dan para wali Allah. Ibadah-ibadah ini semua sangat manis bagi mereka.

Perintah yang sesuai dengan fitrah dan naluri kita lebih ringan untuk dibuat. Ibadah seperti ini tidak payah disuruh-suruh. Berebut-rebut orang hendak buat. la lebih laju dan rancak. Hasilnya pun lebih banyak. Namun begitu, sangat sukar r dan payah untuk dapat pahala. Sangat susah untuk dibuat kerana Tuhan dan untuk diikhlaskan. Sangat susah untuk dapat redha, cinta dan kasih sayang buat ibadah seperti ini kerana suka., kerana mengikut fitrah atau kemahuan semula jadi. Kerana ikut keinginan kita dan bukan sangat kerana Tuhan.

Contoh ialah perintah Tuhan untuk menuntut ilmu supaya kita jadi pandai dan alim. Ini semua orang mahu. Siapa tidak mahu jadi pandai, ada tempat dalam masyarakat. Mudah dapat jawatan. Mudah cari makan. Orang pun sanjung. Kalau nasib baik, boleh jadi pemimpin. Contoh lagi ialah kita membangun dan maju yang terangkum dalam fardhu kifayah. Ini, semua orang mahu. Siapa yang tidak suka membangun dan maju. la sesuai dengan tuntuan naluri.

Contoh lagi ialah nikah kahwin. Semua orang suka dan mahu. Orang lelaki mahu, orang perempuan pun mahu. Tak payah disuruh-suruh. Mengembara di bumi Tuhan perintah. Siapa yang tidak suka? Semua orang suka melancung. Kalau belanja duit beribu-ribu ringgit pun tak apa. Dapat tengok negeri orang. Dapat ilmu dan pengalaman. Kalau sudah balik, seronok cerita pada orang tentang pengalaman pengembaraan mereka.

Ibadah yang sesuai dengan fitrah dan naluri ini, kerana ramai orang suka membuatnya di samping nilai duniawinya tinggi, maka ramailah orang yang berkempen dan menganjurkannya. Ini termasuklah para ulamak dan pemimpin. Kadang-kadang bukan setakat berkempen dan menganjur malahan diberi segala kemudahan, galakan dan insentif Diberi pinjaman, scholarship (biasiswa), sponsorship (penajaan), khidmat nasihat, kaunseling, kursus dan berbagai-bagai lagi.

Tidak pernah pula orang berkempen dan menganjurkan sembahyang, puasa, sedekah, memaafkan orang atau berkempen supaya manusia berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat pada mereka. Lebih-lebih lagilah untuk memberi galakan, kemudahan dan insentif . Para ulamak dan pemimpin pun kurang bercakap tentang hal ini. Mereka lebih banyak bercakap tentang mencari ilmu, membuat kemajuan dan membangun, melancung dan sebagainya.

Pun begitu, ini masih baik. Kalau tidak dapat berkempen untuk semua bentuk ibadah, memadailah berkempen untuk ibadah-ibadah yang tertentu. Bak kata orang, kalau tak boleh buat semua, janganlah pula tinggalkan semua.

Tetapi yang sedihnya, kempen mereka ini tidak di atas nama Tuhan. Walhal perintah mencari ilmu, membangun, maju dan mengembara itu adalah perintah Tuhan " Atas nama Tuhan" itu disorok dan ditutup. Tidak disebut. Kempen dan galakan itu dibuat atas nama naluri dan fitrah semata-mata. Kita ambil contoh perintah Tuhan dalam mencari ilmu berdasarkan surah Al-Alaq:

Maksudnya: " Bacalah, dengan nama TuhanMu yang telah menciptakan." (Al-Alaq: 1)

Tafsirannya ialah: Carilah ilmu dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan.


Tetapi bila orang berkempen supaya cari ilmu, mereka kata-Tengok! Quran pun suruh kita cari ilmu. Mereka lupa hendak tekankan bahawa cari ilmu dalam Quran itu mestilah dengan nama Tuhanmu. laitu mesti kerana Tuhan, mesti mengikut cara yang Tuhan mahu, mesti selari dengan syariat Tuhan dan natijahnya mesti seperti mana yang Tuhan kehendaki.

Disebabkan mencari ilmu itu tidak dikaitkan dengan Tuhan, maka ia menjadi satu usaha yang hanya berlandaskan fitrah dan naluri. Hasilnya orang belajar ilmu kifayah sebelum selesai ilmu ain. Orang kenal benda lain sebelum orang kenal Tuhan. Orang belajar ilmu tak kira di mana. Ada orang Islam yang belajar ilmu Islam di dalam gereja. Guru mereka pula paderi Nasrani dan pendita Yahudi yang tidak beriman malahan yang memusuhi Islam. Ilmu yang mereka perolehi tidak mem-buatkan mereka merasa rendah diri dan tawadhuk dengan Tuhan malahan dengan ilmu itu, mereka jadi angkuh dan sombong. Menuntut ilmu itu tidak jadi ibadah bagi mereka kerana tidak dikaitkan dengan Tuhan.

Mereka menuntut ilmu khusus untuk kepentingan ekonomi dan dunia mereka walaupun ilmu yang dituntut itu ilmu agama. Mereka belajar untuk mendapat kerja, pangkat dan jawatan dan bukan untuk menjadi orang bertaqwa yang mengabdi diri kepada Tuhan dan berkhidmat kepada manusia. Jangankan hendak mendidik orang lain dengan ilmu yang ada pada mereka, mereka sendiri pun tidak terdidik dengan ilmu mereka itu.

Ini dalam soal mencari ilmu. Kita boleh qiaskan perkara ini dengan perintah dan ibadah-ibadah lain yang sesuai dengan fitrah dan naluri kita seperti membangun, berkemajuan, mengembara, nikah kahwin dan sebagainya. Betapa kita mengenepikan Tuhan dalam kerja-kerja seperti ini seolah-olah itu semua bukan perintah Tuhan. Kita buat mengikut suka hati dan selera kita sahaja. Betapa para ulamak dan para pe-rnimpin berkempen untuk kita maju dan membangun tetapi syarat tuntutan "dengan nama Tuhan" itu tidak disebut dan disembunyikan.

Justeru, dalam semua kerja itu, kita tidak niatkan kerana Tuhan. Oleh itu ia tidak jadi ibadah. Kita langgar pula semua peraturan, hukum-hakam dan syariat Tuhan dalam melaksanakannya. Asalnya, semua kerja tersebut adalah ibadah dan perintah Tuhan. Tetapi kita telah memansuhkan nilai ibadah nya dan kita terjebak pula dengan dosa dan maksiat dalam melaksanakannya kerana mengenepikan syariat Tuhan.

Artikel ini adalah bagian dari buku Siraman Minda yang berisi pemikiran dan ilham dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer