09: Dakwah: Kepada Orang Islam atau Orang Kafir




09: Dakwah: Kepada Orang Islam atau Orang Kafir




Menyentuh tentang dakwah, selalu juga orang bertanya mengapa kita sibuk sangat berdakwah pada orang-orang Islam? Kan lebih patut kita berdakwah pada orang-orang yang bukan Islam dan bawa mereka masuk Islam. Barulah betul. Barulah penganut Islam akan bertambah. Barulah lepas tanggungjawab kita sebagai umat Islam di dalam menyebarkan agama suci ini. Orang Islam memang sudah Islam. Hendak dakwah apa lagi pada mereka.

Soalan macam ini membuatkan kita teringat berbagai-bagai peristiwa. Dulu di Sarawak, ada satu badan agama bernama BINA (Angkatan Nahdatul Islam Bersatu). Sinonimnya dibaca dari belakang, bukan dari mula; sebab-sebabnya kita tidak tahu.

Pendakwah-pendakwah dari badan ini pernah berdakwah di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak dan telah banyak pula meng-Islamkan suku kaum Iban dan Bidayuh. Berbagai-bagai cara mereka gunakan termasuklah memberi hadiah dan wang ringgit supaya suku-suku kaum tersebut tertarik dan mahu menganut agama Islam.

Selang beberapa tahun, mereka dilawati semula dan bila ditanya apa agama mereka, ramai yang mengaku beragama BINA. Istilah “Islam” itu hanya tinggal samar-samar sahaja di dalam ingatan mereka. Amalan Islam mereka juga jauh dari yang sepatutnya.

Kemudian kita teringat pula tentang kawan-kawan kita yang pernah berdakwah di kalangan orang-orang asli untuk mengajak mereka masuk Islam. Kata Tok Batin, “Syaya bukan tak syuka Melayu. Tapi alahai, orang Melayu dah banyak curi ayam syaya. Biarlah syaya macam syaya. Lagi elok. Syaya tak curi ayam orang Melayu.

Kemudian seorang Inggeris yang telah banyak menjelajah dunia Islam dan telah banyak melihat kemunduran, kepapaan dan kemiskinan umat Islam, bila ditanya apa pandangannya tentang Islam, dia menjawab: “I tend to agree to the higher principles and aspirations of Islam but I simply cannot come to terms with the poverty and the backwardness that comes with it.”

Berkata pula seorang berbangsa Eropah yang telah lama bekerja di Timur Tengah tentang orang-orang Islam setelah melihat keganasan orang-orang Arab di sana, “It is difficult to imagine they were once the same people who gave love and brotherhood its devine meaning.”

Jadi, nampak gayanya, susah juga hendak berdakwah pada orang-orang bukan Islam ini. Ada yang dah di-Islamkan tapi tak sedar yang dia tu Islam. Ada pula yang tak mahu Islam sebab ada orang Islam yang zalim kepadanya. Ada yang menerima prinsip-prinsip Islam tapi tidak mahu masuk Islam kerana takut miskin dan papa. Ada pula yang tak mahu Islam kerana dianggapnya Islam mengajar penganutnya menjadi ganas.

Sebenarnya, memang kita dituntut menyebarkan Islam kepada orang-orang yang bukan Islam dan kalau boleh, meng- Islamkan mereka itu. Tapi ini tidak bermakna kita mesti berhenti berdakwah kepada orang-orang Islam atau yang sudah Islam. Tujuan dakwah kita kepada dua-dua pihak ini pun tidak sama. Kepada yang bukan Islam, kita banyak menyebut tentang fitrah, ketauhidan, hal-hal ketuhanan dan mengapa mereka mesti Islam. Kepada orang-orang Islam pula, kita menyebut tentang ilmu dan amal, tentang hukum-hakam dan tentang akhlak Islam.

Kerana selagi umat Islam tidak berilmu dan tidak beramal dan tidak patuh pada hukum-hakam, selagi itulah mereka tidak selamat. Tidak memadai umat Islam itu setakat mengaku diri mereka Islam kerana hanya sekadar menjadi seorang Muslim sahaja tidak menjamin apa-apa. Orang yang hanya setakat mengaku dirinya Islam tetapi tidak berilmu dan beramal, belum selamat dari kehinaan di dunia dan kehinaan di Akhirat. Dua kalimah syahadah yang diucapkan ada tuntutan-tuntutannya yang wajib dilaksanakan. Selagi ini tidak berlaku, iman itu sendiri menjadi tanda tanya kerana ucapan kalimah syahadah itu hanya dianggap sah bila diucap di lidah, ditasdiq di hati dan dilaksanakan dengan perbuatan.

Juga, selagi umat Islam tidak berilmu dan tidak beramal, selagi itulah dunia tidak akan dapat melihat contoh atau model kehidupan Islam yang sebenar. Selagi contoh ini tidak wujud, selagi itulah orang-orang yang bukan Islam tidak akan dapat melihat Islam itu terlaksana dan mereka akan sentiasa berada di dalam kekeliruan dan kecurigaan tentang Islam. Jadi susah bagi mereka ini hendak yakin dengan Islam.

Sekarang ini, umat Islam terhina di merata dunia sama ada di dalam negeri mereka sendiri tambah-tambah lagi kalau mereka sebagai kaum minoriti di negara kafir. Ekonomi mereka mundur, moral mereka rendah dan akhlak mereka kasar dan buruk. Mereka sentiasa ditekan oleh kaum kafir dan mereka tidak mampu berdikari. Kalaupun ada negara umat Islam yang kaya dari hasil minyaknya, mereka juga terhina kerana tidak mempunyai kekuatan hingga terpaksa berkawan dan menagih perlindungan dari musuh kafir. Ini kerana mereka gagal mengamalkan kehendak pokok dalam Islam seperti yang terkandung di dalam firman Allah SWT:

Maksudnya: “Akan ditimpa kehinaan dan kecelakaan ke atas kamu di mana saja kamu berada kecuali kamu mengadakan dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan sesama manusia.” (Surah Ali Imran: 112)

Jadi, berdakwah kepada orang Islam itu tidak boleh diabaikan. Umat Islam mesti dihidupkan insannya. Umat Islam mesti diseru menuntut ilmu dan beramal. Mereka mesti diseru melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hamba dan juga sebagai khalifah Allah. Mereka mesti diseru menegakkan fardhu ain dan fardhu kifayah. Mereka mesti diseru berjuang dan berjihad, menjalin hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Mereka mesti diseru terlibat di dalam ibadah bentuk ukhrawi dan ibadah bentuk duniawi. Mereka mesti diseru menegakkan tamadun Islam. Barulah iman dan Islam itu akan bermakna di dalam kehidupan umat. Barulah iman dan Islam itu dapat menghasilkan kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di Akhirat. Barulah umat Islam akan jadi mulia. Justeru itu juga, keindahan Islam akan terserlah.

Ketika itu, orang-orang kafir tidak akan ragu-ragu lagi untuk memeluk Islam kerana tertarik kepada akhlak, keadilan, tamadun dan cara hidup Islam yang sangat indah, cantik dan murni serta sangat sesuai dengan fitrah dan kegemaran manusia. Ketika itu kita tidak perlu banyak cakap. Melihat akhlak dan cara hidup umat Islam sahaja sudah cukup untuk memikat kaum kafir memeluk Islam. Ramai kaum musyrik memeluk Islam bukan kerana mendengar dakwah Rasulullah SAW tetapi kerana melihat akhlaknya yang luhur. Berdakwah kepada umat Islam adalah jalan terbaik untuk berdakwah kepada kaum kafir.

Dalam banyak hal, berdakwah kepada orang Islam seperti inilah yang lebih rumit dan lebih besar skop dan implikasinya daripada berdakwah kepada orang yang bukan Islam.

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer