08: Dakwah Selepas Tahun 1970




08: Dakwah Selepas Tahun 1970




Rasulullah SAW ada bersabda:

Maksudnya:“Sampaikan dariku walaupun satu ayat.

Baginda juga ada bersabda,

Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat.”

Di dalam Al Quranul Karim pula ada firman Allah SWT:
Maksudnya: “Hendaklah ada satu golongan di antara kamu yang menyeru kepada kebajikan dan mencegah kepada kemungkaran.” (Surah Ali Imran:104)

Jadi, menyampaikan risalah atau mesej Islam itu atau memberi nasihat atau menjalankan amar makruf dan nahi mungkar itu adalah tugas dan tanggungjawab orang Islam. Semua ini boleh dirangkum dalam satu istilah iaitu “dakwah”. Dakwah itu disuruh dan dituntut di dalam Islam.

Sama ada sesuatu masyarakat atau bangsa itu kuat kehidupan beragamanya dan teguh pendirian dan moralnya tertakluk secara langsung kepada gigih atau tidaknya masyarakat atau bangsa itu menjalankan tugas dakwah ini. Sekiranya usaha dakwah ini diabaikan maka masyarakat akan tenggelam ke dalam kehidupan yang liar dan tersisih dari agama. Moral akan jatuh dan maksiat akan berleluasa. Manusia menjadi alpa.Manusia akan lari dari Tuhannya dan akan mengangkat nafsu-nafsu mereka menjadi Tuhan.

Kekosongan dakwah ini akan diisi oleh seruan-seruan yang sumbang iaitu seruan-seruan yang mengajak manusia kepada memenuhkan tuntutan syahwat dan hawa nafsu mereka. Banyak ayat dari ilham syaitan akan disampaikan dan bukan lagi ayat-ayat dari Al Quran. Nasihat tidak lagi akan kedengaran. Yang ada hanya ‘nasakit’ iaitu bisikan-bisikan yang akan membawa manusia kepada kesakitan dan kesengsaraan di dunia dan di Akhirat.

Amar mungkar dan nahi makruf (menyeru kepada kemungkaran dan mencegah kepada kebaikan) akan berkumandang di merata-rata tempat sehingga manusia akan memandang yang mungkar dan jahat itu biasa dan yang makruf atau baik itu pelik. Susu akan dipandang hina. Arak dipandang mulia. Tubuh yang bertutup litup akan dianggap kuno. Tubuh yang terdedah terbelah dianggap moden. Sedikit dan halal itu dianggap mundur. Banyak dan haram itu dianggap maju. Yang kaya, yang berkuasa, yang berpangkat dan yang elit itu disanjung walaupun mereka menganjurkan maksiat dan kesesatan. Yang miskin dan yang dhaif itu dikeji walaupun mereka menganjurkan kebenaran. Kehidupan manusia akan menjadi kelam-kabut dan lintang-pukang.

Alhamdulillah, di negara kita ini semenjak tahun 1970-an, sudah wujud sedikit sebanyak seruan dakwah ini. Banyak pihak sama ada secara individu atau berjemaah telah mengisi seruan dakwah. Justeru itu semenjak tahun 1970-an, kita dapat lihat sedikit sebanyak Islam itu diamalkan di kalangan umat Islam di negara kita iaitu pancaran dari hati-hati yang sudah insaf dan sedar hasil dari dakwah yang telah diusahakan hingga kini.

Bila dikatakan mulai tahun 1970-an baru berlaku seruan dakwah di negara kita, ramai pihak tidak setuju. Ada yang berkata tok-tok alim semenjak sebelum zaman Jepun pun sudah ada yang mengajar. Dari zaman-zaman penjajah dulu pun pengajian agama sudah ada di masjid-masjid. Malahan pondok-pondok pun sudah lama wujud. Bukan semenjak tahun 1970-an. Yang sudah wujud semenjak tahun 1930-an pun ada.

Walau apa pun pendapat mereka ini, hakikat yang kita nampak, perubahan masyarakat kepada Islam hanya berlaku semenjak tahun 1970-an sahaja. Tidak ada sebelum itu. Pihak yang mengatakan pengajian agama telah wujud lebih awal dari itu, mungkin juga betul. Tapi hanya setakat pengajian agama sahaja, bukan seruan agama. Dalam erti kata yang lain, yang ada pada masa itu hanya ta’lim atau pengajian, bukan dakwah.

Ta’lim semata-mata tidak mampu membawa perubahan pada masyarakat. Ta’lim tidak mampu menyedarkan masyarakat secara menyeluruh. Ta’lim tidak dapat memberi dorongan dan tidak dapat membakar semangat jihad sesuatu bangsa. Malahan kebanyakan orang yang terlibat dengan ta’lim itu sendiri tidak menampakkan ciri-ciri Islam pada diri, keluarga dan kehidupan seharian mereka.

Ta’lim hanyalah pengajian ilmu yang berlaku di masjid-masjid dan di pondok-pondok. Yang mengajar dipanggil mualim. Mereka menunggu murid-murid datang untuk mengaji dan yang datang itu hanyalah sedikit. Itu pun kebanyakannya orang yang sudah tua yang sudah tidak ada selera mahupun tenaga lagi untuk mengejar nikmat dunia. Kalau ada pun yang muda, itu hanyalah kerana mereka sudah tidak upaya dan tidak layak lagi ikut pengajian di tempat lain maka pondoklah peluang terakhir bagi mereka.

Kebanyakan ilmu pula hanya berbentuk ilmiah atau untuk ibadah khusus semata-mata, tidak untuk jihad atau untuk mendaulatkan Islam di muka bumi. Ilmu-ilmu seperti ini tidak mampu untuk mengubah corak hidup mereka kepada corak hidup Islam, apatah lagi untuk mengubah corak hidup keluarga dan anak isteri mereka.

Keadaan seperti ini amat sesuai dengan kehendak penjajah. Di India, penjajah telah belajar bahawa untuk menjajah umat Islam, mereka mesti dipisahkan dari Al-Quran, khususnya dari konsep dakwah dan jihad yang terkandung di dalamnya. Itu sebabnya ta’lim ini tidak pernah diganggu-gugat malahan amat digalakkan oleh penjajah. Tidak sedikit mu’alim yang mereka gajikan. Penjajah seolah-olah berkata, “Teruskanlah mengaji, teruskanlah ibadah. Jadilah hamba Allah yang baik. Biar kami yang menguruskan hal dunia kamu.”

Lain pula halnya dengan dakwah. Dakwah itu menyeru, memanggil, menjemput, menyedarkan. Yang berdakwah itu dipanggil da’i. Para da’i tidak berdakwah di masjid-masjid atau di pondok-pondok. Mereka keluar bertemu masyarakat terutama yang jarang ke masjid. Di pejabat, di sekolah, di universiti, di pasar, di rumah, di jalanan, di pekan, di kampung hatta di mana-mana sahaja.

Mereka memberi perhatian pada yang ramai, bukan yang sedikit. Mereka tidak menunggu didatangi tetapi mereka pergi mencari masyarakat yang mahu mendengar seruan mereka. Mereka tidak duduk setempat. Mereka berpindah-pindah dan bermusafir arah ke mana sahaja seruan mereka mahu didengar. Mereka menyeru didaulatkan kalimah Allah dan ditegakkan lima hukum. Mereka menyeru dilaksanakan yang wajib dan yang sunat dan mereka menyeru dihindarkan yang haram dan yang makruh. Mereka menyeru manusia kepada Tuhan. Untuk cinta dan takut pada Tuhan.

Dakwah itu suatu jihad. Jihad itu dari istilah jahadu yang bererti “bersungguh-sungguh”. Jadi dakwah ini bukan kerja main-main. Bukan kerja rehat-rehat. Ia satu kerja yang mesti dibuat bersungguh-sungguh. Ia mesti aktif, tidak boleh pasif. Ia mesti mencari, tidak boleh menunggu. Ia mesti bergerak, tidak boleh diam. Ia mesti kuat, tidak boleh lemah. Semua ini perlu kepada perjuangan. Setiap perjuangan perlu kepada pengorbanan. Itulah saham para da’i.

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer