07 Hakikat Peperangan
Sekarang ini heboh pasal perang. Amerika Syarikat sedang berperang
dengan Afghanistan. Sebelum ini, Rusia dengan Afghanistan. Rusia berhenti berperang
dan pulang ke negara asal. Orang Afghanistan terus juga berperang sesama sendiri.
Perang saudara namanya. Pelik juga. Selepas perang dengan musuh, perang pula
dengan saudara.
Rusia pula, setelah berehat buat seketika, berperang semula. Kali ini dengan
orang Chechnya. Di Kosovo, perang juga. Orang Serb dengan orang keturunan Albania.
Sebelum itu di Bosnia Hezegovina, di antara orang Serb dengan orang Islam Bosnia.
Selepas revolusi Iran, Iraq dan Iran berperang. Ini diikuti peperangan di antara
Iraq dengan Amerika Syarikat yang dibantu oleh sekutu-sekutunya atas isu Kuwait
atau dalam erti kata yang lain, atas isu minyak.
Britain memilih untuk berperang dengan Argentina bagi merebut kepulauan Falklands.
Tempatnya jauh sedikit dari kawasan sibuk di dunia tapi peperangannya hebat
juga.
India dan Pakistan pula sudah pernah berperang. Hasilnya, terbentuk negara Bangladesh.
Manakala Arab dan Israel sudah lama tidak berperang, tetapi kawasan Palestin
masih panas.
Demikianlah halnya dengan dunia ini. Tidak habis-habis dengan perang, terutama
perang bersenjata. Hingga apabila disebut sahaja perang, itulah yang kita faham,
iaitu perang bersenjata. Kita lupa bahawa banyak lagi perang yang lebih besar,
lebih rumit dan lebih mencabar yang tidak melibatkan penggunaan apa-apa senjata.
Sebenarnya perang itu ialah perlawanan, perjuangan atau penentangan. Tidak semestinya
perang itu perang bersenjata. Apa sahaja yang dilawan, diperjuangkan, dan ditentang,
maka peranglah namanya. Di dalam Al Quran, Tuhan ada menyebut tentang tiga bentuk
peperangan iaitu:
- Perang melawan hawa nafsu
- Perang melawan syaitan
- Perang melawan orang kafir
Pernah pada satu masa Rasulullah SAW, ketika sekembalinya dari peperangan Badar yang hebat dengan para Sahabat, bersabda:
Kita kembali dari satu peperangan yang maha kecil kepada satu peperangan yang maha besar.
Para Sahabat terkejut lalu bertanya, Ada lagikah ya Rasulullah perang yang lebih besar dari peperangan ini?
Rasulullah menjawab , Ada, iaitu perang melawan hawa nafsu.
Nafsu itu adalah sebahagian dari diri rohani kita. Ia satu dari wajah roh kita.
Apabila roh kita berperanan untuk berfikir,
bertafakur, menimbang-nimbang, menimba dan menyimpan ilmu, ketika itu roh kita
dinamakan akal .
Apabila r oh kita berperanan untuk merasa seperti
rasa sedih, gembira, gementar, takut, cinta, gerun, rasa hebat, rasa kagum dan
sebagainya, maka ketika itu roh kita dinamakan hati .
Apabila roh kita berperanan untuk mengajak
dan mendorong kita untuk berbuat dan melakukan sesuatu sama ada perkara jahat
mahupun perkara baik, sama ada perkara ibadat mahupun maksiat, ketika itu roh
kita dinamakan nafsu
.
Berperang melawan hawa nafsu ini ialah
berjuang dan bermujahadah melawan nafsu amarah yang ada dalam diri kita
. Sesungguhnya nafsu amarah itu sangat mendorong kepada kejahatan. Kalau dia
dapat berbuat maksiat dan kemungkaran, dia rasa seronok. Tidak ada rasa berdosa,
rasa takut, rasa malu atau rasa bersalah. Tidak ada penyesalan. Malahan dia
rasa megah dan mahu semua dunia tahu yang dia telah berbuat maksiat dan kemungkaran.
Nafsu amarah ini ialah peringkat nafsu yang paling keji. Orang yang mempunyai
nafsu amarah ini seperti haiwan bahkan lebih hina daripada haiwan. Dia haiwan
yang bertopengkan manusia. Dia beraja di mata dan bersultan di hati. Nafsu amarah
ini tempatnya ialah Neraka.
Nafsu amarah ini mesti ditingkatkan kepada peringkat yang lebih tinggi. Jalannya
ialah berjihad dan berperang dengannya. Memang nafsu ini sifatnya tidak boleh
dimanja-manja atau dipujuk-pujuk. Dia mesti dikekang. Dia mesti ditekan. Dia
mesti disakiti. Dia mesti diseksa. Kehendaknya mesti dilawan, tidak boleh dilayan.
Mana tidak. Asalnya nafsu ini, dengan Tuhan pun dia sombong. Di alam roh, bila
Allah tanya nafsu, siapa engkau dan siapa Aku, nafsu menjawab, Engkau, engkau,
aku-aku. Allah humbankan nafsu ke dalam Neraka selama seribu tahun. Itu pun
saki baki sombong dan angkuh itu masih ada.
Bermujahadah dan berperang dengan hawa nafsu ini hakikatnya ialah berperang
dengan diri sendiri. Ia sungguh sakit, perit dan menyeksakan. Ia sungguh rumit
dan mencabar. Ramai orang boleh jadi hero dan wira dalam perang dan pertempuran
senjata tetapi tidak ramai yang sanggup lebih-lebih lagi yang berjaya berperang
melawan nafsu amarahnya sendiri. Itu sebab Rasulullah SAW mengatakan bahawa
perang melawan hawa nafsu ini lebih besar dari perang bersenjata. Orang yang
boleh menundukkan hawa nafsunya ialah wira yang sejati. Dia selamat di dunia
dan selamat di Akhirat.
Nafsu amarah perlu ditingkatkan kepada nafsu lawwamah. Nafsu lawwamah ini baik
sedikit. Kalau dia buat dosa, dia rasa malu dan bersalah. Dia rasa tak patut.
Rasa-rasa ini boleh mendorongnya untuk bertaubat. Dari peringkat lawwamah, nafsu
perlu ditingkatkan lagi ke peringkat mulhimah. Nafsu mulhimah ini, kalau dia
terbuat dosa, dia sangat menyesal. Malahan dia akan hilang kebahagiaan. Dia
akan benci dirinya sendiri kerana maksiat tersebut dan akan cepat-cepat bertaubat.
Ini peringkat nafsu yang agak sudah selamat.
Seterusnya nafsu itu boleh ditingkatkan lagi ke peringkat mutmainnah iaitu nafsu
yang tenang. Seterusnya ke peringkat radhiah, mardhiah dan kamilah. Nafsu peringkat
atas ini tidak lagi akan mendorong ke arah kejahatan seperti nafsu amarah malahan
akan mendorong ke arah kebaikan. Ia akan mendorong kepada kebajikan, ibadah,
mencari ilmu, berjuang, berkorban dan sebagainya.
Nafsu itu adalah sebahagian daripada keinsanan. Ia tidak boleh dibuang atau
dibunuh. Kalau nafsu dibunuh maka rosaklah keinsanan dan manusia akan mati.
Kalau dibiarkan pula, nafsu akan tawan hati dan akan bermaharajalela. Rosak
juga akhirnya. Bukan kita sahaja akan rosak, orang lain dan seisi dunia ini
juga akan turut rosak. Kita mesti sentiasa bermujahadah dan berperang melawan
hawa nafsu. Hukumnya wajib.
Perang yang kedua ialah perang melawan syaitan. Nafsu yang tidak terdidik dan
tidak terkawal akan rakus mengejar dan merebut dunia kerana dunia ialah gelanggang
bagi nafsu. Kejar mengejar, rebut merebut, rampas merampas dan tindas menindas
ini akan menyebabkan timbulnya berbagai-bagai penyakit rohani yang akan melekat
di hati seperti tamak, haloba, cinta dunia, gila puji, gila nama, hasad dengki,
pemarah, pendendam, iri hati, cemburu, bakhil, kedekut, angkuh, sombong dan
bermacam-macam lagi.
Sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji ini ialah pintu-pintu bagi
syaitan untuk menggoda dan menipu kita. Lagi banyak sifat mazmumah yang melekat
di hati, lagi mudah dan lagi banyaklah pintu bagi syaitan untuk menipu kita
supaya kita jauh dari jalan kebenaran. Justeru itu, untuk melawan tipuan syaitan,
kita harus tutup segala pintu-pintu ini dengan memperbaiki diri dan mengembalikan
hati kita kepada keadaan fitrah semula jadinya yang suci murni dan penuh dengan
segala sifat-sifat mahmudah. Kaedah tahalli dan takhalli perlu kita applykan.
Tahalli ialah
mengosongkan dan membersihkan hati dari segala sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat
yang keji. Ini boleh dibuat dengan
cara mencari-cari pasal. Kalau kita rasa diri kita bakhil contohnya, maka hendaklah
kita pejamkan mata dan paksa diri kita bersedekah. Pada mulanya, ia memang terasa
sakit tetapi lama kelamaan ia akan jadi mudah. Ketika itu akan kuranglah sifat
bakhil kita itu. Kalau kita rasa kita ini penakut contohnya, paksa diri berjalan
seorang diri pada waktu malam di tempat-tempat yang sunyi. Ataupun kita paksa
diri kita tidur seorang diri di kawasan kubur. Ini, kalau dibuat selalu akan
dapat mengurangkan sifat takut. Begitulah seterusnya dengan sifat-sifat mazmumah
kita yang lain.
Cara kedua ialah dengan meningkatkan rasa-rasa
kehambaan dalam hati kita. Ini termasuklah rasa berdosa, rasa bersalah, rasa
hina di sisi Tuhan, rasa kita ini dhoif, lemah, rasa bergantung harap dengan
Tuhan, rasa tidak berdaya, tidak upaya dan sebagainya. Dengan rasa-rasa kehambaan
yang kuat mencengkam hati ini, maka sifat-sifat mazmumah akan gugur dari hati
kita dengan sendirinya. Sifat angkuh dan sombong contohnya tidak akan dapat
melekat pada hati yang sentiasa merasa bersalah, berdosa dan hina dina di sisi
Tuhannya. Rasa-rasa kehambaan yang kuat itu akan memusnah dan membakar sifat-sifat
mazmumah yang bersarang di hati kita.
Takhalli pula ialah
mengisikan hati dengan segala sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang terpuji.
Selepas kita buang dan ungkai sifat-sifat
mazmumah dari hati kita melalui proses tahalli maka perlu kita isi pula hati
kita itu dengan sifat-sifat mahmudah yang berlawanan. Kalau kita sudah buang
sifat bakhil contohnya, maka perlu kita gantikan tempatnya dengan sifat pemurah.
Sifat pemarah dengan sifat pemaaf. Sifat sombong dengan sifat tawadhuk dan rendah
diri. Sifat tamak dengan sifat qanaah. Cinta dunia dengan cinta Akhirat dan
seterusnya.
Ini boleh dibuat dengan meningkatkan rasa
bertuhan di hati kita seperti rasa Allah itu Maha Agung, Maha Perkasa, Maha
Hebat, Maha Gagah, Maha Pemurah, Maha Pemaaf dan sebagainya. Rasa-rasa bertuhan
yang kuat mencengkam hati ini dapat menyuburkan sifat-sifat mahmudah
.
Rasa bertuhan dan rasa kehambaan boleh ditajamkan dengan berzikir. Zikir yang
paling agung ialah solat iaitu solat yang dapat difahami, dihayati dan dijiwai
(khusyuk).
Kita mesti sentiasa ikhlas. Kita perlu berdoa selalu agar Allah khaliskan
hati kita. Ikhlas itu ialah benteng yang kuat lagi ampuh bagi menangkis tipu
daya syaitan. Ketika iblis dilaknat kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Allah
Adam, dia telah meminta untuk menyesatkan anak cucu Adam. Allah memberi izin
tetapi Allah tambah dengan firman-Nya:
Tetapi kamu tidak akan dapat menyesatkan hamba-hamba-Ku yang ikhlas.
Syaitan dan iblis tidak ada daya upaya untuk menipu hamba-hamba Allah yang ikhlas.
Ini jaminan Tuhan. Tipu daya syaitan itu hanya akan berkesan pada hati-hati
yang tidak ikhlas atau yang ada kepentingan lain selain dari Allah.
Namun, ikhlas itu ialah
satu rahsia dari rahsia-rahsia Tuhan yang dicampakkan ke dalam hati manusia
yang disukai-Nya . Kita sebagai manusia tidak tahu apa sebenarnya hakikat
ikhlas itu ataupun sama ada kita ini ikhlas atau tidak. Kalau kita rasa di hati
bahawa kita ikhlas, besar kemungkinan kita tidak ikhlas. Lebih-lebih lagi kalau
kita sebut kita ikhlas, nyata bahawa keikhlasan tidak ada pada diri kita.
Justeru itu, ada baiknya kita khususkan segala ibadah kita, hidup kita dan mati
kita hanya untuk Allah. Bukan kerana hendakkan balasan syurga-Nya. Bukan kerana
takutkan seksa neraka-Nya. Bukan kerana hendak mengumpul fadhilat dan pahala.
Tetapi untuk mendapatkan Allah, untuk mendapatkan kasih sayang-Nya, rahmat-Nya
dan keampunan-Nya.
Satu lagi jalan untuk mengelak dari tipu daya
syaitan ialah dengan berguru terutamanya
guru yang mursyid. Syaitan itu ibarat serigala. Kita ibarat kambing.
Guru mursyid umpama pengembala. Tidak mudah bagi serigala untuk membaham kambing
yang ada pengembalanya. Dengan adanya guru, kita sentiasa dipimpin, dididik,
dipantau, diawasi dan salah silap kita ditegur dan diperbaiki. Tambahan pada
itu, guru yang mursyid bukan sahaja mampu untuk mengawasi hal-hal lahiriah kita
tetapi juga hal-hal batiniah dan rohaniah dan hal-hal hati kita yang bersifat
seni dan maknawi.
Begitulah secebis tentang perang melawan syaitan. Ia bukanlah satu peperangan
yang mudah.
Allah berfirman :" bahawa sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kita yang amat nyata. "
Wajib bagi kita berperang dengannya kerana dia memang sentiasa hendak merosakkan
kita hingga kita terjerumus ke dalam Neraka bersama-samanya. Banyak kisah yang
boleh kita baca mengenai godaan dan tipu daya syaitan ini untuk digunakan sebagai
iktibar. Di antaranya ialah kisah Bathisah yang sangat terkenal lagi masyhur.
Akhir sekali ialah peperangan melawan orang
kafir . Orang kafir ini berbagai kategori. Bukan semua orang kafir boleh
diperangi. Ada kafir harbi, ada kafir zimmi, ada kafir mustakman dan ada kafir
muahad. Kafir harbi memang musuh yang sentiasa mahu memusnahkan kita. Kita diizinkan
berperang dengan mereka. Kafir zimmi sanggup taat di bawah pentadbiran Islam.
Mereka ini wajib dilindungi dan hak-hak mereka dijaga dan dipenuhi. Kafir mustakman
ialah kafir yang hidup aman damai dengan orang Islam. Kafir muahad pula kawan
pun tidak, musuh pun tidak dan mereka tidak mengganggu umat Islam. Kedua-dua
jenis kafir mustakman dan muahad ini juga tidak boleh diperangi.
Bentuk peperangan dengan orang kafir juga berbagai-bagai. Ada perang ekonomi.
Ada perang pendidikan. Ada perang politik, perang sosial, perang kebudayaan
dan ada perang bersenjata. Perkara ini ramai umat Islam tidak sedar dan tidak
memahami. Bagi mereka, perang dengan orang kafir hanya terhad kepada perang
bersenjata sahaja.
Oleh itu, apabila orang kafir isytihar perang terhadap kita dalam bidang ekonomi,
kita tidak sedar dan kita tidak pun melawan. Awal-awal lagi kita surrender dan
kita ambil sistem ekonomi kapitalis yang mereka lagangkan dengan ribanya, monopolinya,
penindasannya dan matlamatnya yang hanya mementingkan keuntungan yang besar
tanpa memikirkan soal halal dan haram dan kepentingan masyarakat.
Bila orang kafir memerangi kita dalam bidang pendidikan, kita tidak pun melawan.
Kita terus terima bulat-bulat sistem pendidikan mereka yang bersifat sekular,
keduniaan dan kebendaan dan kita tinggalkan sistem pendidikan Islam yang boleh
membawa kita kepada Tuhan dan yang boleh membina insan kita. Akhirnya jadilah
anak-anak kita pemburu-pemburu dunia yang rosak iman, rosak akhlak dan rosak
moral mereka.
Begitu jugalah halnya dengan peperangan dalam bidang politik. Orang kafir lagang
demokrasi, kita pun terima demokrasi. Hasilnya sampai sekarang kita tidak habis-habis
bergaduh, berbalah dan berpecah belah sesama sendiri disebabkan demokrasi ini
kerana dalam demokrasi itu ada unsur pertandingan untuk merebut kuasa.
Perang sosial dan kebudayaan pun sama. Kita sudah lama kalah. Kita sudah lama
surrender. Tak melawan pun. Belum perang sudah kalah. Sistem sosial kita sudah
ala Barat. Kebudayaan terutama di kalangan muda-mudi pula sudah lebih Barat
dari Barat. Dengan punknya, skin headnya, rapnya, pop, rock, metal dan bermacam-macam
lagi aliran muzik yang liar, ganas dan tidak bermoral. Masyarakat penuh dengan
pergaulan bebas, acara-acara sukan dan berbagai lagi kegiatan sosial dan kebudayaan
yang merosak dan melalaikan.
Begitulah ringkasnya hakikat perang. Kita tidak boleh lari dari peperangan terutama
perang melawan hawa nafsu dan syaitan. Perang ini perang yang berpanjangan dan
berterusan. Kalau kita kalah, kita akan terseksa dunia dan Akhirat. Dengan kafir
harbi pula, perang bersenjata sudah tentulah perlu kita hadapi. Tetapi jangan
pula kita lalai dengan peperangan di bidang-bidang dan sudut-sudut yang lain.
Kalau kita amati betul-betul perang senjata itu ialah untuk memaksa kita mengikut
telunjuk dan cara hidup mereka. Mungkin kita tidak berperang dengan orang kafir
di waktu ini kerana sudah tidak perlu lagi. Mungkin kita sudah pun lama kalah
dengan orang kafir kerana telah pun mengikut telunjuk dan mengamalkan cara hidup
mereka. Kita sudah kalah sebelum berperang. Malahan kita tidak sedar pun bahawa
kita telah diperang
Sekian.
Artikel ini adalah bagian dari buku Pancaran Minda yang berisi pemikiran dan ilham dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi |
- 2618 reads
Post new comment