03: Akibat Terlampau Menuntut Hak
Manusia mempunyai berbagai-bagai hak. Hak-hak yang asas termasuklah hak ke atas agamanya, diri dan jiwanya, akalnya, keluarga dan keturunannya, kehormatannya dan hartanya. Di samping itu manusia juga mempunyai hak ke atas manusia yang lain. Namun begitu, disebabkan oleh hati yang tidak terdidik dengan didikan Islam dan juga disebabkan kurang faham tentang konsep hak ini sepertimana yang dikehendaki oleh Islam, maka manusia telah banyak tersilap dan menyimpang dari jalan yang sebenar. Keadaan bertambah buruk apabila kefahaman tentang pemberian dan tuntutan hak yang diamalkan oleh masyarakat sekular dan yang terdapat di dalam adat resam bangsa terbawa-bawa ke dalam kehidupan masyarakat Islam.
Hak itu telah dianggap sebagai mutlak. Kalau tidak diberi, ia dianggap satu
penganiayaan yang besar. Satu kezaliman kubro. Ia boleh dijadikan kes mahkamah.
Boleh pula saman-menyaman. Kalau menang kes, boleh tuntut ganti rugi sampai
jutaan ringgit. Ganti rugi yang dituntut itu pula tidak ada kena-mengena dengan
hak asal yang dituntut. Macam-macam jenis ganti rugi dituntut. Ganti rugi malulah.
Ganti rugi koslah. Ganti rugi tekanan jiwa dan hilang ketenteraman dan berbagai
lagi bentuk ganti rugi yang direka-reka. Akhirnya usaha untuk
menuntut keadilan bertukar menjadi satu kezaliman. Para peguamlah yang mengaut
untung di atas putar belit ini.
Lahirlah dalam masyarakat sindrom saman-menyaman. Manusia sudah jadi macam tebuan. Silap sedikit, menyengat. Silap sedikit, saman! Hilang sifat redha-meredhai, maaf-bermaafan dan halal-menghalalkan. Ukhwah pecah dan kasih sayang hancur. Di dalam Islam, walaupun seseorang itu mempunyai hak ke atas orang lain, hak ini berlandaskan kepada kemampuan. Tidak wajib atas seseorang untuk melaksanakan hak orang lain ke atas dirinya dalam keadaan dia tidak mampu. Allah pun melepaskannya dari tanggungjawab tersebut dan dia tidak jatuh berdosa kalau tidak mampu melaksanakannya.
Di dalam keadaan begitu, digalakkan pula di dalam Islam agar umatnya redha-meredhai, bertolak ansur, halal-menghalalkan dan maaf-memaafkan. Ganjarannya tetap ada di sisi Tuhan. Dengan ini maka tidaklah wujud tekan-menekan, desak-mendesak dan tuntut-menuntut yang sangat merosakkan hubungan dan kasih sayang sesama Islam.
Pernah berlaku di dalam sejarah, sepasang suami isteri yang telah lama bernikah. Si suami masih belum dapat menjelaskan mas kahwin yang dia terhutang kepada isterinya kerana terlalu miskin. Setelah lama tinggal bersama dan setelah mendapat beberapa orang anak, si isteri yang tidak sabar sering menuntut mas kahwinnya dari si suami. Malangnya, si suami yang miskin itu tidak dapat juga menjelaskan hutang mas kahwinnya itu. Suatu hari si isteri hilang sabar dan mengadu kepada Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW melihat memang nyata suaminya terlalu miskin dan tidak mampu
membayarnya. Lalu Baginda mencadangkan adalah lebih baik si isteri menghalalkan
sahaja
mas kahwin tersebut. Si isteri tetap berkeras, dia tidak bersetuju dan tidak
rela. Dia masih berkeras menuntut haknya dan mahukan mas kahwin itu dari suaminya.
Memandangkan hal itu, Rasulullah sendiri membayarkan mas kahwin tersebut bagi
pihak suaminya. Tetapi sambil Rasulullah SAW membayar mas kahwin itu, baginda
bersabda, Moga-moga tidak ada berkatnya mas kahwin ini. Rupa-rupanya
Allah SWT mendengar sabda Rasulullah itu. Kata-kata kekasih Tuhan, kata-kata
seorang Sohibul Azman. Akibat membangkang nasihat Rasulullah, akhirnya isteri
itu mati di dalam keadaan kufur tidak beriman.
- 1829 reads
Post new comment