02173 9. Umat Islam Menjadi Kaya Hati
A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan membuatkan hati umat Muhammad SAW berasa sangat kaya.”
B. Dari Jabir Ra, katanya Rasulullah SAW bersabda,
“Akan ada pada akhir (zaman nanti) seorang khalifah yang akan membahagi-bahagikan harta tanpa menghitungnya.” (Muslim)
Nyatalah bahawa Imam Mahdi itu adalah orang yang diutuskan oleh
Allah SWT untuk membawa keadilan kepada seluruh manusia dan
mengembalikan berkat kepada bumi ini dan para penghuninya. Kerana
keberkatan itulah juga manusi akan menjadi manusia yang kaya hati
mereka daripada mahu membolot harta dunia sebanyak-banyaknya.
Mereka akan menjadi umat yang bersatu hati, tidak mahu lagi
bergaduh-gaduh seperti dahulu, tidak mahu lagi berebut-rebut
sesuatu apa pun, tidak mahu lagi memutuskan persaudaraan kerana hal
yang kecil-kecil, tidak lagi mahu menjadi umat yang berpecah-belah
kerana mempertikaikan masalah yang halus-halus dan seterusnya.
Memang manusia yang hidup pada masa itu kaya-kaya belaka,
terutamanya selepas kematian Dajjal yang dibunuh oleh Nabi Isa AS.
Tidak ada lagi apa-apa pun yang lebih mereka inginkan daripada
sujud kepada Allah SWT sehinggakan nilai sujud pada masa itu adalah
lebih berharga kepada mereka daripada bumi ini dan sekalian isinya.
Begitu hebatnya iman mereka pada masa itu jika hendak dibandingkan
dengan iman kita pada hari ini, yang nyata amat jauh ketinggalan ke
belakang.
Kita pada hari ini, tengah-tengah sujud pun masih lagi ingatkan
harta benda dunia dan masih sibuk lagi memikirkan cara-cara untuk
mendapatkannya. Paling baik pun di kalangan kita ialah yang meminta
diberikan harta atau ditambahkan lagi harta yang telah sedia ada
padanya. Itu yang paling baik di kalangan kita pada hari ini, dari
kalangan orang-orang awamnya. Yang terlalu sibuk mengumpulkan harta
dunia sehingga tidak sempat sembahyang pun amatlah ramai jumlahnya.
Malah yang lebih teruk lagi ialah yang terlalu asyik mengumpulkan
harta sehingga tidak ingat lagi bagaimana caranya untuk
bersembahyang. Yang tidak pernah sembahyang pun ada, kerana terlalu lekat hatinya pada harta dunia yang dikejar-kejarnya
itu. Harta dunia itu pula sifatnya, semakin dikejar semakin jauh
melarikan diri daripada orang yang mengejarnya. Semakin dikejar,
semakin jauh larinya.
Imam Mahdi pula bersifat tidak pernah mengejar dunia. Dan harta
dunia ini sifatnya, apabila tidak dikejar oleh seseorang, maka
harta dunia itu pula yang menyerahkan dirinya kepada orang itu.
Semakin tinggi takwa orang itu kepada Allah, semakin banyak harta
dunia itu menyerahkan diri kepadanya, terutama kepada orang yang
bertaraf pemimpin. Sebab itulah Imam Mahdi itu tidak perlu berusaha
susah payah mendapatkan harta dengan segala macam cara yang
dilakukan seperti amalan mana-mana kerajaan pada hari ini. Segala
macam cukai dan sumber dicari dan digali supaya dapat harta, namun
tidak juga banak-banyak harta yang didapatnya itu. Imam Mahdi tidak
mengenakan sebarang cukai kepada manusia, hanya beberapa cukai
tertentu sahaja yang masih dikekalkan, iaitu cukai-cukai yang
berbentuk syarak, bukan cukai yang bersiat keduniaan.
Selain cukai-cukai syarak yang telah diwajibkan oleh sunnah, semua
bentuk cukai dan bayaran akan dihapuskan sama sekali sehingga
manusia menjadi bebas daripada segala macam pembayaran yang mesti
dijelaskan seperti sebelumnya. Imam Mahdi adalah lebih kaya
daripada segala yang ada itu sehingga beliau tidak memerlukan lagi
sebarang bentuk cukai dan pembayaran. Dan, oleh kerana pemimpinnya
sendiri begitu zuhud dengan harta yang ada, maka rakyat pun akan
turut sama zuhud, seperti zuhudnya pemimpin mereka. Mereka bukan
tidak membuat kemajuan, malah mereka jauh lebih maju daripada yang
mampu dicapai oleh tamadun Barat pada hari ini. Hanya mereka adalah
golongan yang zuhud dalam erti kata yang sebenarnya, tepat seperti
yang dituntut oleh syarak.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 3283 reads
Post new comment