02147 12. Imam Mahdi Adalah Imam Yang Sempurna
A. Kata Sayidina Ali KMW, Nabi SAW bersabda,
“Al-Mahdi yang dinanti-nantikan itu adalah dari kaum keluargaku. Allah akan menyempurnakannya dalam satu malam sahaja.” (Ibnu Majah)
Hadis ini diterima oleh semua pihak tetapi dengan tafsiran yang
agak selari, dan tepat menurut matan yang tersurat. Tidak lebih dan
tidak kurang. Hal ini benar dari satu segi tetapi jika dinilai dari
segi logik akal dan keadaan yang sebenar, keadaannya tidaklah
demikian. Bukanlah maknanya penulis mahu melawan sabda Nabi SAW itu
dengan cuba menyebutkan sesuatu yang berlawanan daripada maksud
yang sedia difahami. Bukan juga bermaksud penulis melebihkan akal
dalam soal ini sehingga kelihatan mengetepikan begitu sahaja matan
hadis yang mulia ini.
Antara yang lazim dimaksudkan oleh kita berdasarkan hadis ini ialah
beliau akan dilengkapkan segala-galanya sebagai Imam Mahdi hanya
dalam masa satu malam, dan pada pagi besoknya beliau akan dilantik
sebagai Imam Mahdi oleh orang ramai. Maknanya, sebelum itu, beliau
hanyalah seorang awam yang tidak dikenali oleh orang ramai, atau
jika dikenali pun, hanyalah sebagai orang biasa sahaja. Makna yang
sebeginilah yang sebenarnya perlu diperbetulkan supaya tidak
berlarutan lagi membelenggu pemahaman kita.
Maksud satu malam sahaja dalam hadis ini ialah melengkapkan segala
hal yang berkaitan dengan persediaan rohani sebagai seorang yang
paling bertakwa kepada Allah, bukan sebagai seorang pemimpin. Yang
paling penting bagi seseorang itu ialah iman yang cukup tinggi dan
mantap. Hal ini tidak boleh berlaku dalam satu malam sahaja, iaitu
bagi seorang yang bakal menjadi pemimpin terbesar umat ini. Jika
hal seperti ini dikaitkan dengan seorang wali Allah yang bertaraf
biasa, atau berwatak nabi, bukan berwatak rasul, maka hal ini
dibolehkan sahaja.
Tetapi ini tida boleh berlaku kepada Imam Mahdi kerana beliau
adalah seorang pemimpin yang amat dikasihi oleh sekalian umat
Islam, beliau amat adil dan membawa keberkatan yang tidak
terhinggakan. Maka proses mendidiknya menjadi seorang Imam yang
sempurna perlu bermula sejak awal lagi, seawal beliau masih kecil
dan belum mengerti apa-apa. Walaupun disebutkan hanya satu malam
sahaja, yang dikehendaki dengan maksud itu ialah proses
menjadikannya sebagai ketua bagi sekalian wali yang paling
bertakwa. Ini dikeranakan semua wali adalah orang yang telah
mencapai taraf takwa yang sebenar. Maknanya, Imam Mahdi adalah
orang yang paling bertakwa di antara sekalian wali yang amat
bertakwa. Pada tahap ini, menjadikannya sebagai Imam yang sempurna
belum bermula lagi.
Makna lain bagi perkataan Imam yang sempurna ialah Imam Mahdi itu
adalah seorang Imam yang bersih, tidak mempunyai sebarang dosa
sejak kecil lagi hinggalah ke saat beliau dilantik ke jawatan Imam
Mahdi itu. Imam Mahdi sangat adil dalam pemerintahannya dan
keadilan pemerintahannya itu dikatakan sebagai amat sempurna kerana
seorang pemerintah yang tidak adil, dikatakan sebagai imam yang
tidak sempurna. Imam Mahdi juga adalah seorang imam yang terakhir
bagi umat ini dari kalangan umat ini, dan dengan berakhirnya
pemerintahan beliau, maka sempurnalah agama Islam ini bagi umat ini
dan dengan itu, Imam Mahdi dikatakan sebagai penyempurna bagi
segala Imam. Jika ada pemerintah selepasnya pun, tidaklah lagi
seperti beliau, biarpun hampir sama. Kerana itu, disebutlah Imam
Mahdi itu sebagai Imam yang sempurna.
Maksud lain bagi ayat satu malam sahaja dalam hadis itu
adalah menurut ukuran malam bagi alam wali-wali. Ini dikeranakan
alam wali-wali itu mempunyai ukuran masanya yang tersendiri. Siang
dan malam di alam wali-wali ini adalah jauh lebih panjang daripada
siang dan malam bagi alam kita yang kita alami ini. Alam wali-wali
mempunyai cuacanya sendiri, pentadbirannya sendiri,
tanam-tanamannya sendiri, wilayahnya sendiri. Alamnya memang ada di
atas dunia ini tetapi tidak terpengaruh oleh suasana dan segala
yang berlaku di dunia kita ini. Alam mereka ini adalah alam yang
asing bagi kita orang ramai, suatu alam yang hanya dapat dicapai
oleh orang-orang yang telah suci hatinya, suci pemikirannya, suci
niatnya, suci ikhlasnya, suci akidahnya dan sangat-sangat hampir
hatinya dengan Allah SWT pada setiap masa dan ketika.
Perlu diketahui pula bahawa tidak semua wali dapat memasuki alam
wali ini. Ada wali yang tidak pernah tahu dan tidak pernah pula
memasuki alam wali ini. Hanya wali-wali yang tertentu sahaja yang
dibolehkan berada di sana dan berapa lama mereka dibenarkan berada
di sana. Secara kebiasaannya, sehari di alam wali-wali bersamaan
dengan seminggu di alam kita ini. Cara mencapainya juga
berbeza-beza. Ada wali yang terpaksa berjalan jauh sebelum sampai
ke alam ini dan ada pula wali yang dengan mudah dapat memasuki alam
ini iaitu dengan hanya berjalan selangkah sahaja. Ada yang
dibenarkan memasukinya sekali seumur hidup, ada pula yang
dibenarkan berada di sana banyak kali dan ada pula yang duduk diam
di sana dalam tempoh yang sangat lama, iaitu selama mana dibenar
dan dikehendaki oleh Allah SWT.
Sehubungan itu, Imam Mahdi tidaklah disempurnakan dalam masa
semalam menurut ukuran malam kita yang biasa kita fahami ini,
melainkan semalam menurut ukuran alam wali-wali, iaitu kira-kira
seminggu. Seminggu menurut ukuran kita ini juga tidaklah sama
kerana semalaman bagi alam wali ini mampu dihidupkan seolah-olah
kita beribadat selama setahun penuh, atau bekerja setahun penuh.
Begitulah secara ringkas sahaja disebutkan di sini apa yang patut
diketahui oleh kita dengan maksud satu malam sahaja itu.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 3648 reads
Post new comment