02119 22. Bani Hasyim Bercerai-berai ke Serata Pelosok Dunia
A. Kata tabiin RH,
“As-Sufyani mengirimkan askarnya ke Madinah dan menyuruh agar membunuh setiap keturunan Bani Hasyim (yang dapat dijumpai), kemudian mereka menyerangnya. Bani Hasyim akhirnya bercerai-berai di (merata-rata) padang pasir dan di gunung-gunung. Apabila al-Mahdi muncul, mereka ini akan dikumpulkan semula.”
Para tabiin RH telah mengisyaratkan bahawa akan berlaku
suatu peristiwa besar dalam sejarah umat Islam pada akhir zaman
iaitu golongan Ahlulbait, terutamanya dari kalangan Bani Hasyim
akan ditindas, dizalimi, dianiaya dan dihalau keluar dari Tanah
Arab. Membunuh yang dimaksudkan ialah menyeksa dan menyakiti mereka
sehingga mereka terpaksa menyelamatkan diri ke tempat lain yang
jauh dari tanah air asal mereka. Segala tanda Islam yang dibuat
pada awal Islam dahulu akan dimusnah dan diratakan dengan tanah,
bagaikan tidak ada nilai dan kegunaan. Menyerang yang dimaksudkan
adalah mereka akan dijatuhkan dari kedudukan yang tinggi dan mulia
pada pandangan umum umat Islam lalu menjadi bangsa yang dipandang
rendah atau tidak lagi dihormati seperti yang sepatutnya mereka
terima, sama seperti pada awal sejarah Islam dahulu. Mereka juga
tidak diberikan sebarang jawatan yang penting dalam masyarakat
sehingga jadilah mereka ini tidak lebih daripada orang biasa yang
lain, yang tidak dipedulikan orang lagi.
Bani Hasyim ini akan terpecah-pecah membawa diri dan keluarga
meninggalkan tanah air mereka, kuasa mereka, harta mereka dan hak
mereka. Ada yang lari ke sekitar Tanah Arab juga dan mereka ini
digambarkan sebagai lari ke padang pasir. Ada pula yang lari ke
kawasan lain di dunia ini, memulakan kehidupan baru di tempat
orang, yang jauh dari Tanah Arab, dan mereka ini digambarkan
sebagai orang yang lari ke gunung-gunung. Maka jadilah mereka ini
sebagai orang biasa sahaja, terpaksa berusaha sendiri, membina
kehidupan sendiri, dan menjalankan syariat Islam secara
sendiri-sendiri tanpa mendapat pembelaan dan penghormatan yang
sepatutnya daripada umat Islam yang lain.
Disebutkan lagi bahawa apabila Imam Mahdi muncul kelak, seluruh
Bani Hasyim atau Ahlulbait ini akan dapat dikumpulkan semula
seperti sebelumnya. Pada ketika itu, mereka ini akan kembali semula
kepada sunnah yang benar, mendapat semula hak mereka di kalangan
masyarakat, dan mendapat pembelaan yang sewajarnya serta dihormati
semula oleh seluruh umat Islam. Perkara ini insya-Allah akan
benar-benar berlaku iaitu setelah Imam Mahdi muncul kerana telah
disebutkan demikian oleh para tabiin RH. Lagi pun sebahagian
daripada asar ini telah berlaku, maka yang sebahagian lagi itu
pasti akan berlaku juga. Mustahil dalam sebuah asar, sebahagian
sahaja yang berlaku manakala yang sebahagian lagi tidak
berlaku.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 2904 reads
Post new comment