02084 25. As-Sufyani dan Kufah
A. Sabda Nabi SAW,
“Apabila As-Sufyani tiba di Kufah, dia lalu membunuh pengikut-pengikut keluarga Nabi Muhammad SAW, maka Al-Mahdi akan datang dan pembawa Panji-panjinya adalah Syuaib bin Saleh.”
As-Sufyani yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah dari
kalangan pengikut Wahabi dan pemerintah yang menggunakan sistem
ala-Wahabi dalam pemerintahan mereka. Mereka ini pernah pada suatu
masa dahulu membunuh, memburu dan menghalau kalangan Ahlulbait yang
masih berada di Hijaz. Akibatnya, sehingga kini, hampir tiada lagi
keturunan Ahlulbait di kawasan sekitar Hijaz. Semuanya sudah habis
terbunuh atau sekurang-kurangnya pun lari menyelamatkan diri dari
Hijaz. Jika ada yang tinggal pun di sana pada masa ini, adalah dari
kalangan Ahlulbait yang sanggup mengikut telunjuk puak Wahabi
itu.
Di kalangan mereka itu, pada hari ini, ada yang benar-benar
menjadi sebahagian daripada puak musuh yang pernah cuba
menghapuskan golongan mereka suatu masa dahulu. Mereka ini bukan
sahaja sudah lupa apa yang pernah musuh mereka itu lakukan dahulu,
malah mereka sanggup menjadi sebahagian daripada musuh itu untuk
membantai umat Islam yang lain yang tidak sehaluan lagi
dengan mereka. Ada pula yang terpaksa berbuat demikian demi mahu
menyelamatkan diri dan keluarga daripada dihapuskan oleh puak musuh
itu. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa sekalian Ahlulbait itu dan
merahmati mereka.
Perkara ini sudahpun benar-benar berlaku. Apabila hal ini
benar-benar berlaku, maka hadis ini menjadi sahih dengan
sendirinya. Tidak perlu lagi diselidik benar atau tidaknya hadis
ini, siqah atau tidak rawinya, terang atau tidak sanadnya, apa
hukum yang dijatuhkan oleh ulama hadis dahulu terhadap hadis ini
dan sebagainya lagi seperti yang termaktub di dalam disiplin ilmu
mustalah hadis. Hadis ini sudah menjadi sahih dan muktamad apabila
benar-benar berlaku apa yang dikatakan. Inilah kaedah yang
digunakan oleh para sahabat RA pada zaman Rasulullah SAW dan zaman
Khulafa ur-Rasyidin dahulu. Dan kaedah itu jugalah yang akan diguna
pakai oleh umat Islam pada akhir zaman ini. Maka kitalah yang harus
memulakan penggunaan kaedah yang pernah digunakan oleh para sahabat
RA itu.
Dalam keadaan demikianlah, Imam Mahdi akan datang iaitu datang ke
Makkah untuk tampil menjadi khalifah atau pemerintah manusia.
Sebelum mendapat kuasa pemerintahan itu, terlebih dahulu akan
dimunculkan Pemuda Bani Tamim. Beliaulah pembawa Panji-panji Hitam
yang masyhur itu dan menyerahkannya kepada Imam Mahdi. Kedua-dua
mereka ini mestilah muncul menurut urutan, iaitu Pemuda Bani Tamim
akan muncul dahulu, kemudian barulah diikuti oleh kemunculan Imam
Mahdi. Tidak boleh berlaku Imam Mahdi muncul dahulu daripada Pemuda
Bani Tamim atau kemunculan Imam Mahdi itu berseorangan sahaja,
tanpa ada Pemuda Bani Tamimnya. Ini dikeranakan kemunculan
kedua-dua mereka sudah dinyatakan oleh hadis-hadis secara yang amat
nyata.
Begitu juga Pemuda Bani Tamim tidak boleh muncul seorang diri
sahaja tanpa diikuti oleh kemunculan Imam Mahdi. Maknanya, tidak
lama selepas kemunculan Pemuda Bani Tamim yang mendapat kuasa di
Timur itu, Imam Mahdi akan segera muncul pula. Setelah kedua-dua
tokoh besar ini muncul, maka sahihlah kedua-duanya benar dan wajib
diikuti oleh sekalian umat Islam, walau di mana sahaja mereka
berada. Yang dikatakan Imam Mahdi palsu ialah munculnya tanpa
didahului oleh Pemuda Bani Tamim, atau Pemuda Bani Tamim itu
langsung tidak tersenarai di dalam nama-nama pemimpin kanannya.
Hal-hal lain yang berkaitan sudah pun dinyatakan dalam
bahagian-bahagian terdahulu. Rasa-rasanya tidak perlulah
diulang-ulang sebutannya dalam bahagian ini.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 2875 reads
Post new comment