02083 24. As-Sufyani Dikalahkan Oleh Tentera at-Tamimi
A. Dari Ibnu Mas’ud RA, sabda Nabi SAW,
“Kemudian Urwah bin Muhammad as-Sufyani menghantar sepasukan tentera berkudanya ke Kufah seramai 15,000 orang, kemudian mengutus pasukan tentera yang lain seramai 15,000 orang juga, yang berkenderaan, menuju ke Makkah dan Madinah untuk memerangi al-Mahdi dan para pengikutnya. Maka pasukan tentera yang pertama tadi sampai ke Kufah, berjaya menawan kota itu, lalu memusnahkan apa sahaja, daripada kaum perempuan dan kanak-kanaknya, di samping membunuh setiap lelaki, merampas segala harta-benda yang ada lalu pulang semula (kepada as-Sufyani). Maka (pada ketika itu juga) datanglah suatu kaum yang gagah berani (sihat)dari arah Timur, yang mana mereka itu mengikut Amir min Umarak dari (keturunan) Bani Tamim yang dikatakan dia itu (adalah) Syuaib bin Saleh. Maka dia datang menyelamatkan setiap yang ada daripada tawanan mereka (wanita dan kanak-kanak tadi) lalu (segera) bertolak pula ke Kufah. Pasukan tentera yang kedua pula, sampai ke kota Madinah Rasul SAW, lalu memerangi dan memusnahkannya selama tiga hari, maka datang kepada (hati) mereka pertolongan daripada memusnahkan terus seluruh penduduk dan anak-anak (penghuni Madinah). Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan menuju ke Makkah Al-Mukarramah, untuk memerangi al-Mahdi dan orang-orangnya. Apabila sampai di al-Baidak, semuanya dihapuskan oleh Allah. Maka itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Kalau kamu melihat ketika mereka terkejut, maka tidak akan luput (dari ingatan), lalu diambil (nyawa) mereka dari tempat yang dekat (dengan Makkah).” (Surah Sabak, ayat 51)
Seperti hadis-hadis sebelumnya, hadis ini melanjutkan
cerita tentang perkara yang sama. Walaupun terdapat beberapa
perbezaan fakta di dalamnya, semua itu tidak bererti hadis ini
maudhuk atau syaz. Sebabnya, perbezaan jumlah yang dikatakan itu,
atau perbezaan nama, atau perbezaan keterangan yang diberikan
sebenarnya menunjukkan bahawa angka itu boleh berubah-ubah menurut
ketentuan Ilahi, tempat yang dimaksudkan itu juga boleh berubah dan
maklumat-maklumat lain yang berkaitan juga boleh banyak atau
sedikit. Semuanya adalah menurut ketentuan Allah belaka dan hanya
Dia yang Maha Mengetahui hakikat segala yang diciptakan-Nya.
Sebab itulah perbezaan keterangan dan jumlah yang berlaku dalam
riwayat yang pelbagai, tidak perlu diambil kira sangat. Jumlah yang
disebutkan itu tidak penting kerana yang penting ialah bahawa
peristiwa yang dimaksudkan itu benar-benar berlaku, dan ada tempat
berlakunya, sesuai menurut tafsiran kita pada zaman ini, bukannya
menurut tafsiran pada zaman dahulu. Oleh itu, ada perkara yang
perlu diperhatikan sangat-sangat dan ada perkara yang hanya perlu
diperhatikan secara sepintas lalu sahaja.
Dan, kebiasaannya dalam menafsirkan hadis-hadis seperti
inilah yang banyak memeningkan kepala para sarjana dan cendekiawan
yang mengkajinya, kerana pengetahuan mereka tidak tercapai
selok-belok hadis yang amat dalam, berkelok-kelok dan penuh rahsia
itu. Jika hanya maksud zahir sahaja yang diambil dan diperhatikan,
maka hadis-hadis seperti ini dengan begitu mudah akan dicampakkan
ke dalam tong sampah maudhuk sahaja. Dan sebagai akibatnya, tidak
hairanlah kalau hadis-hadis seperti ini sentiasa terabai daripada
perhatian mereka, kerana mereka menilainya sebagai sesuatu yang
tidak perlu diperhatikan, membuang masa sahaja dan sering kali
dengan mudah pula mereka memaudhukkannya. Itulah penilaian yang
terbaik pada pandangan mereka.
Pasukan tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya ternyata amat
besar, berjumlah tiga puluh ribu orang dan lengkap pula dengan
segala persenjataan tercanggih yang dibawa khusus untuk tujuan itu,
disertakan lagi dengan pakar-pakar strategi yang terbaik, di
samping mendapat pula bantuan daripada puak Syiah yang katanya
mereka lebih layak terhadap Imam Mahdi. Memang puak Syiah amat
berhasrat untuk menghapuskan sama sekali golongan Ahlus Sunnah
supaya mereka dapat berkuasa pula ke atas seluruh dunia dan umat
Islam. Pasukan tentera ini dibahagi kepada dua kumpulan iaitu yang
akan menyerang Kufah, yakni Iraq dan yang satu kumpulan lagi akan
menyerang Hijaz.
Maka dunia akan menyaksikan sekali lagi negara-negara di Teluk
Parsi bermandi darah. Kali ini adalah lebih besar dan dahsyat.
Tiada siapa pun dari kalangan umat Islam yang mampu berbuat apa-apa
untuk menentang perbuatan biadab musuh-musuh Allah itu. Maka pada
ketika itulah Syuaib bin Saleh at-Tamimi akan mendapat kuasa di
Timur lalu mendaulatkan Islam ke tempatnya yang tinggi. Beliau dan
pasukan tenteranya yang amat terpilih itu amatlah handal kerana
mereka dibantu dengan keramat-keramat yang amat nyata. Selain itu,
roh-roh sekalian syuhada sejak zaman sahabat RA juga turut datang
membantu.
Hanya dengan bantuan keramat sahajalah seluruh askar dan
segala peralatan ketenteraan Amerika Syarikat yang canggih-manggih
itu dapat ditundukkan, kerana keramat tidak akan dapat dikalahkan
oleh sesiapa pun buat selama-lamanya. Keramat adalah bantuan terus
dari Allah, didatangkan melalui tangan para wali-Nya. Maka
mustahillah bantuan Allah dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Siapa
lagi yang mampu mengalahkan Amerika Syarikat dan segala senjata
canggihnya itu kalau bukan dengan berkat keramat para wali Allah?
Cuba fikir dan sebutkan negara mana atau pemimpin mana yang dapat
berbuat demikian pada hari ini.
Semasa kedua-dua pasukan tentera itu sedang bermaharaja lela di
Tanah Arab itu, maka datanglah suatu kaum yang sihat (gagah berani) memerangi Amerika Syarikat dan Syiah itu. Hanya kaum
ini sahajalah yang mampu dan berani melawan kekuatan kecanggihan
ketenteraan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang besar dan
kuat itu. Jumlah mereka ini tidak disebutkan jumlahnya kerana
mereka yang dimaksudkan itu ternyata adalah amat kecil jika
dibandingkan jumlahnya dengan jumlah kedua-dua angkatan tentera
Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Namun, Allah tidak melihat
kepada berapa besar jumlah pasukan yang dilawan itu kerana setiap
seorang daripada anggota pasukan itu bersamaan kekuatannya dengan
kekuatan dan keberanian seratus orang tentera musuh.
Mereka adalah pasukan yang datang dari Timur dan tidak lain dan
tidak bukan ialah pasukan Asoib, yang di dalamnya terdapat
sebahagian besar golongan Ikhwan. Selain itu, disebutkan pula
bahawa pemimpin kaum yang sihat itu dipanggil dengan
gelaran Amir Min Umarak (Raja Bagi Segala Raja), suatu
gelaran yang amat tinggi dan amat besar maknanya kepada beliau.
Juga amat besar ertinya kepada seluruh umat Islam di serata dunia.
Disebutkan juga bahawa Amir Min Umarak itu bergelar Syuaib bin
Saleh. Jelaslah berdasarkan hadis ini, Syuaib bin Saleh itu adalah
gelarannya dan bukan namanya. Hal ini samalah dengan khalifah pada
akhir zaman yang bergelar Imam Mahdi. Imam Mahdi itu adalah
gelarnya sahaja sedangkan namanya adalah Muhammad bin Abdullah.
Sihat yang dimaksudkan itu adalah sihat akidahnya. Ketika
umat manusia sedang rosak akidah kerana telah dipengaruhi oleh
pelbagai akidah yang menyesatkan, mereka tidak tergugat akidah
mereka. Maka di antara segala yang sedang sakit akidah itu,
merekalah sahaja yang sihat akidahnya. Maka dikatakanlah bahawa
mereka itu sihat. Mereka juga sihat agamanya. Ketika orang lain
sedang sakit malah nazak agamanya, mereka tampil dengan amalan
agama yang benar dan menegakkan Islam secara keseluruhan seperti
pada zaman Rasulullah SAW dahulu. Maka sesiapa yang mampu
menegakkan agama ketika agama sedang rebah, maka dikatakan bahawa
mereka itulah golongan yang sihat iaitu sihat agamanya.
Mereka sihat dari segi jihad kepada Allah. Ketika ini umat Islam
sudah mati semangat jihadnya. Jika ada yang berjihad pun, tidak
benar-benar berjihad menurut apa yang diperintahkan oleh syarak.
Maka pada ketika orang lain sedang mati jihadnya, mereka mampu
membangunkan jihad seperti yang dikehendaki oleh syarak, maka
itulah golongan yang sihat, iaitu sihat jihadnya. Juga sihat
daripada pengaruh keduniaan yang sedang amat nyanyuk. Ketika umat
manusia sedang turut sama nyanyuk seperti dunia yang mereka gilai
itu, mereka berjaya mengelakkan diri daripada turut nyanyuk. Mereka
juga membangunkan dunia tetapi menjadikannya sebagai amalan untuk
akhirat, bukan untuk dunia semata-mata. Maka dikatakanlah bahawa
mereka itu sihat, kerana tidak turut nyanyuk ketika orang lain
telah lama dibuai nyanyuk dunia. Juga sihat dari segi kerohanian
kerana dengan kerohanian yang kuat yang mereka miliki itulah yang
membolehkan mereka mengalahkan musuh dan membangunkan semula Islam
seperti yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dahulu.
Mereka juga sihat dari segi kekuatan zahir. Mereka sihat kerana
dianggap singa pada waktu siang. Singa amat ditakuti oleh setiap
manusia, walaupun singa itu hanya seekor sahaja pada sesuatu
tempat. Apatah lagilah jika mereka berkumpulan dan
beramai-ramai.
Orang-orang, sama ada dari kalangan ulama atau sarjana Islam, yang
menganggap Pemuda Bani Tamim itu bernama Syuaib bin Saleh, sudah
melakukan sesuatu kesilapan yang amat besar kerana tidak habis
kajiannya dan tidak tepat ilmunya dengan kebenaran yang hakiki.
Pernah suatu ketika dahulu iaitu sekitar tahun-tahun 1993 dan 1994,
ketika isu Imam Mahdi hangat diperkatakan, beberapa orang ulama dan sarjana menjelaskan kepada orang ramai
bahawa Pemuda Bani Tamim itu bernama Syuaib bin Saleh kerana itulah nama yang disebutkan oleh hadis. Mereka tidak sedar
bahawa ada hadis lain yang menjelaskan sebaliknya. Oleh itu,
sebelum memperkatakan sesuatu yang kita tidak berapa jelas atau tidak khatam mengajinya lagi, eloklah kita
memperbanyakkan mutalaah dan bersembahyang istikharah untuk
mendapatkan kepastian hakiki. Jangan sampai nanti diketawakan oleh
orang-orang kemudian.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 3787 reads
Post new comment