02079 20. Penduduk Syam Ditimpa Bencana Hebat
A. Kata Sayidina Ali KMW,
“Sebelum muncul al-Mahdi, turun bencana yang membinasakan umat manusia. Kamu semua jangan mencela penduduk Syam, kerana mereka (paling teruk) ditimpa musibah tersebut. (Kejadian) yang demikian kerana para Wali Abdal adalah lahir dari kalangan mereka. Bencana tersebut antaranya berupa hujan lebat yang menenggelamkan ramai manusia, sehingga andainya mereka berhadapan dengan sekumpulan musang sahaja, nescaya mereka akan dikalahkan (oleh musang-musang itu). Setelah itu Allah memunculkan al-Mahdi, yang (ketika mula-mula munculnya itu) berada di tengah-tengah pasukan tentera yang minimumnya berjumlah 12,000 orang (tentera) atau maksimumnya berjumlah 15,000 orang. Tanda-tanda pasukan itu ialah diperintah dari tiga pasukan berasingan, yang mana ketiga-tiga pasukan itu akan diserang oleh tujuh pasukan yang lain (dari kalangan as-Sufyani), yang masing-masing ketuanya (sangat) berminat untuk menjadi Amir. Kemudian al-Mahdi muncul, lantas mengembalikan umat Islam kepada akhlak yang luhur dan kepada kehidupan yang amat sejahtera. Mereka terus berada dalam keadaan begini sehinggalah Dajjal keluar (di tengah-tengah manusia).” (Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah & At-Tabrani)
Kata-kata Sayidina Ali KMW ini menjadi rujukan kebanyakan orang
terutamanya kalangan ahli sufi kerana dari ucapan inilah mereka
mengetahui bahawa Wali Abdal itu datang dari Syam. Memang Wali
Abdal adalah antara wali yang cukup dihormati kerana dekatnya
hubungan mereka dengan Tuhan di samping berkat yang nyata, keluar
hasil dari keberadaan mereka di kalangan umat manusia. Kerana
itulah mereka ini menjadi antara golongan wali yang sentiasa
mendapat perhatian kebanyakan manusia, dan mereka ini dijadikan
wasitah untuk memohon pertolongan Allah kepada seluruh umat
Islam.
Jika demikian, kenapa penduduk Syam masih menerima bencana yang
hebat itu? Tidakkah para Wali Abdal ini mampu menolak bala dengan
cara mendoakan kepada Tuhan agar diangkat-Nya bala tersebut dari
mereka? Ada beberapa sebab mengapa umat manusia masih tetap
menerima bala dan bencana dari Tuhan walaupun ada yang bertaraf
wali di kalangan mereka itu. Ini disebabkan, antara lainnya adalah
kerana,
- Umat manusia sudah terlalu jauh daripada Tuhan sehingga keberadaan para wali berkenaan sudah tidak mampu lagi mengangkat dosa-dosa manusia yang sudah terlalu berat itu sehingga bala yang sepatutnya boleh diangkat, tidak diangkat oleh Tuhan. Akibatnya, mereka tetap ditimpa bala berkenaan supaya mereka rasakan secebis daripada azab-Nya semasa di dunia ini. Bagi yang beriman, turunnya bala ini sudah cukup untuk menginsafkan hati mereka.
- Umat manusia membelakangkan para wali-Nya. Ramai yang sudah menafikan kewujudan para wali, yang menafikan berlakunya keramat pada wali-wali, yang menganggap para wali sudah tidak ada lagi pada zaman moden ini, yang menganggap para wali tidak diperlukan lagi dalam era globalisasi hari ini, dan sebagainya. Apabila para wali dibelakangkan, maka bala Tuhan sudah tidak dapat lagi disekat-sekat kerana pada ketika itu kemurkaan Allah melebihi daripada rahmat-Nya. Maka diturunkan-Nya sedikit daripada azab-Nya supaya manusia mahu kembali kepada Tuhan mereka.
- Manusia sudah tidak malu lagi kepada para wali. Ramai yang sudah
tidak tahu adab sopan ketika bertemu dengan para wali. Ramai yang
sudah tidak segan-segan lagi berbuat dosa di hadapan para wali, dan
ramai yang menganggap keberadaan para wali ini hanya menyusahkan
kebebasan kehidupan dunia mereka sahaja. Kerana itu, ramai yang
menganggap para wali itu sama seperti mereka juga, tidak perlu
dihormat-hormat, tidak perlu disegan-segankan, dan ada yang
beranggapan jika tiada para wali berkenaan adalah lebih baik
daripada adanya dari kalangan mereka. Ramai yang berkata bahawa
para wali itu manusia juga, seperti mereka, ada salah atau
sekurang-kurangnya ada berbuat silap. Maka tidak perlulah
dihormat-hormat dan dilebih-lebihkan. Yang lebih malangnya, ada
yang berkata, perbuatan menghormati para wali secara berlebihan
tidak mempunyai dasar dalam agama, dan merupakan suatu perbuatan
bidaah dan boleh merosakkan akidah.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 3367 reads
Post new comment