02078 19. Imam Mahdi Keluar Ketika Dunia Penuh Kacau-bilau
A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan keluar pada akhir zaman, ketika bala bencana sedang melanda (dengan amat hebatnya di seluruh dunia) dan pemberian al-Mahdi itu adalah sangat bererti (menyenangkan).” (Abu Nuaim)
Manusia apabila sudah begitu lama ketandusan sesuatu yang amat
didambakan, walaupun hanya mendapat sedikit sahaja daripada nikmat
tersebut, mereka akan merasakannya sebagai sesuatu yang amat besar
dan bernilai, lebih daripada yang dirasakan oleh orang yang pernah
merasakannya sebelum itu. Itulah fitrah semula jadi manusia, tidak
kira di Timur atau di Barat, kaya atau miskin, kuat atau lemah,
beriman atau tidak beriman dan seterusnya. Dalam hal ini, apabila
manusia sudah dibiasa dan dilalikan dengan peperangan, pergaduhan,
pertelingkahan, perselisihan, perbezaan, perseteruan, perpecahan
dan sebagainya sejak sekian lama sehingga mereka tidak pernah
merasakan lagi apa itu keamanan, kedamaian, kesejahteraan,
kesentosaan, kebahagiaan dan keadilan, maka apabila mereka mendapat
setitis daripada rasa bahagia tersebut, mereka akan merasakannya
sebagai sesuatu yang amat bernilai dan besar.
Begitulah juga keadaan hati seluruh umat manusia pada hari ini.
Mereka sudah dibiasa dan dilalikan dengan beraneka perseteruan,
pertelingkahan dan perpecahan sehingga mereka sudah lupa apa itu
keamanan dan bahagia. Jika mereka memperkatakan pun, mereka
sebenarnya tidak tahu apa yang mereka katakan itu kerana mereka
sendiri sudah tidak kenal apa itu bahagia dan aman. Apabila yang
memperkatakannya pun sudah tidak faham dan kenal apa yang
diperkatakannya, mustahillah keamanan dan kebahagiaan dapat dicapai
oleh masyarakat. Jika aman pun, aman itu adalah aman menurut kaca
mata mereka, bukan aman dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
Bahagia juga adalah menurut apa yang mereka fahami, bukannya
bahagia yang hakiki.
Dalam keadaan mereka yang sebegitulah Allah turunkan wakil-Nya
untuk membantu manusia mengecapi apa yang dikatakan aman, bahagia,
sentosa, sejahtera, adil, damai dan gembira itu. Orang yang telah
sekian lama amat mendambakan kebahagiaan itu, pastilah tidak akan
melepaskan apa yang telah mereka dapati melalui Imam Mahdi itu yang
selama ini tidak pernah terfikirkan oleh mereka yang mereka akan
mendapatinya suatu hari kelak. Maka, Imam Mahdi itu amatlah bererti
bagi mereka kerana Imam Mahdi telah membantu mereka mengecapi,
mengetahui dan memahami sebenar-benarnya apa yang dikatakan bahagia
dan aman itu.
Hadis ini juga memberitahu bahawa Imam Mahdi itu amat dihormati dan
disayangi oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia pada masa
pemerintahannya. Bagi mereka, Imam Mahdi itulah segala-galanya bagi
mereka, sehingga mereka merasakan jika tiada Imam Mahdi, apalah
mereka. Kerana itu, Imam Mahdi sangat disayangi, dikasihi,
dihormati dan diutamakan oleh mereka, sehingga melebihi
segala-galanya (melainkan Allah). Itulah yang bakal berlaku, iaitu
apabila seseorang pemimpin itu berusaha membawa manusia kepada
Allah, pasti mereka akan dikasihi dan disayangi oleh sekalian
rakyatnya, lebih daripada apa yang mereka jangkakan. Hakikatnya
hari ini, manusia menjauhi pemimpin kerana pemimpinnya membawa
manusia jauh daripada Tuhan. Hasilnya, bukan sahaja manusia
menjauhi Tuhan mereka, malah akan turut menjauhi pemimpin yang
membawa mereka menjauhi Tuhan tadi. Tetapi kebanyakan manusia tidak
menyedari akan hal ini.
Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang berjaya membawa sekalian
rakyatnya mendekati, mengenali, mencintai dan menyayangi Tuhan.
Apabila ini berjaya dilakukan, maka berjayalah pemimpin itu dan
berjaya jugalah kepemimpinannya terhadap manusia. Rasulullah SAW
berjaya dalam kepemimpinannya adalah kerana baginda SAW berjaya
membawa hati-hati seluruh umat Islam kepada Tuhan mereka, sehingga
hati-hati mereka yang sebelumnya begitu liar, menjadi amat jinak
dan mesra dengan Tuhan. Mereka mencintai, menyayangi dan mengingati
Tuhan dalam setiap urusan, setiap ketika dan setiap suasana.
Mana-mana pemimpin hari ini yang berjaya berbuat demikian, maka
itulah dia Sahibul Zaman untuk zaman ini. Tidak perlu syak lagi
padanya.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 4453 reads
Post new comment