02054 9. Runtuhnya Pemerintahan Bani Abbas
A. Kata tabiin RH,
“Keadilan dan kemakmuran akan sentiasa wujud selagi pemerintahan Bani Abbas tidak runtuh. Kemudian (setelah runtuhnya pemerintahan Bani Abbas) dunia ini dipenuhi oleh bencana sehingga al-Mahdi tampil memegang tampuk pemerintahan.”
Ucapan tabiin ini sebenarnya tidaklah bermaksud mahu
mengangkat keluarga Bani Abbasiah yang sedang memerintah dunia
Islam pada masa itu. Beliau tidak ada niat langsung mahu memuji
pemerintahan Bani Abbas, atau mahu mengambil sesuatu keuntungan
daripada ucapannya itu, seperti yang banyak disalah tafsir oleh
para sarjana dan pengkaji sejarah zaman moden ini.
Memang seperti yang kita tahu, pemerintahan Bani Abbas tidaklah
adil sangat, banyak kelemahan dalam pemerintahan dan pentadbirannya
dan pelbagai macam lagi. Tetapi keadilan dari segi kebebasan
mengamalkan tasawuf dan kesufian amatlah jelas. Hari ini, hal itu
sangat disekat dan amat ditakuti. Kemakmuran hidup dan keberkatan
juga amat nyata pada zaman pemerintahan Bani Abbas dahulu.
Apabila kerajaan Bani Abbas dijatuhkan oleh pasukan Hulago dari
Mongol itu, bencana mula menimpa dunia Islam. Selepas itu,
kelemahan umat Islam semakin nyata, terutamanya dari segi
pentadbiran dan pemerintahan. Dari segi keilmuan dan penciptaan
juga semakin tumpul, akibat tumpulnya rohaniah mereka dengan Tuhan.
Kuasa Islam semakin merosot, walaupun Kerajaan Osmaniah mampu
mempertahankannya seketika waktu. Kemuncak kekuasaan Kerajaan
Osmaniah hanya seketika iaitu sewaktu Sultan Muhammad II Al-Fateh
bin Sultan Murad II memerintah, dan sewaktu beliau berjaya menawan
Kota Kostantinopel, lalu menukar namanya kepada Istanbul dan
dijadikan ibu kota pemerintahan Kerajaan Osmaniah.
Pada masa yang sama, Eropah Barat semakin menyerlah kuasanya, baru
bangkit dari tidurnya yang terlalu panjang, dan baru terbuka
fikirannya daripada selimut mitos yang amat tebal dan pengaruh
gereja yang amat mencengkam. Apabila Eropah Barat terjaga, maka
bermulalah bencana dan fitnah terhadap Islam secara menyeluruh.
Walaupun Kerajaan Osmaniah berjaya menawan sebahagian besar Eropah
Timur, negara-negara bangsa yang ditawannya itu sedikit demi
sedikit berjaya juga membebaskan dirinya, sehingga akhirnya
semuanya bebas menjelang Perang Dunia Pertama. Sungguhpun Turki
tewas, Eropah Barat tetap juga bangun dan mengamuk ke serata
dunia.
Dan pada masa yang sama, seluruh negara Islam sudah pun berada
dalam cengkaman kuasa-kuasa Barat yang sedang naik bintangnya itu.
Antara kuasa besar Barat yang dimaksudkan itu ialah Inggeris dan
Sepanyol. Kedua-dua negara ini mempunyai jajahan takluk yang cukup
luas. Selain mereka, Jerman, Belanda dan Itali juga adalah dua buah lagi kuasa yang berjaya mencorakkan dunia. Amerika Syarikat
pula mengambil alih peranan semua kuasa Barat itu selepas Perang
Dunia Kedua. Sejak itu hinggalah kini, seluruh dunia tunduk dan
mengikut apa sahaja dari Barat yang pada ketika ini menjadi tuan
bagi seluruh dunia.
Dan paling nyata, Islamlah yang menjadi mangsa paling teruk
menerima bencana. Berdasarkan rentetan sejarah ini, sangatlah benar
ucapan tabiin itu tadi. Dan seperti yang dinyatakannya juga,
selepas bencana yang ditanggung oleh umat Islam ini beberapa lama,
maka Imam Mahdi akan segera muncul lalu mengambil alih tampuk
pemerintahan dunia, menggantikan seluruh kuasa Barat dan
sistem-sistemnya sekali. Ketika itu, yang zahir dan menonjol adalah
Islam, seperti pada hari ini yang menonjol adalah Barat dan sistem
Barat.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 3640 reads
Post new comment