02047 2. Keadaan Dunia Yang Huru-hara
A. Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Dunia ini akan dipenuhi oleh kezaliman dan penyelewengan. Ketika itulah seorang lelaki dari kaum kerabatku akan muncul dan memerintah dunia. Dia akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan, (tempoh pemerintahannya) selama tujuh atau sembilan tahun.” (Imam Ahmad)
Huru-hara yang dimaksudkan di sini bukanlah semata-mata peperangan.
Huru-hara akibat kerosakan akhlak adalah lebih teruk lagi, dan
berpanjangan pula. Sebab itulah dikatakan huru-hara, bukan
peperangan. Semua ini berlaku akibat manusianya sudah tidak
mengenal Tuhan, tidak sayang kepada Tuhan, meninggalkan Tuhan,
sangat haloba akan dunia yang sementara ini, mengejar dunia
sungguh-sungguh, berebut-rebutkan dunia ini, dan sangat takutkan
mati terutama mati syahid. Kesan daripada itu, timbullah pelbagai
masalah dalam diri dan masyarakat, seterusnya merebak ke seluruh
negara, dan akhirnya sampai ke seluruh dunia. Dan Allah SWT yang
Maha Penyayang tidak akan membiarkan hal ini berterusan. Ketika
manusia sedang teruk hanyut itulah diturunkan orang-Nya untuk memulihkan kemanusiaan yang telah
hilang, dan mengembalikan semula manusia kepada Tuhan.
Imam Mahdi adalah seorang pemimpin yang berjiwa tauhid kepada Allah
SWT. Pemimpin yang sebenar sepatutnya adalah pemimpin yang paling
bertakwa kepada Allah SWT berbanding dengan rakyatnya kerana
melalui seorang pemimpin yang bertakwa sahajalah pertolongan Allah
akan diturunkan secara terus kepada pemimpin berkenaan, seluruh
negara dan seluruh rakyat yang berada di bawah pemerintahannya.
Rakyat akan terasa benar betapa nikmatnya duduk bernaung di bawah
seorang pemimpin yang amat bertakwa.
Seorang pemimpin yang bertakwa juga akan menyebabkan seluruh
rakyatnya berusaha mempertingkatkan taraf takwa masing-masing
kepada Allah. Ini mudah difahami kerana mereka sudah mendapat
contoh yang benar-benar dapat diikuti secara realiti, bukan
semata-mata cakap-cakap, kempen-kempen atau slogan-slogan sahaja.
Perbandingan paling mudah ialah pada hari ini para pemimpinnya (di
mana-mana jua di seluruh dunia) sibuk mencari dan mengumpulkan
harta benda sebanyak-banyaknya, maka rakyat jelata juga kita lihat
sibuk mencari dan mengumpul harta benda sebanyak-banyaknya. Itulah
yang berlaku pada hari ini dan dapat kita saksikan di mana-mana pun
dan pada bangsa mana pun.
Seorang pemimpin yang bertakwa akan dimampukan membawa keamanan dan
kesejahteraan kepada seluruh rakyatnya. Apabila sang pemimpinnya
sendiri adalah orang yang paling baik akhlaknya, maka rakyatnya
juga akan berusaha menjadikan diri mereka sebagai orang-orang yang
bertakwa. Jika tidak pun mereka akan menjadi orang-orang yang soleh
dari segi amalan dan akhlaknya. Paling-paling kurang pun mereka
akan menjadi orang-orang Islam yang baik-baik akhlaknya dan tidak
akan menimbulkan sebarang masalah kepada negara dan pemimpin yang
memerintah mereka. Masalah sosial yang sedang kronik melanda
seluruh negara dan rantau juga akan menjunam grafnya hingga ke
taraf zero percent hanya dalam masa yang amat singkat.
Ini semua boleh berlaku dan akan berlaku dikeranakan pemimpinnya
adalah orang yang paling baik imannya, paling bertakwa kepada Allah
dan paling baik akhlaknya. Maka pada ketika itu, Allah akan
campakkan ke dalam hati setiap rakyatnya rasa malu untuk melakukan
maksiat, biar pun hanya berseorang diri tanpa disaksikan oleh
sesiapa pun. Semakin lama pemimpin yang bertakwa itu memerintah,
semakin tebal rasa malu mereka untuk melakukan maksiat itu, yang
sebelumnya selalu mereka buat tanpa sebarang rasa malu dan kesal,
malah sesetengahnya amat bangga pula kerana dapat melakukannya.
Selain itu, mereka juga akan dihantui rasa bersalah yang amat
sangat jika mereka melakukan kesalahan atau maksiat atau
penderhakaan. Pada hari ini, rakyat jelata melakukan kesalahan,
dosa, maksiat, penderhakaan dan sebagainya tanpa rasa bersalah. Ada
yang berasakan mereka wajib menentang pemerintah mereka secara
terus terang, berterusan dan dengan cara yang sama zalim. Kononnya
mereka mahu menegakkan keadilan, tetapi mereka menggunakan cara
yang zalim untuk menundukkan kezaliman. Maknanya kezaliman
dihapuskan dengan cara yang zalim atau menggunakan kezaliman untuk
menundukkan kezaliman. Apakah itu tuntutan Islam? Siapa yang pernah
menggunakan cara itu pada zaman salaf dahulu? Mana ayat al-Qurannya
atau hadisnya yang mereka gunakan untuk menghalalkan kaedah
itu?
Setiap kali mereka melakukan kesalahan, hati mereka akan merasakan
amat bersalah dan selalu dihantui oleh rasa bersalah itu. Semakin
lama perbuatan salah dan dosa itu mereka biarkan tanpa bertaubat,
akan semakin besar dirasakan kesalahan itu pada hati mereka
sehingga mengganggu kerja-kerja harian mereka dan ketenteraman hati
mereka. Akhirnya kesalahan yang satu itu akan dirasakan seperti
gunung yang sentiasa berasa di atas kepala mereka yang boleh sahaja
jatuh menghempap kepala mereka. Itulah yang dimaksudkan oleh
hadis yang menyebutkan demikian.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 2842 reads
Post new comment