02043 13. Orang Quraisy Adalah Khalifah, Pemimpin Manusia
A. Abdullah bin al-Huzail berkata,
“Ada sekumpulan orang dari kaum Rabiah berada di sisi Amru bin al-As, lalu salah seorang dari golongan Bakar bin Wail berkata, “Hendaklah golongan Quraisy berhenti (dari melakukan kezaliman, fasik dan derhaka semasa memerintah) atau Allah benar-benar akan menyerahkan urusan ini (pemerintahan) kepada (majoriti) bangsa Arab selain mereka.” Kemudian Amru bin al-As berkata, “Kamu berdusta. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Golongan Quraisy adalah pemimpin manusia dalam kebaikan (Islam) dan keburukan (Jahiliyah) sampai hari kiamat.” (At-Tarmizi)
B. Daripada Jabir bin Samurah RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda,
"Agama ini akan terus berkuasa sehingga naik memerintah kamu seramai dua belas orang Amir (Khalifah), dan setiap manusia amat mencintai setiap mereka itu.” Kemudian aku mendengar Nabi SAW menyebutkan sesuatu yang aku tidak berapa jelas lalu aku bertanya kepada bapaku, “Apa yang baginda sebutkan?” Jawabnya, “Mereka semua adalah dari kaum Quraisy.” (Abu Daud)
Hal ini sebenarnya telah pun disebutkan oleh baginda SAW dengan
amat jelas. Walaupun pada zahirnya mereka bukanlah pemerintah yang
terbaik, urusan agama dan umat ini akan tetap terbela selagi yang
memerintah itu adalah dari kalangan kaum Quraisy. Hal ini
sememangnya telah menjadi suatu sunnah bagi pemerintahan umat ini.
Apabila hak pemerintahan itu dirampas daripada mereka, maka Islam
pun turut dirampas oleh musuh dan menjadi semakin lemah.
Apabila mereka dijauhkan dari urusan pemerintahan oleh umat Islam,
maka mereka pun dijauhkan pula daripada rahmat dan pertolongan-Nya.
Apabila mereka membiarkan kaum Quraisy ini dari urusan
pemerintahan, maka Allah pun akan membiarkan pula umat Islam
daripada pembelaan-Nya, dan apabila umat Islam melupakan kaum
Quraisy ini, maka Allah lupakan mereka dan membiarkan mereka
dibantai oleh pihak musuh. Itulah yang sedang berlaku pada hari ini
di seluruh dunia Islam.
Apa yang berlaku hari ini menjelaskan lagi kebenaran hadis di atas.
Kaum Quraisy bukan sahaja tidak diberikan apa-apa jawatan dalam
pentadbiran, malah ramai yang dihalau keluar dari tanah tumpah
darah mereka. Akhirnya mereka terpaksa merantau membawa diri, untuk
mengelakkan tekanan dan penyeksaan dari pihak berkuasa yang
memerintah negara mereka. Segala jasa dan sumbangan mereka kepada
dunia Islam sejak dahulu dipejamkan mata sahaja oleh semua
pemerintah, terutama pada hari ini, seolah-olahnya puak Quraisy
tidak pernah berjasa apa-apa pun kepada dunia Islam sebelum ini.
Yang lebih teruk, ada kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan
dakyah pihak kafir Barat dengan beranggapan bahawa orang-orang
Arab, termasuklah puak Quraisy adalah puak yang ganas dan militan
dalam tindakan, dan terburu-buru dalam setiap tindakan mereka.
Pemimpin-pemimpin yang ada hari ini merasakan mereka cukup layak
untuk memerintah dunia, dan bangsa Quraisy tidak cukup layak untuk
memerintah. Mereka seperti terlupa bahawa Rasulullah SAW sudah menyebutkan kelebihan bangsa Quraisy dalam soal
pemerintahan dan Islam. Mereka juga seolah-olah tidak pernah tahu
bahawa di dalam al-Quran sendiri ada satu surah yang dinamakan
sempena nama bangsa Quraisy. Kelebihan bangsa Quraisy seperti
inilah yang dilupakan oleh para pemerintah, dan para
ulamanya pula seperti tidak tahu-menahu tentang ada satu surah di
dalam al-Quran. Kalau tahu pun, huraian dan
tafsirannya mereka tidak berapa tahu.
Imam Ahmad bin Hanbal RH dalam kitab musnadnya meriwayatkan hadis
berikut, yang secara langsung menyebutkan kepentingan kaum Quraisy
dijadikan pemimpin umat Islam.
“Para pemimpin itu adalah daripada suku Quraisy. Sesungguhnya mereka mempunyai hak ke atas kamu dan kamu juga mempunyai hak yang sama ke atas mereka. Selagi mereka mengasihani kamu, maka kasihanilah mereka. Jika kamu berjanji dengan mereka, tepatilah (janji itu) dan jika menghukum, berlaku adillah. Maka jika mereka tidak berbuat hal yang demikian dari kamu, maka laknat Allahlah ke atasnya, para malaikat dan manusia sekaliannya.” (Imam Ahmad)
Selain itu, Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Manusia itu (hendaklah) mengikut orang-orang Quraisy dalam urusan pemerintahan. Setiap orang Islam hendaklah mengikut (pemimpin) yang Islam di kalangan mereka dan orang-orang kafirnya mengikut (pemimpin) yang kafir juga di kalangan mereka.” (Al-Bukhari)
Muawiyah bin Abi Sufian RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Orang-orang Quraisy adalah pemimpin manusia, dalam hal kebaikan mahupun dalam hal keburukan sampailah ke hari kiamat.” (At-Tarmizi)
Hadis-hadis ini dan banyak lagi yang tidak dimasukkan di sini,
menunjukkan perlunya seorang pemimpin yang berketurunan Quraisy
untuk membawa umat Islam ke mercu kegemilangan, seperti yang pernah
berlaku pada zaman Nabi SAW dan zaman Khulafa ur-Rasyidin dahulu.
Hadis-hadis di atas tidak menafikan hadis-hadis lain yang menyebut
bahawa orang bukan Quraisy pun boleh memerintah. Perlu difahami
betul-betul bahawa kepemimpinan orang yang bukan Quraisy adalah
untuk urusan yang bukan bersifat keimanan tulen seperti pada zaman
Rasul dahulu. Mereka ini tetap sah sebagai pemimpin, cuma Islam
tidak menjamin bahawa pemimpin bukan Arab ini akan mampu memerintah
dengan penuh adil dan mendapat petunjuk Allah.
Dalam hal ini, ada beberapa buah hadis yang menyebutkan keharusan
mengangkat orang yang bukan Arab Quraisy sebagai pemimpin,
antaranya adalah,
A. Sabda Nabi SAW,
“Kamu semua dengarlah dan taatilah walaupun yang memimpin kamu itu seorang hamba Habsyi, seolah-olah di atas kepalanya ada wangian kasturi.” (Al-Bukhari)
B. Kata Sayidina Umar RA,
“Sekiranya Salim, hamba Abu Huzaifah masih hidup, pasti akan kuangkatkannya sebagai pemimpin, kerana aku takut datang kepadaku tuduhan orang.” (Imam Ahmad)
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 3816 reads
Post new comment