02007 6. Imam Mahdi Adalah Seorang Lelaki
A. Dari Sayidina Ali bin Abi Talib KMW katanya, Rasulullah SAW bersabda,
“Kalaulah hanya tinggal sehari sahaja lagi umur dunia ini, pasti Allah akan panjangkannya sehingga dibangkitkan-Nya seorang lelaki dari ahli keluargaku yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan seperti sebelumnya yang dipenuhi oleh kezaliman.” (Abu Daud)
Sebenarnya memang terdapat banyak hadis yang menyebutkan bahawa
Imam Mahdi itu adalah seorang lelaki, bukannya perempuan. Yang
diberikan di atas hanyalah sebagai contoh sahaja dari sekian banyak
hadis dan asar para sahabat RA. Maknanya, jika ada mana-mana wanita
yang mendakwa bahawa dirinya adalah Imam Mahdi, maka dakwaan itu
dengan mudah sahaja ditolak dan tertolak. Mustahillah Nabi SAW
menyebutkan bahawa Imam Mahdi itu berjambang, berjanggut tebal dan
sebagainya, jika dia itu wanita. Amat jarang didapati ada wanita
yang berjanggut, bermisai dan berjambang. Mustahil pula wanita
memakai serban, kerana serban itu pakaian khusus lelaki.
Maknanya, jika ada mana-mana wanita yang mengaku dirinya Imam
Mahdi, secara tidak langsung juga dia menafikan hadis-hadis
mengenai Imam Mahdi, kerana hadis-hadis itu menceritakan
sifat-sifat seorang lelaki tulen, bukannya sifat sebagai seorang
wanita. Lagipun, secara umumnya, seorang wanita tidak akan termampu
menerima tugas yang sedemikian berat dan besar itu, yang secara
lazim juga, sebenarnya tidak termampu untuk ditanggung oleh
kebanyakan lelaki biasa. Hanya Imam Mahdi sahajalah yang diberi
keupayaan oleh Allah SWT untuk sanggup menanggung beban yang
sedemikian berat itu ke atas bahunya seorang. Bukan sebarang lelaki
yang dapat menanggung beban tugas yang diamanahkan kepadanya
itu.
Memang ada wanita yang diangkat martabatnya ke taraf seorang wali,
tetapi tidak ada mana-mana wali wanita pun yang diberi amanah untuk
menguruskan kaum lelaki seperti yang berlaku dalam sistem politik
Barat hari ini. Allah tidak menjadikan wanita untuk menguruskan
hal-hal umum masyarakat dan bebas keluar ke sana ke mari tanpa
sekatan atau halangan. Wanita solehah hanya dibenarkan keluar untuk
urusan yang benar-benar mustahak dan yang membawa manfaat sahaja.
Tidak semua keadaan kaum wanita boleh menguruskan hal-hal yang
sepatutnya diuruskan oleh kaum lelaki, atau sewenang-wenangnya
masuk campur dalam urusan yang dikhususkan untuk orang lelaki.
Maksud lelaki di sini adalah lelaki yang sebenar, yang
berkahwin dengan wanita dan menjadi seorang bapa kepada anak-anak
kandungnya sendiri. Yang dikatakan lelaki juga adalah bermaksud
Imam Mahdi itu adalah orang Allah, yang bertaraf muqarrabin atau
disebut sebagai Rijalullah. Itulah maksud lelaki dari segi
batinnya. Rijalullah itulah lelaki sejati. Maksud lelaki juga
adalah golongan atau orang yang menguasai orang lain kerana maksud
lain bagi kalimat Rijal ialah yang menguasai, iaitu
menguasai orang lain. Maka Imam Mahdi itu adalah orang yang
dimampukan oleh Allah SWT untuk menguasai orang lain, baik dari
segi ilmunya, kefahamannya, penghayatannya, keagamaannya, cara
hidupnya, pandangan hidupnya, harta benda dan sebagainya lagi.
Perkataan lelaki juga dimaksudkan sebagai pembela, iaitu pembela
agama Allah di atas muka bumi ini dan pembela kepada seluruh kaum
muslimin terhadap orang-orang kafir, selain menjadi pembela kepada
seluruh kaum Ahulbait yang sebelumnya terpisah-pisah dan bertaburan
di merata-rata tempat. Apabila Imam Mahdi muncul kelak, beliau akan
menjadi pembela agama Allah ini, menjadi pembela kepada seluruh
kaum mukminin dan muslimin yang sedang ditindas, dan pembela kepada
seluruh Ahlulbait yang hidup ketika itu.
Maksud rijal inilah juga yang menyempurnakan beliau sebagai
Imam Mahdi bagi umat ini, pada zaman ini.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 3191 reads
Post new comment