01 Anak- Anak - Siapa Sepatutnya Yang Mendidik
Di zaman para sahabat, para tabiin dan para tabit tabiin, tidak ada sekolah
dan tidak ada madrasah. Anak-anak dididik dan diajar di rumah. Ibu bapa ketika
itu alim dan berakhlak mulia. Mudah bagi mereka mendidik dan mengajar anak-anak
mereka di rumah hingga menjadi alim dan berakhlak mulia seperti mereka juga.
Selepas zaman tabit tabiin, kebanyakan ibu bapa tidak sealim dahulu lagi. Mereka
tidak mampu lagi mengajar anak-anak mereka di rumah. Justeru itu tugas mengajar
diserahkan kepada orang lain yang lebih alim. Kebanyakan pengajian ini berpusat
di masjid-masjid dan di rumah guru-guru yang mengajar. Pelajaran yang diajar
diasaskan kepada ilmu agama.
Ini berterusan sehingga tugas mengajar ini keseluruhannya diserahkan kepada
masyarakat. Masyarakat membina sekolah dan madrasah dan para mualim atau orang-orang
yang berilmu ditugaskan untuk mengajar anak-anak di madrasah-madrasah tersebut.
Guru-guru yang mengajar di masjid, di rumah-rumah dan di madrasah, di samping
mengajar ilmu, sedikit sebanyak turut juga memberi tarbiah atau didikan. Namun
begitu, didikan di rumah oleh ibu bapa masih diteruskan. Anak-anak belajar dan
diberi ilmu agama di madrasah tetapi mereka ditarbiah dan dididik di rumah.
Di zaman ini, keadaan sudah berubah. Sekolah merata-rata. Semua anak-anak belajar
di sekolah. Tetapi kebanyakan sekolah di zaman ini hanya memberatkan ilmu dunia
atau ilmu akademik semata-mata yang tidak ada apa-apa nilai pendidikan. Kalaupun
ada mata pelajaran agama, ia sangatlah sedikit dan tidak dijadikan mata pelajaran
teras. Ia pula berbentuk ilmiah semata-mata dan amalannya tidak ditekankan.
Di sekolah agama pun, ilmu akademik sangat diutamakan hingga tumpuan para pelajar
terbahagi dua di antara ilmu agama dan ilmu akademik. Akhirnya ke sini tidak,
ke sana pun tidak. Ada pula sekolah yang dinamakan sekolah agama tetapi tak
ada bezanya dengan sekolah akademik yang lain kecuali ada tambahan mata pelajaran
bahasa Arab. Apa kaitannya bahasa Arab dengan agama sehingga sekolah itu dinamakan
sekolah agama, kita pun tak tahu. Setakat mengajar bahasa Arab sahaja, tidak
layak rasanya sesebuah sekolah itu dinamakan sekolah agama.
Melihat kepada keadaan yang wujud di sekolah ketika ini, sukar bagi kita untuk
membayangkan bagaimana pendidikan boleh dilaksanakan di sekolah. Iklim dan suasana
untuk mendidik tidak wujud di sekolah. Kalau pelajaran ialah proses mengumpul
ilmu di mana ada guru yang mengajar dan ada murid yang belajar dan matlamatnya
khusus supaya murid menjadi pandai dan berilmu pengetahuan, maka ini mudah dicapai
dan sesuai dilaksanakan di sekolah. Tetapi tarbiah atau pendidikan yang matlamatnya
ialah untuk mengenal Tuhan, membentuk akhlak yang baik dan peribadi yang luhur,
memerlukan kepada pemahaman, penghayatan, penjiwaan dan pengamalan. Ia memerlukan
bimbingan yang rapi dan berterusan. Proses pendidikan ini sukar untuk dicapai
di sekolah dalam keadaan yang ada sekarang ini.
Walaupun kementerian pelajaran telah ditukar nama kepada kementerian pendidikan,
ini sebenarnya ialah satu misnomer atau tersalah nama. Tidak banyak berlaku
usaha pendidikan di sekolah. Yang banyak ialah pelajaran atau taalim semata-mata,
khususnya ilmu dunia atau akademik. Kalau keadaan ini tidak berubah, elok rasanya
nama kementerian berkenaan ditukar semula kepada nama asal iaitu kementerian
pelajaran. Ia lebih tepat.
Sistem pelajaran kita sebenarnya ditiru bulat-bulat dari sistem pelajaran penjajah
Inggeris. Dalam tamadun dan masyarakat Inggeris, yang ada hanyalah education
atau pelajaran atau istilah Arabnya Taalim. Tidak ada apa yang kita namakan
sebagai pendidikan atau istilah Arabnya Tarbiah di dalam sistem pelajaran mereka.
Oleh itu tukarlah nama kementerian kepada nama apa sekalipun tapi kalau sistem
pelajaran kita tidak diubah supaya lebih mirip kepada sistem Islam di mana ada
kedua-dua unsur tarbiah dan taalim atau pendidikan dan pelajaran, maka substancenya
tetap sama. Kalau substancenya sama maka buah atau hasilnya juga tetap akan
sama.
Di dalam tamadun barat, pembentukan akhlak yang berasaskan keimanan seperti
mana yang kita faham sebenarnya tidak wujud. Kalau pun ada sifat baik yang diutarakan,
ianya hanyalah berasaskan tradisi, civility etika atau takutkan hukuman undang-undang
atau takut disaman di mahkamah. Nilai akhlak agama Kristian jarang diketengahkan
kerana agama Kristian sendiri membawa satu ajaran yang melemahkan usaha mujahadah
dan membina akhlak. Menurut agama Kristian, setiap orang Kristian akan akhirnya
ke syurga kerana segala dosa mereka di dunia telah dihapuskan dan ditanggung
oleh anak tuhan Jesus Christ ketika dia mati disalib. Justeru itu, tidak ada
tuntutan ke atas mereka untuk berakhlak atau berlaku baik. Mereka yakin, sejahat
mana pun dan seburuk mana pun akhlak mereka, syurga itu dijamin bagi mereka.
Dasar pendidikan negara pula tidak banyak tertumpu kepada pembentukan akhlak.
Ia hanya menganggap warga pelajar sebagai bahan ekonomi yang perlu diajar dan
dilatih untuk mendapat kemahiran supaya dapat mengisi keperluan buruh (labour)
dan pengurusan (management) bagi industri, perusahaan, pertanian dan perdagangan
negara. Kalaupun ada sedikit penekanan kepada agama atau moral, ia hanya supaya
warga pelajar tidak menjadi terlalu liar dan tidak terkawal sehingga boleh merosakkan
sistem yang ada. Tidak ada dasar pendidikan negara yang bertujuan untuk membentuk
manusia yang beriman, yang bertaqwa, yang berakhlak dan yang terbina insan mereka
supaya mereka dapat menjadi seorang hamba Allah yang tulin.
Mendidik sebenarnya adalah di luar kemampuan para guru termasuk para ustaz dan
ustazah di sekolah. Mereka tidak dilatih untuk itu. Mereka tidak tahu soal hati
dan jiwa dan selok belok mendidik yang jauh lebih rumit dari mengajar. Mereka
tidak berpeluang bergaul dan hidup bersama pelajar secara berterusan. Oleh itu
mereka tidak mengenal sifat, watak dan peribadi setiap pelajar secara mendalam
walhal ini adalah syarat penting dalam mendidik supaya sifat yang baik dan positif
dapat disuburkan dan sifat yang buruk dan negatif dapat diungkai dan dibuang.
Tambahan lagi hasil dari suasana yang wujud, perhubungan antara guru dengan
murid lebih banyak bersifat biasa atau casual. Perhubungan casual tidak memadai
di dalam usaha untuk mendidik. Ia tidak menimbulkan komitmen, kepercayaan, ikatan
hati dan penyerahan diri secara total. Tanpa perhubungan hati yang erat seperti
ini antara guru dan murid, pendidikan tidak akan sampai ke mana.
Dalam mendidik, para murid perlu kepada seorang role model untuk diikuti dan
dicontohi. Soalnya, berapa ramaikah para guru termasuk ustaz dan ustazah di
sekolah yang watak, akhlak, ibadah dan peribadi mereka benar-benar dapat dijadikan
contoh yang baik. Kalaupun ada, murid yang mana harus mencontohi guru yang mana
kerana guru terlalu ramai. Dalam belajar atau mengajar, tidak ada masalah kalau
guru ramai kerana hanya ilmu sahaja yang perlu disampaikan. Tetapi di dalam
mendidik, tidak boleh ada lebih dari seorang pendidik bagi setiap murid. Pendidik
itulah yang menjadi contoh dan ikutan. Kalau terlalu ramai pendidik, murid akan
bercelaru dan jadi rosak. Too many cooks spoil the brook. Even if all of them
are chefs.
Suasana dan persekitaran sekolah juga menjadi penghalang kepada proses pendidikan.
Sekolah yang bermatlamatkan kelulusan bersijil bagi tujuan ekonomi dan untuk
mendapatkan pekerjaan tidak mencetuskan suasana yang sesuai untuk memupuk nilai-nilai
murni di dalam pendidikan yang bermatlamatkan kesejahteraan dunia dan Akhirat.
Suasana dan nilai kedua-dua ini sangat berbeza dan bertentangan di antara satu
sama lain. Kalaupun ada mata-mata pelajaran yang bertujuan untuk mendidik seperti
agama, moral dan sebagainya, ia disampaikan dalam bentuk ilmiah semata-mata
seperti mana juga mata-mata pelajaran yang lain. Contohnya, pelajaran agama
mengajarkan bahawa solat atau sembahyang itu wajib hukumnya.
Akan tetapi, pelaksanaannya tidak pula ditekan atau diberatkan oleh sekolah
sama ada kepada guru mahupun kepada murid. Ikut suka masing-masing. Hendak sembahyang,
sembahyanglah. Tak nak sembahyang pun tak apa. Kemudahan untuk bersembahyang
pun tidak mencukupi dan masa untuk menunaikannya juga tidak dikhaskan. Begitulah
juga halnya dengan hukum menutup aurat, pergaulan bebas lelaki perempuan dan
berbagai-bagai lagi. Disiplin dan kaunseling di sekolah bolehlah dianggap sebagai
usaha yang paling hampir kepada pendidikan.
Namun demikian, kedua-dua guru disiplin dan guru kaunseling hanya mengendalikan
kes-kes murid yang sudah rosak. Mereka sebenarnya bukan mendidik tetapi membaik
pulih. Pendidikan bukan baik pulih tetapi pembentukan akhlak dan peribadi yang
bermula dari awal dan dilakukan secara berterusan. Guru disiplin dan guru kaunseling
pula selalunya bukan guru darjah atau guru tingkatan bagi murid yang bermasalah
tetapi guru yang khusus untuk tujuan itu.
Itu sebabnya usaha mereka kurang efektif kerana mereka tidak kenal secara mendalam
murid bermasalah yang mereka kendalikan sama ada watak mereka, sifat mereka,
apa yang mereka suka, apa yang mereka benci dan sebagainya. Kalau murid yang
bermasalah tidak dikenali betul-betul sifat dan wataknya, tindakan disiplin
dan kaunseling mungkin tidak tepat. Ini boleh menjadikan keadaan bertambah buruk
dan counter productive.
Murid yang kuat perasaan dan kuat emosi contohnya, kalau dilayan dengan ugutan
dan kekerasan, akan rosak dan patah jiwanya. Kalau dimanjakan, akan rosak juga.
Sebaliknya, murid yang kuat jiwa yang menyimpan marah dan benci dalam hatinya,
kalau dihukum dan disakitkan tanpa diberi kasih sayang akan berdendam sampai
bila-bila. Api marahnya mungkin akan padam buat sementara waktu tetapi baranya
akan terus menyala menunggu masa sahaja untuk marak semula dengan lebih ganas
lagi.
Tambahan kepada keadaan di sekolah, ibu bapa di zaman ini pula umumnya sudah
tidak lagi mendidik anak-anak mereka di rumah. Mungkin kerana mereka tidak mampu,
tidak tahu bagaimana hendak mendidik atau ibu bapa sekarang terlalu sibuk dengan
kerja dan hal-hal urusan dunia. Jadi, kebanyakan anak-anak di zaman ini sebenarnya
tidak terdidik. Di rumah tidak, di sekolah pun tidak.
Rumah hanya jadi tempat penginapan dan sekolah hanya jadi tempat menimba ilmu
dan kemahiran untuk kegunaan hidup dan keperluan ekonomi kerana itulah sebenarnya
tujuan ilmu akademik. Ibu bapa harapkan pendidikan anak-anak kepada guru dan
guru harapkan ibu bapa yang mendidik. Ibu bapa tak mampu. Guru pun tak mampu.
Akhirnya tidak ada yang membimbing anak-anak dalam hal akidah, dalam hal keimanan
dan ketaqwaan, dalam hal ibadah, dalam hal akhlak dan dalam hal hidup beragama.
Akhirnya, yang mendidik anak-anak ialah suasana dan persekitaran yang sudah
nyata rosak. Agen-agen yang merosakkan suasana dan persekitaran ini lebih banyak
dan ramai dari pihak-pihak dan penguasa yang mengawalnya. Bermacam-macam bentuk
pengaruh liar, separuh lucah dan yang melalaikan disiarkan melalui media elektronik
di kaca TV dan radio. Ini termasuklah muziknya, lagu-lagu pop, rock dan metalnya,
berbagai-bagai drama, filem termasuk filem Hindustan dan drama-drama yang diimpot.
Program-program ini, walaupun sekali imbas nampak macam innocent tetapi mengandungi
pengaruh negatif yang halus yang makan dalam dan boleh merosakkan jiwa, jati
diri, pegangan dan nilai hidup para pelajar. Para pelajar nampak macam Islam,
nama pun nama Islam, tetapi fikiran, hati, jiwa, citarasa, kecenderungan dan
nilai hidup mereka sudah tidak Islamik. Mereka tidak kenal Islam. Jiwa mereka
kosong dari keimanan dan ketuhanan.
Mereka ini akan mudah terpengaruh dengan hal-hal yang menyeleweng dan budaya-budaya
yang boleh merosakkan akhlak dan tatasusila. Ini ditambah lagi dengan media
cetak yang memaparkan berbagai unsur lucah dan separa lucah serta budaya-budaya
tergeliat yang melibatkan artis, pelakon, pelawak, ahli sukan dan sebagainya.
Mereka inilah yang jadi contoh, ikutan, idola dan role model bagi para pelajar.
Kalau golongan inilah yang dinobatkan sebagai role model dan yang sentiasa dicontohi,
apa sangatlah yang hendak diharapkan dari para pelajar kita. Tak hairanlah kalau
akhlak dan moral mereka runtuh. Mana perginya tokoh-tokoh seperti para Sahabat,
Salehuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fateh dan beratus-ratus bahkan beribu-ribu
lagi watak Islam yang lebih layak dicontohi di samping Rasulullah SAW sendiri.
Tak cukup dengan itu, diadakan pula show dan pementasan secara live dengan muzik
pop, rock, metal dan sebagainya. Tak cukup dengan artis tempatan diimpot pula
artis dari luar negara. Micheal Jackson lah, The Coors lah.
Semuanya datang untuk membuat kerosakan. Dan segala-galanya dipermudahkan untuk
mereka malah diberi pula sokongan dari pihak atasan. Itu belum lagi internet
di mana maksiat yang terkandung di dalamnya seperti laut yang tidak bertepi
dengan unsur ganas dan unsur seks yang berbagai-bagai bentuk dan versi mengikut
selera dan citarasa siapa sahaja yang meminatinya. Apa yang kita perkatakan
setakat ini ialah perkara dan kegiatan yang ada permit, yang ada lesen yang
sah dan yang dibenarkan. Yang tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara.
Itu pun sudah cukup merosakkan. Kita belum lagi memperkatakan tentang unsur
dan pengaruh yang diharamkan dan yang tidak berlesen dan berpermit. Tentang
VCD lucah yang dijual murah di merata-merata tempat termasuk di perkarangan
sekolah. Tentang komik-komik lucah untuk tatapan kanak-kanak sekolah yang dibeli
dengan duit belanja sekolah. Tentang dadah, pil-pil khayal dan berbagai-bagai
lagi. Semua kegiatan yang haram ini menambahkan lagi kerosakan kepada kerosakan
yang sudah tersedia tercetus oleh unsur dan pengaruh yang berlesen dan yang
dibenarkan. Ke manakah hala tuju kita sekarang?
Golongan pelajar dan anak-anak muda kita sudah rosak kerana tidak ada yang mendidik
mereka ke arah akhlak yang mulia dan cara hidup yang sihat. Di rumah mereka
tidak dididik. Di sekolah juga mereka tidak dididik. Mereka terdedah pula kepada
suasana dan persekitaran masyarakat yang sudah hancur dan punah ranah, yang
hanya menjurus kepada berfoya-foya, berseronok-seronok, berlalai-lalai dan membuang-buang
masa. Siapa yang mesti bertanggung jawab?
Artikel ini adalah bagian dari buku Pancaran Minda yang berisi pemikiran dan ilham dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi |
- 1709 reads
Post new comment