00: Muqadimmah




00: Muqadimmah 




BERHATI-HATI DALAM HIDUP

Untuk hidup tidaklah sesusah mana. Kerana Allah SWT sudah jamin rezeki untuk setiap makhluk yang ada di muka bumi ini. Buktinya, binatang dan tumbuhan pun boleh hidup tanpa perlu banyak berusaha.

Tetapi untuk hidup selamat tidak ramai yang tahu caranya. Ini ialah kerana akal manusia sahaja tidak mampu untuk menilai apa yang baik dan apa yang buruk untuk dirinya. Lebih-lebih lagi apabila nafsu sudah menguasainya, akal akan sentiasa memikirkan pelbagai cara untuk memuaskan kehendak nafsu.

Justeru itu, kebanyakan manusia hari ini hidup dalam kepincangan. Walaupun akalnya dapat membawanya kepada kemajuan lahiriah, manusia semakin hidup dalam ketakutan, kegelisahan dan kebimbangan. Segala bentuk kejahatan sentiasa mengancam – penipuan, penyingkiran, pemulauan, pencurian, pencabulan, dengki, dendam dan lain-lain lagi. Senario dunia hari ini adalah bukti jelas yang manusia tidak boleh hidup selamat tanpa pimpinan dan bimbingan. Kalau di dunia sudah tidak selamat, di Akhirat apatah lagi.

Mahu ataupun tidak, manusia perlu dapatkan ilmu yang tepat, yang dapat membimbing setiap tindak tanduknya supaya bertepatan dengan kehendak Tuhan. Kerana hanya apabila manusia hidup bertepatan dengan kehendak Tuhanlah, barulah mereka akan mendapat kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia dan di Akhirat.

Kehendak Tuhan itu pula terkandung dalam syariat Islam. Syariat Islam pula bukan sekadar syariat lahir, tetapi yang lebih utama lagi ialah syariat batinnya. Contohnya sembahyang. Sekadar hendak sahkan sembahyang (dengan mematuhi syariat lahir) itu tidaklah sesusah mana, tetapi untuk mengerjakan walaupun sekadar satu rakaat sembahyang yang diterima Allah SWT (dengan mengamalkan syariat batin) itu amatlah payah. Bukannya mudah untuk khusyuk dalam sembahyang. Bukannya mudah untuk merasakan diri hina dan penuh dengan noda dan dosa. Untuk merasakan kehebatan dan kebesaran Allah setiap saat dan detik sewaktu mengerjakan sembahyang. Tanpa ilmu dan bimbingan yang tepat, adalah mustahil untuk mendapatkan satu rakaat sembahyang yang diredhai Allah sepanjang hidup manusia!

Pendek kata, manusia tidak boleh hidup secara semberono. Sekadar cukup makan, cukup pakaian, ada tempat tinggal, ada keluarga dan rakan taulan, itu tidak memadai untuk memastikan yang manusia dapat hidup dengan selamat di dunia dan Akhirat. Manusia perlu sentiasa mencari panduan dan bimbingan yang tepat dalam menjalani kehidupan di dunia.

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer